Pilih tarikh cantik 25.5.2025, Jaclyn Victor sah bergelar isteri Calvin T.Samuel!
SETELAH enam tahun memegang status ibu tunggal, penyanyi popular Jaclyn Victor kembali bergelar isteri kepada pensyarah bernama Calvin T. Samuel sebagai pilihan hatinya.
Meskipun berita gembira itu tidak keluar dari mulut penyanyi Bertamu Di Kalbu sendiri, beberapa rakan artis sempat berkongsi momen berharga ibu kepada dua orang cahaya mata ini.
Antaranya ialah penyanyi Shila Amzah yang berkongsi ucapan penuh emosi buat Jaclyn di laman Instagram miliknya pada Ahad.
"Kepada kakak tersayangku @jaclyn_victor, hari ini bermulalah satu bab yang indah dalam hidupmu. Sebuah perjalanan penuh cinta, tawa dan kebahagiaan selamanya.
"Dari zaman Malaysian Idol hingga kini menjadi pengantin yang berseri, aku berdiri dengan penuh bangga dan gembira di sisimu.
"Semoga hatimu sentiasa rasa tenang dalam pelukannya, dan hari-harimu dipenuhi kasih sayang dalam alam perkahwinan.
"Kepada Calvin, tolong jaga kakak saya baik-baik ya, kami semua sayang dia sangat-sangat. Selamat pengantin baru, kakak kesayangan saya sampai bila-bila," tulis Shila.
Pasangan ini memilih tarikh cantik, 25.5.2025, sebagai hari penyatuan cinta mereka. Jaclyn kelihatan anggun dalam gaun putih manakala Calvin segak mengenakan sut lengkap pada majlis penuh bermakna itu.
Majlis pernikahan berlangsung secara tertutup di sebuah dewan dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja.
Selain Shila Amzah, beberapa rakan selebriti turut hadir memeriahkan suasana, antaranya Datuk Ramli MS, Tomok, Nikki Palikat, Marsha Milan dan Siti Nordiana. Turut kelihatan ialah Dina Nadzir, Che Puan Sarimah Ibrahim, Anuar Zain serta Hael Husaini.
Terdahulu, Jaclyn pernah berkahwin dengan penyanyi dari Amerika Syarikat, Shawn Rivera pada Julai 2014, namun rumah tangga mereka berakhir selepas lima tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Jonah Joshiah Rivera, 10, dan Molly Marguerite Rivera, 8.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
