Wanita kena hati-hati pilih kasut, elak kaki 'dapat' bunion. Tiada ubat, hanya pembedahan menanti
Oleh SITI FARAH ELIANI
BUNION merupakan salah satu kecacatan kaki yang biasa. Pun demikian, ramai yang lambat mengetahui mereka mempunyai masalah itu lantaran tidak mengalami kesakitan selama bertahun-tahun lamanya.
Hal berkenaan terjadi kepada salah seorang wanita, Fara Medina Mohd, 40. Kata jurutera pembinaan itu, beliau hanya menyedari tentang bunion pada kaki kanannya selepas ibu jari kakinya tertonjol dan membengkak.
“Sebagai seorang wanita yang menjaga ketrampilan diri, saya akan memastikan diri saya bergaya dengan memakai kasut tumit tinggi. Adakalanya saya terpaksa berdiri berjam-jam lamanya terutama ketika berada di lapangan, namun pada saya, alah bisa, tegal biasa.
“Setiap kali ibu jari saya kemerah-merahan, saya hanya sapukan minyak saja, tapi saya tak sangka hal berlarutan sehingga saya ‘dapat‘ bunion,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengupas lebih mendalam mengenai masalah kesihatan itu, SinarPlus mewawancara Pakar Ortopedik, Hospital Kemaman, Terengganu, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed.
Jelas pakar tersebut, bunion merupakan satu keadaan terbentuknya benjolan pada pangkal ibu jari kaki seseorang.
“Lazimnya, ia terjadi akibat ibu jari yang membengkok ke arah jari kelingking sehingga kadangkala bersilang dengan jari kaki yang di sebelahnya yang dikenali sebagai Hallux valgus,“ jelasnya.
Bunion dipecahkan kepada tiga pengelasan utama iaitu:
-Congenital Hallux valgus: Bayi yang dilahirkan dengan ibu jari yang bengkok.
-Adolescent Hallux valgus: Berlaku pada remaja berusia 10 hingga 15 tahun.
-Bunionette: Benjolan kecil berlaku pada pangkal jari kaki kelima.
Beritahu Dr Ahmad Mahyuddin, kajian menunjukkan, masalah bunion 10 kali lebih kerap terjadi kepada wanita berbanding lelaki.
Menurut Women‘s Health Magz, sekitar 23 peratus wanita dewasa di seluruh dunia berusia 18 hingga 65 tahun memiliki bunion.
Antara faktor-faktor yang meninggikan risiko berlakunya keadaan itu adalah:
-Pemakaian kasut yang ketat terutamanya sepatu berbentuk tirus.
-Individu yang menderita penyakit Artritis reumatoid.
-Mudah berlaku ke atas penari balet.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, punca terjadinya bunion masih lagi misteri.
Pun demikian, terdapat bukti yang menyatakan bahawa faktor genetik boleh menyumbang ke arah kemelut berkenaan.
“Sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan bunion adalah trauma seperti kepatahan tulang jari kaki, kerosakan tisu dan saraf kaki, masalah sistem saraf otot seperti polio dan penyakit Charcot-Marie-Tooth,“ jelasnya.
Charcot-Marie-Tooth adalah kelompok penyakit yang merosakkan sistem saraf tepi manusia.
Memperincikan lebih lanjut tentang kebengkokkan pada ibu jari kaki yang berlaku kepada pesakit bunion, Dr Ahmad Mahyuddin memberitahu, hal itu disebabkan oleh ketidakseimbangan pada otot dan urat tendon kaki.
“Pada peringkat awal, ia mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah, namun apabila situasi itu berlarutan, semakin lama ibu jari pesakit akan semakin bengkok dan menyebabkan kesakitan.
“Apabila mereka berjalan dengan memakai kasut, kulit pada luar bunion ini akan bergesel sehingga bolehmenyebabkan radang dan luka. Bahkan, jika pemakaian kasut berbentuk tirus atau runcing diteruskan, ia boleh menyebabkan simptom yang sedang dialami menjadi semakin parah,“ ungkapnya.
Dalam satu keadaan, pakar perubatan terkenal itu berkata, bunion boleh ‘hadir‘ tanpa sebarang kesakitan jelas.
Apa-apapun, beliau menyarankan agar semua individu terutama wanita peka dengan gejala yang selalunya timbul. Antara yang perlu diberi perhatian khusus adalah:
-Secara tiba-tiba, ibu jari kaki tidak dapat dibengkokkan.
-Rasa kebas pada ibu jari kaki.
-Kulit pada pangkal ibu jari kaki menebal.
-Kesukaran untuk memakai kasut.
Tiada ubat, cuma pembedahan
Adakah bunion boleh dirawat dengan kadar segera? Menjawab pertanyaan itu, Dr Ahmad Mahyuddin berkata, rawatan biasanya dibuat berdasarkan peringkat masalah yang sedang dihadapi.
“Jika dikesan awal, keradangan boleh dikurangkan dengan ubat antiradang seperti paracetamol, ibuprofen atau naproxen dan tuam dengan menggunakan ais,“ katanya.
Pada masa sama, pesakit dinasihatkan untuk memilih kasut atau selipar yang sesuai bagi mengelakkan tekanan pada bahagian sisi kaki.
