Nazir Razak terbuka kongsi pengalaman 'berperang' dengan kanser prostat
TOKOH perbankan terkemuka negara, Datuk Seri Nazir Tun Razak mendedahkan secara eksklusif kepada SinarPlus tentang penyakit kanser prostat yang dideritainya sejak Oktober 2018.
Beliau mengetahui berita mendebarkan itu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ketika itu, beliau yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak berusia 52 tahun.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesihatannya bertambah baik selepas menjalani pembedahan pada Februari lalu.
"Saya sangat bersyukur, ia ibarat menerima peluang kedua untuk kembali bernafas," katanya ketika ditemu bual menerusi panggilan video Whatsapp pada Rabu lalu.
Mengimbau kembali detik menakutkan dalam hidupnya itu, Nazir memberitahu, ujian darahnya yang dilakukan pada ketika itu menunjukkan antigen spesifik prostat (PSA) yang tinggi.
"Melihat keadaan berkenaan, doktor menjadi bimbang dan kemudian menghantar saya untuk prosedur Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan hasilnya, ia menunjukkan terdapat beberapa tumor," ceritanya.
Katanya, ujian terakhir mengesahkan terdapat kanser, namun ia belum lagi merebak di luar prostat.
Bagaimanapun, hasil ujian biopsi menunjukkan skor Gleason berada pada paras sembilan sekali gus memberi 'signal' kemungkinan besar kanser akan merebak secara agresif.
"Ia merupakan berita yang sangat mengejutkan apatah lagi saya berasa sihat dan tiada simptom. Namun, saya sangat bertuah, bersyukur dan sudah insaf kerana sebelum ini, saya kadangkala akan melengah-lengahkan pemeriksaan kesihatan kerana hanya memikirkan kerja sahaja,” tambah beliau.
Kepada SinarPlus, Nazir berkata, sebelum membincangkan dan berkongsi tentang penyakitnya secara kepada umum, beliau mengambil masa dan berfikir panjang.
"Namun, akhirnya saya memutuskan bahawa saya harus melakukannya kerana langkah itu dapat membantu dan mendorong orang lain agar cakna dengan penyakit senyap’ itu,” katanya berterus-terang.
Enggan pihak lain turut terkesan, Nazir menggesa agar lelaki yang lazimnya sudah bergelar ketua keluarga membuat pemeriksaan pada setiap tahun bagi mengetahui tahap kesihatan diri masing-masing.
Dari sudut perubatan, kanser prostat akan menyerang mereka yang berumur 50 tahun ke atas.
"Di Malaysia, lebih 60 peratus kes kanser prostat dikesan pada tahap akhir, berbanding sekitar 20 peratus di Amerika Syarikat dan 25 peratus di Singapura. Ia jelas menunjukkan kesedaran pemeriksaan awal dalam kalangan orang lelaki di Malaysia masih rendah meskipun kebarangkalian untuk mereka mendapat kanser prostat hanyalah sekitar 10 peratus,” ujar mantan Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd itu.
Nazir merupakan salah seorang peneraju kempen #onlymencan yang digerakkan sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki yang disambut pada November setiap tahun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang