BERSAMA

Pakar Perunding Urologi,

Pusat Perubatan Universiti Malaya,

Prof Madya Dr Shanggar Kuppusamy

SOALAN 2:

Doktor, saya kini berumur awal 50-an dan sejak beberapa bulan lalu, saya berhadapan masalah kesakitan dan berasa air kencing saya panas semasa membuang air kecil. Ditambah pula dengan ketegangan pada bahagian belakang, pinggul dan paha. Apakah itu semua simptom kepada masalah kanser prostat? Jika ya, apakah prosedur yang perlu saya lakukan?

– INGIN TAHU, MOHD AZIZUL MOHD HALIM, 53, SUNGAI PETANI, KEDAH

JAWAPAN:

SEBAGAI seorang yang berusia dalam awal 50-an, inilah masanya tuan mungkin mula untuk mengalami simptom-simptom seperti kesukaran membuang air kecil seperti pengaliran yang kurang deras, lambat untuk mulakan kencing, tidak habis kencing dan sebagainya.

Itu mungkin disebabkan oleh masalah kelenjar prostat yang bengkak atau dipanggil benign prostate enlargement dan mungkin juga jangkitan kuman saluran kencing.

Pada umur lingkungan itu juga,  tuan mungkin mengalami sakit pada belakang badan dan kaki disebabkan tulang belakang yang lemah.

Bagaimanapun, pemeriksaan perubatan yang lengkap perlu dilakukan jika tidak pernah melalui masalah seperti itu untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

Untuk masalah kanser prostat, umur tuan sangatlah tepat untuk berjumpa dengan seorang pakar urologi untuk membuat pemeriksaan prostat.

Iklan

Penyakit tersebut pada peringkat awalnya langsung tidak menunjukkan apa-apa gejala dan biasanya dikesan pada masa saringan secara kebetulan sahaja.

Ada masanya, seseorang akan menghadapi gejala ringan sahaja seperti gangguan membuang air kecil dan paling teruk adalah menghadapi kesukaran yang sangat ketara untuk membuang air kecil, sakit bahagian belakang dan mungkin sakit yang sampai ke kaki serta kebas.

Itu berkemungkinan merupakan tanda-tanda penyakit tersebut sudah berada pada tahap yang tinggi.

Apabila seorang pakar urologi mengesyaki kanser prostat, beliau akan memberi kaunseling dan nasihat tentang ujian-ujian yang boleh dilakukan disebabkan kemungkinan mendapat diagnosa kanser prostat yang tidak membahayakan nyawa dan tidak memerlukan rawatan melainkan pengawasan sahaja.

Pada mulanya, pemeriksaan prostat akan dilakukan dengan memasukkan jari ke dalam lubang dubur untuk mengetahui sama ada kelenjar prostat terasa normal ataupun tidak.

Iklan

Selepas itu, ujian darah yang dipanggil prostate specific antigen (PSA) akan dilakukan.

Ujian PSA mungkin boleh menunjukkan tahap yang tinggi jika terdapat prostat yang bengkak ataupun prostatitis, tetapi ia juga akan naik dalam keadaan kanser prostat ke tahap melebihi melebihi  4.0 nanogram per mililiter (ng/ml) secara amnya.

Jika didapati terdapat kelenjar prostat tidak normal atau tahap PSA yang melebihi 4.0 ng/ml, tuan akan dinasihatkan untuk menjalani ujian biopsi prostat melalui lubang dubur dengan bantuan ultrasound. Oleh itu, nasihat saya segeralah untuk berjumpa dengan seorang pakar urologi agar pemeriksaan lebih tepat dapat dilakukan.