JIKA Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menyarankan penduduk dunia perlu mengambil dos ke-4, maka amat wajar untuk negara mengikuti nasihat badan yang bertauliah dan diiktiraf antarabangsa itu.

Demikian pandangan yang dilontarkan Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Kata Dr Nurul Yaqeen, saranan yang diberikan adalah berdasarkan kajian menyeluruh yang telah diperhalusi dan dibincangkan menerusi pelbagai peringkat kepakaran.

Segala risiko dan faedah telah ditimbang tara dengan teliti dan telah mengambil kira pelbagai faktor,“ katanya kepada SinarPlus.

Ujar beliau, mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di Malaysia yang kembali mencecah lima angka sehari, faedah daripada program vaksinasi menyaksikan berkurangnya kadar kematian dan kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi, berbanding pada tahun lepas.

Mengulas mengenai kumpulan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak, Dr Nurul Yaqeen merujuk laporan mutakhir CDC.

Katanya, mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas adalah tergolong dalam kalangan 67 peratus pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan ke hospital dan 85 peratus kes kematian yang telah direkodkan adalah dalam kalangan warga emas.

“Terdapat beberapa laporan dari Seattle dan Washington, Amerika Syarikat dan United Kingdom menunjukkan, pesakit warga emas yang telah divaksin akan tetap mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat virus Covid-19 yang serius dan kritikal berbanding kanak-kanak yang tidak divaksin.

 

Usia adalah faktor utama yang melemahkan sistem imunisasi tubuh. Jika anda berusia di bawah 45 tahun dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik, risiko untuk mati disebabkan Covid-19 adalah sangat rendah. Namun begitu, diingatkan, ia (risiko) kian bertambah dengan peningkatan usia dan dengan adanya penyakit kronik,“ jelasnya.

Mengenai kanak-kanak, Dr Nurul Yaqeen berkata, disebabkan statistik kes dan kematian didapati meningkat di negara kita pada enam bulan kebelakangan ini, maka sewajarnya vaksinasi untuk si cilik perlu diberikan.

Iklan

“Kanak-kanak juga berhak mendapat perlindungan sebagaimana orang dewasa,“ katanya.

Berdasarkan perkongsian Dr Nurul Yaqeen, seramai 63 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di Malaysia dilaporkan meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 dengan 270,000 orang dijangkiti.

Iklan

Beritahu beliau, kelompok itu terdedah dengan komplikasi serius akibat dijangkiti Covid-19, khususnya sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC).

Penyelidikan di 14 hospital kerajaan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan antara November 2021 hingga Januari lalu mendapati, 174 kes MISC dilaporkan (akibat Covid-19).

Sementara di 14 buah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia pula mendapati, 174 kanak-kanak dimasukkan ke ICU disebabkan MISC selepas dijangkiti virus korona dan tujuh daripadanya telah meninggal dunia.

Ini adalah suatu jumlah yang tinggi yang perlu diberikan perhatian serius,“ katanya.