“Ini kerana alas atau padding pada bahagian tulang yang tertonjol dapat mengurangkan radang atau mengelakkan luka pada bahagian itu. Sekiranya luka atau ulser terbentuk, ia perlu dicuci sehingga sembuh. Seandainya ia mula dijangkiti kuman, antibiotik perlu diberikan,“ beritahu beliau.
Kongsi pakar berkenaan lagi, sehingga kini, tiada ubat-ubatan yang boleh memperbetulkan kebengkokan pada ibu jari kaki.
“Satu-satunya caranya adalah dengan melakukan pembedahan. Tujuan utama ia (pembedahan) dilakukan adalah untuk mengelakkan komplikasi timbul akibat kebengkokan jari dan juga bunion tersebut. Selain itu, pembedahan dilakukan bagi tujuan kosmetik,“ terangnya.
Dari satu aspek lagi, terdapat pelbagai prosedur yang melibatkan pemotongan tulang dan juga jahitan pada tisu kapsul jari kaki bagi ‘memperbaiki‘ keadaan tersebut.
“Justeru, saranan saya, mereka yang mempunyai masalah bunion dinasihatkan mendapatkan maklumat lanjut dengan doktor ortopedik yang akan memutuskan apa tindakan selanjutnya yang boleh dibuat,“ katanya.
Dalam pada itu, ujar Dr Ahmad Mahyuddin, disebabkan punca sebenar bunion masih tidak dapat dikenal pasti oleh dunia perubatan, terdapat beberapa syor yang dikemukakan untuk mengelak risiko permasalahan berkenaan. Berikut adalah huraiannya:
-Pakai kasut yang sepadan dengan saiz kaki.
-Pilih model kasut yang menyediakan ruang yang cukup untuk jari kaki sama ada dari segi panjang dan lebar.
-Pilih bahan dan bentuk kasut yang tidak memberi tekanan pada tapak kaki.
“Usaha tersebut juga boleh dilakukan untuk mengelakkan berulang pada pesakit yang telah sembuh daripada bunion,“ ujarnya.
Masih berbicara tentang soal rawatan dan pencegahan, SinarPlus mengajukan soalan tambahan kepada Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad.
Beritahu Dr Zubaidi, sebelum tindakan susulan diambil, doktor akan bertanyakan beberapa soalan penting terlebih dulu.
Antaranya seperti simptom-simptom yang dialami, sejarah perubatan termasuk dan keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh.
Untuk mengesahkan diagnosis, doktor mungkin mengarahkan agar pemeriksaan X-ray dijalankan terutamanya jika terdapat keabnormalan yang disyaki dalam bentuk tulang atau seandainya pesakit mengalami kecederaan pada kaki, kata Dr Zubaidi.
Dalam pada itu, Perunding Ortopedik & Pakar Bedah Trauma, Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr. Gopinath Mathavan berkata, pelbagai prosedur pembedahan tersedia untuk merawat bunion.
Antaranya direka untuk membuang benjolan tulang, memperbetulkan perubahan struktur tulang dan memperbaiki perubahan tisu lembut yang mungkin juga berlaku.
Matlamat pembedahan adalah mengurangkan kesakitan, ungkap beliau.
“Dalam memilih prosedur atau kombinasi prosedur untuk kes tertentu, pakar akan mempertimbangkan sejauhmana kecacatan berdasarkan penemuan sinar-X, umur, tahap aktiviti dan faktor-faktor lain.
"Tempoh masa pemulihan akan berubah, bergantung pada prosedur yang dilakukan,“ ujarnya menerusi laman web https://www.orientalmedical.com.my/.
Pakai kasut ketat dipercayai punca masalah bunion - Athirah Munirah
“Alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan enam bulan yang lalu disebabkan bunion, saya kini boleh kembali berjalan seperti biasa.“
Itulah bait kesyukuran yang diungkapkan oleh Athirah Munirah Faris, 34, ketika berkongsi pengalamannya menghidap masalah kesihatan itu.
Cerita pekerja swasta itu, ketika konsultansi, doktor membuat kesimpulan kemungkinan beliau berdepan dengan bunion disebabkan memakai kasut yang terlalu ketat.
“Saya akui, sebelum ini saya langsung tidak tahu-menahu mengenai penyakit bunion sehingga saya mengalami rasa tidak selesa setiap kali memakai kasut.
“Bermacam-macam jenama dan jenis kasut mahal telah saya cuba, tetapi kesakitan yang dialami tidak pernah surut,“ katanya sambil memberitahu ahli keluarganya yang lain tidak pernah berdepan dengan masalah sama.
Disebabkan benjolan yang timbul pada bahagian kaki kanan terlalu ketara dan boleh memudaratkan, pakar terus mengesyorkan agar pembedahan segera dilakukan.
“Selepas prosedur (pembedahan) selesai, saya terpaksa bertongkat dulu. Selepas beberapa minggu, barulah kaki saya okey untuk bergerak dan diberikan untuk memakai kasut khas untuk berjalan,“ katanya.
Sepanjang tempoh pemulihan juga, Athirah Munirah tidak dibenarkan memandu kereta.
“Sehingga saat ini, saya masih berhati-hati. Saya bersenam juga, tetapi secara sederhana dan tidak lasak sangat,“ ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang