JIKA di Temerloh, Pahang terkenal dengan tempoyak, berbeza pula dengan ‘jirannya‘ di Jerantut yang popular dengan menu asam rong biji getah.

Menurut salah seorang pembikin sajian berkenaan, Siti Zakiah Dulkadir, sebenarnya masih ramai yang tidak tahu bahawa biji getah boleh dimakan dan dibuat lauk.

“Biasanya penduduk di Hulu Tembeling, Jerantut yang suka jadikan biji getah sebagai sajian harian mereka. Selain dikenali dengan nama asam rong biji getah, masyarakat setempat menggelarkan masakan itu sebagai aserom atau gulai rom,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ujar Siti Zakiah, rasa biji getah seakan-akan kacang, berlemak, pedas. Disebabkan keunikan itulah, ia sesuai dijadikan lauk dan dimasak bersama ikan sungai.

“Antara ikan yang sesuai dipadankan dengan asam rong biji getah ialah ikan kenerak, baung dan patin.

“Sajian tradisi itu akan menjadi bertambah menarik jika dicampur dengan ulam-ulaman seperti pucuk paku, pucuk labu, ubi kayu, terung kampung, batang keladi dan sebagainya,“ tambah beliau.

Bercerita lanjut, wanita itu sempat mengimbau nostalgia lama. Ujar beliau, kemahiran memasak menu berkenaan dimilikinya sejak kecil lagi.

“Semasa zaman kanak-kanak, saya selalu menolong arwah mak bergotong-royong dengan jiran untuk membuat pes asam rong.

“Biasanya budak-budak akan diarah untuk masuk ke ladang getah untuk mengutip buah atau biji getah. Setiap seorang daripada kami akan membawa pulang satu baldi atau seguni biji getah,“ ceritanya dengan penuh keterujaan.

Ungkap Siti Zakiah lagi, pada awalnya, pes asam rong diperbuat daripada buah perah iaitu sejenih buah hutan.

“Oleh kerana kesukaran mendapatkan buah itu, maka penduduk kampung mengolah resipi itu kembali dan menggantikannya dengan biji getah yang bukan saja mudah didapati dan rasanya juga sangat sedap,“ ujarnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, anak jati Pahang itu berkata, nama asam rong biji getah diperoleh merujuk kepada istilah rong yang bermaksud isi dalam buah.

Iklan

PROFIL

  • Nama: Siti Zakiah Dulkadir
  • Umur: 32 tahun
  • Asal: Jerantut, Pahang
  • Menetap: Seri Kembangan, Selangor
  • Facebook: siti zakiah II
  • Instagram: dapurtiyah
  • TikTok: dapurtiyah

RESIPI ASAM RONG IKAN PATIN BERAMPAI

Bahan-bahan

  • 1 ekor ikan patin
  • 7 hingga 8 sudu besar pes atau serbuk asam rong
  • Segenggam (10 hingga 15 biji) cili padi
  • 1 inci kunyit hidup
  • 2 helai daun kesing
  • 1 keping asam gelugur
  • 7 hingga 8 batang terung telunjuk
  • 1 batang ubi kayu (saiz kecil)
  • Air secukupnya
  • Garam dan serbuk perasa

Cara penyediaan:

Iklan
  1. Pertama sekali, asam rong dibilas dengan air panas dan dibasuh.
  2. Kisar asam rong bersama cili api dan kunyit.
  3. Selepas itu, masukkan bahan kisar dalam periuk.
  4. Kemudian, tuang air secukupnya sebelum daun kesing dan asam keping dimasukkan.
  5. Seusai itu, perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
  6. Tutup periuk dan biarkan kuah masak menggelegak.
  7. Setelah itu, masukkan ubi kayu dan biar seketika selama 10 minit.
  8. Masukan ikan patin dan tutup periuk. Biarkan sehingga ikan masak dan ubi kayu empuk.
  9. Masukkan terung telunjuk dan biarkan ia masak.
  10. Asam rong ikan patin berampai siap untuk dihidangkan bersama nasi panas.

Sumber Siti Zakiah Dulkadir

Jangan lupa follow kami di Instagram!