‘Buli, pukul orang lain tu cool ke?’ Alif Satar titip pesanan ‘makan jiwa’ untuk remaja yang rasa hebat jadi gengster
ISU buli bukanlah sesuatu yang baharu di negara kita. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, selepas satu kisah kecoh, pasti akan ada lagi cerita tular yang timbul melibatkan kes sebegini.
Apa nak jadi kepada anak-anak muda sekarang? Lebih menyedihkan, perkara ini berlaku di sekolah berasrama penuh yang berprestij dan dikenali ramai, tempat yang sepatutnya tidak berlaku insiden sebegini. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila ia terjadi?
Rasa bertanggungjawab untuk memberikan kata-kata hikmah kepada anak-anak remaja, Alif Satar telah memuat naik sebuah video pendek di akaun Instagram miliknya pagi ini.
“Alif ada satu cerita. Pengalaman Alif masuk penjara. Alif sempat bertemu dengan penghuni dalam penjara tu. Macam-macam masalah jenayah yang mereka dah buat. Semua duduk sekali dalam penjara tu.
“Alif nak kongsi kepada adik-adik yang rasa mereka gengster sangat atau rasa macam berkuasa nak buli orang. Alif pernah duduk bersama orang yang buli pelajar lain sampai menyebabkan kematian.
“Mereka duduk dalam penjara. Alif sempat tengok masa tu nak buka puasa. Bila Alif tengok dalam satu tong tu, Alif ingat mereka akan buang sisa makanan yang dimakan dalam tong tu nanti, tetapi rupanya makanan dalam tong itulah yang mereka akan makan,” kata Alif yang baru sahaja selesai solat Subuh di masjid ketika merakam video tersebut.
Tambah Alif lagi, kehidupan dalam penjara sangat tidak selesa — tiada kipas, tingkap, dan tilam. Di dalam sel itulah tempat untuk buang air dan juga tempat tidur. Belum lagi bercampur dengan penghuni lain dalam sel yang sama selama bertahun-tahun.
Menjadi pembuli untuk apa sebenarnya? Untuk tunjuk kehebatan kepada pelajar lain atau untuk kepuasan diri sendiri? Bila pukul anak orang kemudian berlaku kematian, apa yang akan berlaku? Memalukan ibu bapa dan juga keluarga.
Sebagai anak muda, sepatutnya bertanggungjawab menjaga ibu bapa, bersungguh-sungguh mengejar ilmu untuk menjadi orang yang pandai dan berjaya. Kemudian, membantu komuniti dan masyarakat sekeliling. Ikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Bila disuruh solat di masjid, tidak mahu pula. Rasa tidak ‘cool’.
Di media sosial sekarang ini, ramai warganet yang suka mengata orang lain. Apakah mentaliti sebegini yang akan menang melawan musuh Islam?
“We take care of each other. We take care of our people. We take care of our community. We don't hurt people. Orang Islam tak akan mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan juga orang lain,” ujarnya mengakhiri bicara.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
