RAMAI mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini telah membuka ruang kepada ramai orang melakukan aktiviti yang tidak pernah dilakukan mereka sebelum ini.

Antaranya adalah mempelajari menu-menu baharu dan viral yang dikongsi di platform media sosial dan akhbar tempatan.

Hal yang sama dilakukan oleh Nor Suzila Mohamad. Ujarnya kepada SinarPlus, daripada banyak sajian yang pernah dimasak, Nasi Gaul Banjar antara yang menarik perhatiannya.

Terdapat juga sesetengah individu yang mengenali masakan itu sebagai nasi daging.

 

Baca juga: Ayam masak cili kering memukau sedap tak terkata

 

Menyingkap serba sedikit sejarah kulinari berkenaan, ia merupakan hidangan tradisional masyarakat Banjar di Johor dan Selangor. Kaum Banjar berasal dari Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia.

Pada zaman dahulu, Nasi Gaul Banjar menjadi kemestian untuk dijamu kepada tetamu pada majlis perkahwinan atau kenduri tahlil, doa selamat atau dalam acara perkahwinan.

Pun demikian, pada alaf baharu ini, santapan berkenaan semakin dipinggirkan dek tidak ramai yang tahu memasaknya.

NOR Suzila mengakui hidangan nasi gaul Banjar sudah menjadi salah satu menu istimewa yang akan dijamu buat para tetamu.

Ujar Nor Suzila, cara pembuatan menu berkenaan tidak sukar seperti yang digambarkan walaupun bahan-bahan yang digunakan agak banyak.

Secara ringkasnya, Nasi Gaul Banjar menggunakan beras basmati yang dimasak dalam air rebusan daging atau ayam.

Sajian itu lazimnya dipadankan dengan lauk daging atau ayam rebus dan acar banjar yang terdiri daripada campuran hirisan timun, tomato, bawang, lada dan belacan bakar.

Bagi menjimatkan masa, penulis blog itu berkata, beliau memasak menu tersebut dengan menggunakan periuk tekanan tinggi (pressure cooker).

“Cara ini lebih mudah, cepat dan paling mengujakan, nasi akan kelihatan lebih ‘cantik’,” katanya.
Untuk memasak lauk sampingannya iaitu ayam rebus juga tidak terlalu renyah. Hanya memerlukan ayam, serai, sos tomato, air dan empat sekawan iaitu kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.

“Campurkan semua bahan-bahan itu dan perasakan dengan garam. Kacau rata dan biarkan sehingga kuah mendidih. Kacau sekali sekala sehingga ayam masak. Air rebusan ayam jangan dibuang kerana ia boleh digunakan untuk memasak nasi,” katanya.

Kepada mereka yang suka lauk berkuah, Nor Suzila mencadangkan agar memasak dalca ayam, daging atau terung.

“Kenapa ia dikenali sebagai nasi gaul? Jawapannya, kita akan menggaul semua lauk termasuk Acar Banjar dengan nasi sebelum makan,” katanya sambil memberitahu, hidangan itu telah menjadi menu istimewa buat mereka sekeluarga.

Wanita itu yang aktif memuat naik video masakan di platform YouTube dan dikenali sebagai Qasey Honey berharap, Nasi Gaul Banjar yang merupakan warisan berharga peninggalan turun-temurun terus dipelihara oleh generasi baharu kini.

RESIPI NASI & acar Banjar serta lauk ayam

Nasi

Iklan

2 cawan beras basmathi (rendam 30 minit)
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sudu besar minyak sapi
3 cawan air rebusan ayam

Acar

1 biji timun
1 biji tomato
1 biji lada merah
2 biji lada hijau
1 biji bawang besar
1 inci belacan (dibakar)
1 cawan air panas
¼ cawan sos tomato
½ sudu garam (secukup rasa)
½ sudu gula (sekucup rasa)

Lauk ayam

½ ekor ayam
½ cawan sos tomato
4 cawan air
½ sudu garam (secukup rasa)
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Cara penyediaan:

Iklan

Nasi (masak dalam periuk nasi)
Rendam beras basmati bersama air lebih kurang 30 minit.
Cairkan minyak sapi.
Tumis bawang merah bersama bawang putih sehingga layu, kemudian keluarkan dari periuk nasi.
Masukkan beras yang telah dibersihkan bersama tiga cawan air rebusan ayam.
Gaul rata dan masak nasi seperti biasa.
Setelah nasi masak, gemburkan secara perlahan.
Hidangkan dan letakkan ayam di atas nasi serta acar

Acar

Bakar belacan kemudian masukkan ke dalam mangkuk.
Tambah air dan kacau sehingga belacan larut atau hancur.
Masukkan garam, gula dan sos tomato dan kacau sebati.
Masukkan pula tomato, timun, bawang besar, cili hijau dan cili merah dan gaul sebati. Kemudian simpan di dalam peti sejuk.

Ayam

Masukkan air, ayam, serai, rempah tumis, garam, halia dan sos tomato ke dalam periuk.
Kacau rata dan biarkan sehingga kuah mendidih serta ayam masak.
Keluarkan ayam dan biarkan seketika.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram