Patuhi amalan, pantang larang khusus untuk penjagaan buah pinggang

No Image Caption
A
A
A

BUAH pinggang merupakan organ terpenting di dalam tubuh badan kita. Apakan tidak, fungsinya amat penting sebagai penapis darah dengan segala bahan kumuh yang tidak diperlukan akan dibuang melalui organ itu.

Apa yang pasti, badan yang mempunyai sistem perkumuhan yang baik membolehkan seseorang itu dapat menikmati kehidupan dengan sihat.

Oleh itu, peranan buah pinggang sebagai alat untuk menapis kekotoran perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Justeru, apakah kaedah terbaik bagi penjagaan buah pinggang?

Berikut perkongsian daripada Pakar Nefrologi dan Perubatan, Hospital Pantai Pulau Pinang, Dr Darren Lee Kian Guan atau Dr Darren.

"Pertama sekali, setakat ini, tiada istilah 'suplemen tambahan' khusus untuk penjagaan buah pinggang kita. Bagaimanapun dengan mengamalkan tip berkaitan ini, mungkin boleh membantu," kata Dr Darren.

  1. Minum air secukupnya

Air merupakan cecair yang membantu membersihkan buah pinggang dengan baik sekali. Itu kerana semua toksin yang terkumpul dalam badan akan dikeluarkan.

Pun demikian, minum air dengan mencukupi iaitu 1.5 liter hingga dua liter sehari untuk gaya hidup normal. Amalan itu juga dapat membantu mengurangkan masalah batu karang.

  1. Jauhi tabiat merokok

Secara umumnya, asap rokok boleh meninggikan risiko buah pinggang rosak. Janganlah 'menyeksa' diri sendiri.

Keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada perokok, malah ia juga akan mempengaruhi mereka yang terdedah kepada asap rokok berkenaan.

  1. Amalkan kehidupan sihat dan aktif

Aspek sihat dan aktif dalam kehidupan seharian juga dikaitkan dengan mengawal makanan. Pastikan makanan yang dimakan seimbang dan mengandungi kadar garam, gula dan lemak yang rendah serta kaya dengan elemen serat.

Dalam pada itu juga, amalkan aktiviti bersenam bagi mengelakkan risiko kepada penyakit kronik seperti obesiti yang boleh menjadi punca kepada pelbagai penyakit lain.

  1. Memantau tahap kesihatan secara berkala

Pastikan sentiasa mengetahui dengan jelas keadaan kesihatan badan seperti tekanan darah, gula darah dan indeks jisim badan (BMI).

Keadaan tersebut akan membantu seseorang lebih peka dengan kondisi kesihatan dan dapat menghindarkan diri daripada gejala tidak baik seperti sakit buah pinggang.

“Cegahlah sebelum parah. Lakukan pemeriksaan tahunan terhadap buah pinggang terutamanya jika mempunyai risiko kepada penyakit itu,” nasihat Dr Darren.

  1. Elak ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDs) secara berlebihan

Selama bertahun-tahun, asid aristolokhik telah dikenal pasti untuk menjadi sangat toksik kepada buah pinggang dan karsinogenik. Bahan-bahan botani tertentu atau ubat tradisional mengandungi atau boleh dicampur dengan asid aristolokhik.

Pencemaran makanan tambahan dengan logam berat seperti merkuri, arsenik atau plumbum juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang yang ketara.

"Oleh itu, memeriksa dengan doktor tentang makanan tambahan diambil adalah sangat penting. Jangan mudah mencuba pelbagai makanan tambahan di pasaran kerana harganya yang murah atau mahal. Itu tak menjamin kesihatan lebih baik atau perubahan yang anda ingini.

"Paling membimbangkan, risiko kerosakan buah pinggang yang disebabkan oleh NSAID akibat penggunaan yang berpanjangan yang diambil dalam dos yang tinggi tanpa pengawasan pihak doktor," katanya.

PROFIL

Dr Darren Lee Kian Guan

Pakar Nefrologi dan Perubatan

Hospital Pantai Pulau Pinang

ANEKDOT

Terdapat lima tahap kerosakan buah pinggang iaitu:

Tahap 1: Kerosakan pada buah pinggang tetapi kadar tapisan glomerular masih normal (>90mL/min/1.73m2)

Tahap 2: Sedikit pengurangan pada kadar tapisan glomerular (60-89mL/min/1.73m2)

Tahap 3: Pengurangan sederhana pada kadar tapisan glomerular (30-59ml/min/1.73m2)

Tahap 4: Pengurangan yang banyak pada kadar tapisan glomerular (15-29mL/min/1.73m2)

Tahap 5: kurang daripada 15mL/min/1.73m2

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca