Detik cemas! Elvina Mohamad kongsi insiden kanak-kanak tersepit di eskalator, titip pesanan buat ibu bapa

No Image Caption
A
A
A

BIASANYA kalau habis menonton wayang, suasananya penuh dengan gelak tawa dan momen seronok bersama kawan atau keluarga.

Namun berbeza pula dengan pengalaman Datin Elvina Mohamad apabila perjalanan pulangnya dari tayangan filem bertukar menjadi detik cemas selepas dia menyaksikan insiden seorang kanak-kanak tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli-belah.

Pelakon berusia 30 tahun itu menceritakan kejadian berkenaan menerusi hantaran di platform Threads.

Katanya, insiden itu berlaku sejurus selepas tayangan perdana filem Magik Rompak di MyTown Mall, Kuala Lumpur.

No Image Caption

“Habis screening meet and greet filem Magik Rompak di MyTown Mall, masa nak balik ternampak kejadian ini.

"Ya ALLAH, kesian adik ini kaki dia termasuk dalam eskalator,” tulisnya.

Menerusi video yang dikongsikan, kanak-kanak terbabit kelihatan duduk dalam keadaan panik dengan sebelah kakinya tersepit pada bahagian eskalator.

Keadaan bertambah mencemaskan apabila orang ramai termasuk anggota polis bertungkus-lumus cuba membantu mengeluarkan kaki mangsa.

Sebagai seorang ibu, Elvina jelas tersentuh dengan kejadian tersebut dan tidak ketinggalan menitipkan pesanan kepada semua ibu bapa agar sentiasa peka dengan keselamatan anak-anak ketika berada di tempat awam.

“Kepada ibu bapa di luar sana tolong lebih berhati-hati kalau bawa anak kalian naik eskalator. Tolong jangan bagi anak berdiri dekat tepi atau hujung eskalator, bahaya.

"Pesanan untuk diri saya sendiri juga. Takut tengok kejadian tersebut. Semoga adik itu baik-baik sahaja,” tambahnya lagi.

Perkongsian Elvina itu nyata membuka mata orang ramai bahawa kemalangan boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa, walaupun di tempat yang dianggap selamat seperti pusat beli-belah.

Apa yang penting, keselamatan anak-anak jangan sekali-kali dipandang ringan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang