Misha Omar tak harap tiket percuma rakan artis, sanggup ‘battle’ demi kelangsungan industri seni
PENYANYI Misha Omar menegaskan dirinya tidak pernah mengharapkan tiket percuma setiap kali menghadiri konsert rakan-rakan artis.
Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aishah Omar menjelaskan, dia lebih selesa membeli sendiri tiket sebagai tanda sokongan terhadap industri seni tanah air.
Jelas pelantun Break itu, kehadirannya ke konsert bukanlah kerana paksaan atau semata-mata mahu menjaga hati rakan seindustri, sebaliknya didorong oleh kecintaan terhadap dunia seni dan penghargaan terhadap karya orang lain.
“Saya hadir ke konsert rakan artis tanpa paksaan sesiapa. Tidak ada istilah saya pergi semata-mata untuk jaga hati kawan.
“Saya suka meraikan mereka dan menghormati hasil kerja orang lain. Saya pergi konsert kerana saya benar-benar cintakan seni,” ujarnya.
Tambah penyanyi berusia 43 tahun itu, tindakan membeli tiket sendiri adalah usaha kecil yang mampu menyumbang kepada kelangsungan industri muzik tempatan.
“Saya mahu tunjuk kepada peminat bahawa saya tidak mengharap tiket percuma. Semuanya saya beli sendiri, kita sama-sama ‘battle’ tiket,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert DiA Misha Omar yang berlangsung di Pusat Perdagangan Ikon City, Petaling Jaya, pada Selasa.
Dalam pada itu, menjelang pementasan konsertnya yang dijadual pada 29 November ini, anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu turut menegaskan, dia tidak menyediakan tiket percuma, termasuk untuk ahli keluarganya sendiri.
“Konsert saya kali ini tiada istilah tiket percuma. Semua ahli keluarga saya termasuk suami, anak-anak saudara dan sepupu beli tiket sendiri. Saya mahu mereka hargai kerja keras saya serta mereka yang terlibat secara langsung dengan konsert ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Sampai Bila tersebut bersyukur apabila ramai rakan artis tampil memberikan sokongan dengan membeli tiket secara sah tanpa meminta percuma.
“Alhamdulillah, tiada rakan artis minta tiket percuma. Saya rasa mereka faham usaha yang dilakukan untuk menghasilkan persembahan terbaik, dan saya juga berbuat perkara sama untuk menyokong rakan-rakan lain,” katanya.
Sementara itu, Misha akan mengadakan konsert berskala besar bertajuk DiA Misha Omar pada 29 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, sebagai keraian perjalanan seninya selama lebih 23 tahun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

