Khai Bahar syukur hidup lebih tenang, rezeki terus mengalir dalam karier & bisnes: 'Setahun menanti, kini berjaya direalisasikan'
KE mana sahaja kakinya melangkah, aura dan keramahan Khai Bahar memang tidak pernah gagal menarik perhatian peminat.
Personalitinya yang merendah diri serta mudah didekati menjadikan penyanyi ini antara figura yang sentiasa menyenangkan, bukan sahaja dalam dunia seni, tetapi juga dalam kalangan masyarakat umum.
Tidak hairanlah apabila namanya sering menjadi pilihan pelbagai pihak yang mencari wajah yang dekat di hati pengguna.
Terbaharu, pesonanya kembali menjadi tumpuan apabila Khai dilantik sebagai Duta Rasmi jenama Coco Cado, sebuah jenama snek tempatan di bawah Syarikat Happy Alliance (M) Sdn. Bhd.

Bertemu SinarPlus pada majlis pelancaran dua produk terbaharu Coco Cado, Potato Sticks dan Popping Pearls, anak kelahiran Perlis itu berkongsi perjalanan sebenar di sebalik pelantikan tersebut.
“Setahun sebenarnya menanti, akhirnya berjaya direalisasikan. Ambil masa lama kerana ia membabitkan makanan… sebab nak bagi orang makan, jadi kena pastikan semuanya betul-betul baik,” katanya mengimbas proses kerjasama panjang sebelum dipersetujui kedua-dua pihak.
KEJUTAN MANIS
Bagi Khai, membawa title duta bukan sekadar simbolik.
“Sebagai duta yang membawa nama sendiri dan produk, saya kena laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” ujarnya dengan komitmen yang jelas terlihat pada wajahnya.
Di majlis itu juga, Khai menerima kejutan manis apabila dimaklumkan bahawa bukan satu, tetapi dua produk baharu Coco Cado diperkenalkan khusus untuknya.
“Awalnya hanya satu produk, tak sangka ada kejutan. Waktu pelancaran baharu saya tahu rupanya ada dua produk untuk saya. Terima kasih atas kepercayaan pihak syarikat,” katanya.

Selain kerjasama itu, Khai juga aktif menguruskan bisnes peribadinya.
“Saya ada bisnes parfum dan sekarang saya mula aktif semula dalam tersebut,” katanya ringkas.
Tahun ini juga memberi ketenangan baharu buat dirinya.
“Sekarang saya syukur sebab perjalanan seni saya berada di landasan yang baik.
"Saya tak mahu fikir stres, nak move on. Ramai sayangkan saya, jadi nak fikir positif dan buat yang terbaik,” katanya.
Dalam masa sama, Khai berharap energinya dapat memberi pengaruh baik kepada orang lain.
“Pada masa sama, saya nak sebarkan awareness dan vibes positif kepada semua, terutama peminat yang sentiasa bagi sokongan selain ahli keluarga,” tambahnya.

Mengulas perancangannya menjelang tahun 2026, penyanyi bersuara lunak itu mengakui ingin mencuba perkara baharu.
“Setiap tahun saya akan buat sesuatu yang berbeza. Untuk karier, saya nak cari sesuatu yang baharu selain duta dan nyanyian.
"Kalau ada tawaran berlakon, mungkin saya pertimbangkan,” katanya sambil mengingatkan bahawa dia pernah menolak beberapa tawaran kerana bimbang tidak mampu menggalas watak dengan baik.
TIDAK TERBURU-BURU
Soal perkahwinan pula, Khai lebih selesa tidak terburu-buru.
“Belum fikir, sebab nak fokus pada kerjaya dahulu. Jika ada jodoh, insya-ALLAH,” ujarnya.
Pelancaran Potato Sticks dan Popping Pearls juga menandakan komitmen Coco Cado dalam menyediakan pilihan snek moden yang sesuai dengan gaya hidup masa kini.
Pelantikan Khai lebih berfokus kepada hubungan mesra antara pengguna dan jenama, bukan promosi keterlaluan.

Pengarah Urusan Happy Alliance (M) Sdn Bhd, Johnny Tan, turut berkongsi keyakinannya terhadap kerjasama ini.
“Keramahan dan karakter positif Khai sangat bertepatan dengan DNA Coco Cado.
"Kami percaya pelantikan ini mampu membawa jenama ke tahap lebih tinggi serta membuka lebih banyak peluang kerjasama,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
