Ramai dah lupa macam mana nak buat biskut Mama Carey. Ini teknik paling mudah kalau mahu cuba

A
A
A

AROMA kuih Mama Carey sebaik dikeluarkan dari ketuhar memang membangkitkan selera.

Sebelum itu, apa kata kita tanya kepada generasi sekarang, adakah mereka mengenali biskut 'legend' yang lebih menonjol pada Hari Raya Aidilfitri? Sudah pasti, majoriti mereka kurang mengenalinya.

Mengakui situasi itu, Mazni Abdul Rahman, 44, yang berkebolehan membuat kudapan berkenaan berkata, sudah ramai pengusaha tidak lagi menjual kuih Mama Carey.

"Disebabkan itu, saya menjadikan ia sebagai satu peluang untuk membuatnya dan menjual secara kecil-kecilan kepada rakan sepejabat dan kenalan terdekat," ujarnya ketika dihubungi.

Seperti biasa, SinarPlus menggali bagaimana teknik untuk 'merealisasikan' resipi berkenaan yang nampak mudah pada mata kasar.

Katanya, untuk menghasilkan kuih terbaik, beliau menggunakan bahan-bahan yang premium. Pada masa sama, peniaga itu turut menambah bahan baharu iaitu serbuk badam untuk mendapatkan rasa kuih yang lebih berlemak.

"Bagi mendapatkan tekstur yang lebih rangup atau rapuh, suhu ketuhar juga mestilah bertepatan agar kuih dapat masak dengan sekata. Selain itu, saya juga mementingkan penggunaan mentega yang asli berbanding marjerin,” beritahunya yang mempelajari resipi kuih Mama Carey itu di Kolej Giatmara.

Berkenaan topping aising, Mazni akan memastikan ia tidak terlalu cair. Jika tidak, kuih akan menjadi comot dan susah untuk melorekkan lukisan di atasnya.

“Salah satu langkah penyediaan yang paling leceh adalah ketika menyediakan adunan topping aising kerana ia perlu dipukul sehingga sebati dan pekat supaya terletak cantik di atas kuih. Kalau nak pastikan ia tidak berketul dan rata, saya menggunakan pengisar," jelas wanita itu memberi panduan.

Lazimnya, untuk 2 kilogram tepung gandum, Mazni boleh menghasilkan 10 hingga 15 balang kuih.

Dari segi harga, Mazni menjualnya pada harga RM30 untuk 50 biji biskut.

BAHAN-BAHAN KUIH

200 gram mentega

1/2 cawan gula kastor (kisar halus)

1 biji kuning telur gred A

1 sudu teh esen vanila

2 1/2 cawan tepung gandum

1/2 cawan tepung jagung

1/2 cawan susu tepung

50 gram serbuk badam

BAHAN-BAHAN AISING

1 biji putih telur

3/4 cawan gula aising (diayak)

1 sudu besar tepung jagung

Pewarna

Cara penyediaan:

1. Pukul mentega dan gula hingga sebati. Kemudian, masukkan telur dan esen vanila. Pukul sehingga rata.

2. Masukkan tepung gandum, tepung jagung, susu tepung dan serbuk badam.

3. Gaul dan uli sehingga menjadi doh yang lembut.

4. Jika adunan terlebih lembut, tambahkan satu sudu besar tepung gandum.

5. Simpan dalam peti ais selama 15 minit.

6. Keluarkan dan canai adunan tadi. Terapkan ke dalam acuan.

7. Bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10 minit. Sejukkan sebentar.

8. Untuk topping aising, pukul putih telur sehingga kembang.

9. Kemudian, masukkan gula aising dan tepung jagung. Pukul dengan laju sehingga likat.

10. Masukkan ke dalam beg piping dan picit aising di atas biskut.

11. Ratakan dengan jari telunjuk. Selepas itu, celup lidi sate dengan pewarna hijau dan lorekkan mengikut kreativiti sendiri.

12. Bakar sekali lagi pada suhu 150 darjah celsius selama 10 minit sehingga aising keras. Siap untuk dihidang.

Sumber Mazni Abdul Rahman

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca