Ajak Shiro bantu anggota bomba pujuk lelaki cuba bunuh diri. 'Ini bukan perkara patut dibanggakan, syukur dapat tenangkan...'
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/thumbs/900x900/3008816.jpg)
A
A
A
PELAWAK Ajak Shiro berkongsi pengalaman bersama anggota bomba berjaya memujuk seorang lelaki yang cuba membunuh diri.
Insiden tersebut katanya berlaku di tingkat 11 Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Jalan Sultan Salahuddin.
Memetik laporan Berita Harian Online, penyampai radio itu mengakui tidak mengenali lelaki tersebut.
"Saya tidak mengenali lelaki itu, tetapi apabila dihubungi pihak bomba yang memaklumkan ada individu ingin membunuh diri dan mahu bercakap, saya cuba memberikan kerjasama sebaik mungkin.
"Saya tak tahu kenapa dia mahu bercakap dengan saya. Tapi mungkin sebab dia tahu saya mempunyai perniagaan, jadi mungkin dia nak dibantu," ujarnya.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008825.jpg)
Ketika dihubungi pihak bomba, Ajak dapat bercakap dengan lelaki itu dari konti radio sehinggalah di dalam kereta sambil memandu ke tempat kejadian.
"Apabila saya tiba di tempat kejadian, saya nampak dia berada di hujung bangunan tingkat 11 sambil memegang senjata tajam kerana bimbang pihak berkuasa akan menahannya.
"Namun, saya maklumkan dia perlu menjauhkan senjata itu supaya saya boleh datang untuk berbincang dan memujuknya. Alhamdulillah dia berjaya mengawal kemarahan dan diserahkan kepada pihak polis," jelasnya.
Masalah peribadi
Menurut Ajak, tindakan pantas dan usaha menyelamatkan individu yang mahu membunuh diri bukanlah satu perkara yang wajar dibanggakan kerana enggan perkara sama dilakukan oleh pihak lain.
"Alhamdulillah sebenarnya saya tak terfikir akan buat benda ini (menyelamatkan nyawa orang tidak dikenali).
"Tapi saya bersyukur kerana dapat melakukan sesuatu, namun ini bukanlah perkara yang patut dibanggakan.
"Ini kerana, saya tidak mahu selepas ini ada orang lain yang akan buat perkara sama. Cuma saya rasa syukur kerana dapat tenangkan individu berkenaan yang mungkin stres dan tertekan dengan masalah peribadi," katanya.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008826.jpg)
Terdahulu media melaporkan pasukan bomba dengan bantuan seorang selebriti yang juga penyampai radio berjaya menyelamatkan seorang lelaki di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berkenaan pada jam 10.23 pagi.
Susulan itu, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang