Lelaki sesak nafas lepas minta urut tengkuk bunyi ‘letup’ di kedai gunting

August 14, 2020
Azimah

FOTO: Gambar hiasan (Sumber internet)

BIASANYA penggunting rambut atau di salun akan menyediakan servis ekstra iaitu sedikit urutan terutama di tengkuk selepas pelanggan mendapatkan perkhidmatan.

Barangkali ada sebahagian pekerja kedai gunting terbabit yang sudah biasa melakukan servis urutan pada leher pelanggan. Ada yang mengakui suka dengan servis diberikan. Tidak kurang yang mengakui merasa lega dengan servis itu.

Andai kata servis tambahan berkenaan tidak diberikan, tak kurang ramai pelanggan yang meminta pula supaya ia dilakukan untuk melegakan lenguh leher selepas penat duduk ketika memotong atau mencuci rambut katanya.

Akan tetapi, buat pengetahuan pembaca SinarPlus dan mereka di luar sana, ketahuilah bahawa melakukan urutan di leher dengan cara ‘letup’ atau bunyi ‘krak’ di bahagian tersebut boleh mengundang risiko tinggi.

Artikel berkaitan: 5 tip berguna sebelum mahu gunting rambut sendiri di rumah

***

Seorang lelaki India berusia 54 tahun mendapatkan perkhidmatan gunting rambut di sebuah kedai gunting rambut kegemarannya.

Seperti mana rutin kebiasaan, selepas selesai menggunting rambut, tukang gunting akan memberi servis tambahan urutan kepala dan tengkuk.

Kebiasaannya, kepala pelanggan akan dimanipulasikan ke kiri dan ke kanan sehingga ada bunyi “ meletup” atau “crakk” .

Malang buat lelaki ini, selepas urutan itu, beliau mengadu sukar untuk bernafas. Mangsa di kejarkan ke hospital dengan ambulan.

Foto: PHM

Pemeriksaan MRI mendapati, terdapat kecederaan serius di tulang tengkuk mangsa. Kecederaan ini menyebabkan saraf phrenic tercedera, iaitu saraf yang berfungsi untuk mengawal diagrama iaitu sejenis otot yang membantu pernafasan.

Lelaki malang tersebut terlantar di hospital untuk tempoh masa yang lama dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang hayat

Perkara ini bukan main-main. Urutan tengkuk yang dilakukan di kedai gunting ini boleh menyebabkan pelbagai kecederaan lain.

Tulang tulang, sendi, otot dan saraf di tengkuk boleh mengalami kecederaan kekal yang mengakibatkan kecacatan untuk jangka masa panjang.

Selain itu, urutan tengkuk juga boleh menyebabkan saluran darah di tengkuk tercedera. Dalam kecederaan yang lebih serius, ia boleh mengakibatkan pendarahan dam strok

Sekiranya terlalu kerap melakukan urutan manipulasi tengkuk, untuk jangka masa panjang ia akan mengakibatkan osteoarthritis pada sendi tengkuk.

Walaupun urutan tengkuk seperti ini mungkin mendatangkan kelegaan untuk sesetengah individu, untuk kebaikan dan keselamatan jangka masa panjang, ia adalah amat TIDAK DIGALAKKAN.

Tengkuk adalah satu struktur yang stabil, tetapi sebarang manipulasi keterlaluan dan pergerakan yang terlalu kasar boleh mendatangkan kecederaan kekal.

Itu ilmu berguna yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia di Facebooknya hingga lebih 21k share sejak semalam hingga setakat ini. Moga ramai yang mengambil iktibar ya. Kesan jangka panjang urutan di tengkuk usah dipandang ringan.