‘Abang Ebby rajin sangat, saya segan’ - Ajak Shiro hadiahkan restoran kepada Ebby Yus
PERSAHABATAN sejati bukan sekadar hadir di waktu senang, namun turut menghargai satu sama lain tanpa syarat.
Itulah yang ditunjukkan pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro apabila dia menghadiahkan cawangan kedua restoran miliknya kepada pelakon senior, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60, atau lebih dikenali sebagai Ebby Yus.
Memetik Sinar Harian, Ajak atau nama sebenarnya, Mohd Hanaffi Razak, membuat keputusan itu selepas melihat usaha dan semangat Ebby yang tetap hadir ke restoran Bumbu Babah walaupun kesihatan dirinya tidak begitu mengizinkan.

Pelakon berusia 39 tahun itu mengakui berasa segan melihat kerajinan Ebby yang sanggup datang dari jauh hanya untuk beramah mesra dengan pelanggan dan rakan-rakan lain.
“Saya buat kejutan kali kedua sebab Abang Ebby orangnya rajin, selalu datang ke kedai dan itu buat saya segan sebab dia rajin sangat.
“Macam mana dia boleh datang ke kedai dan tidak penat, sedangkan dia datang pun sekadar mahu bersembang dengan pelanggan yang hadir.

“Lepas ini Abang Ebby boleh selalu datang kedai sebab dah dekat dengan rumah (Kampung Baru),” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, menerusi video sama, Ebby yang kini berdepan dengan masalah kesihatan turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kemurahan hati sahabatnya.
“Terima kasih banyak-banyak Ajak. Alhamdulillah, saya tak tahu nak kata apa, tetapi dalam keadaan begini saya sangat bersyukur.

“Saya doakan Ajak dan seluruh pasukannya diberikan rezeki yang melimpah ruah oleh ALLAH dan dapat terus berkongsi rezeki,” ujarnya.
Tindakan Ajak menerima pujian netizen yang menjadikannya sebagai contoh sahabat sejati dan ikutan kepada orang lain.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
