BERMULA dengan penjualan telekung, jenama Siti Khadijah (SK) kini meluaskan cabang dengan menampilkan rangkaian produk termasuk pakaian untuk wanita dan lelaki.

Terbaharu, SK di bawah syarikah Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd melancarkan koleksi raya yang diberi nama Raya in Vogue.

Menampilkan lima baju kurung, satu baju Melayu selain jubah wanita, majlis pelancaran dan pertunjukan fesyen diadakan di ruang legar pusat beli-belah, KL East Mall.

Menurut Pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman, koleksi yang diperagakan hanya dijual secara fizikal dan terhad di butik di seluruh negara.

“Selain itu, anda juga boleh mendapatkan koleksi tersebut menerusi ‘personal shopper’ berdaftar yang kami panggil Srikandi di seluruh Malaysia. Sehingga kini, kami mempunyai lebih 600 Srikandi berdaftar. Pembelian koleksi ini juga boleh dibuat menerusi laman web SK.

“Jualan sudah dibuka bermula 15 Mac lalu. Jadi rancang pembelian anda dengan bijak, seperti yang dikatakan beli awal tak kalut. Kami tidak menggalakkan orang membeli minit akhir sebelum raya,” ujarnya.

Baca ni Tampak mewah dan eksklusif, abaya sentuhan Ezuwan Ismail dijangka laku keras sempena Aidilfitri

Biarpun setiap koleksi diserlahkan dengan gaya mewah, namun SK masih mengekalkan konsep kesederhanaan dan menitikberatkan soal keselesaan.

Sesuai dengan tagline iaitu selesa luaran, tenang dalaman, kata Padzilah.

“Tahun sebelumnya kami ada tampilkan rekaan bercirikan nusantara, klasik dan sebagainya. Untuk tahun ini, kami memilih elemen yang lebih ‘classy’ namun masih mengekalkan ciri patuh syariah.

“Lima koleksi baju kurung kami namakan sebagai Nazrin Kurung Pesak, Azra Kurung Pesak, Alara Kurung Moden, Aylin Kurung Moden dan Zehra Kurung Pahang. Setiap koleksi dihadirkan dengan lima pilihan warna,” ujar beliau sambil memberitahu, SK turut menawarkan pilihan jubah, tudung sarung, bawal satin dan biasa.

ENGGAN STATIK

Bagi kaum Adam, koleksi yang dinamakan Daud Baju Melayu hadir dengan lima pilihan warna.

Tambah Padzilah, pihaknya juga enggan statik dan mahu terus mengembangkan jenama ini ke persada antarabangsa. Sehingga kini, jenama itu mempunyai 47 butik di seluruh Malaysia.

“Kami juga ada dua butik di Indonesia. Seterusnya, paling terdekat kami bakal melebarkan sayap ke Singapura,” katanya.

Iklan

Terdahulu, pada acara pertunjukan itu, Edika Yusof dan Arash Mohd mencuri tumpuan apabila memperagakan koleksi lelaki Siti Khadijah.

Selain itu, para penonton turut dihiburkan dengan persembahan Lah Ahmad dan kumpulan Ruffedge.

Turut hadir Vanidah Imran, Kuza termasuk beberapa pempengaruh terkenal di platform digital serta media sosial.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Kumpulan Siti Khadijah, Shafie Shamsuddin dan Pengasas Bersama Siti Khadijah, Aminuddin Mohd Nasir.

Iklan

Baca lagi Koleksi Soultan lambang kemegahan & kebanggaan warisan Melayu, butang baju berbentuk keris jadi tarikan

JENAMA NASIONAL

Untuk rekod, SK ditubuhkan pada 2009 dengan satu hasrat bercita-cita tinggi iaitu mahu memastikan wanita boleh memilih telekung yang lebih baik dan selesa menerusi inovasi serta menambah baik pengalaman pengguna semasa solat.

Sehingga kini SK berjaya berkembang sebagai sebuah jenama nasional terkemuka sambil merintis pasaran khusus pembuatan telekung di Malaysia dan Indonesia.

Selain telekung, syarikat itu turut mengeluarkan pelbagai pakaian kelengkapan haji seperti tudung, stoking tangan, jubah dan aksesori menunaikan haji.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.