Wanna Ali dedah wanita tidak perlu menyara suami. Ini sebabnya: 'Jangan terlalu bergantung pada lelaki provider jika diri sendiri...'
WANITA kini semakin berdikari dan berjaya membina kerjaya sendiri, sehinggakan isu peranan suami sebagai penyedia nafkah hangat diperkata ramai.
Bagi pelakon Wanna Ali, isu tersebut bukan sekadar perbincangan di media sosial, sebaliknya menyentuh prinsip dan realiti kehidupan berumah tangga yang wajar difahami bersama.
Pemilik nama penuh, Nor Syazwana Mohd Ali berpandangan, wanita tidak seharusnya memikul tanggungjawab menyara suami selepas berkahwin.
Menurutnya, walaupun dia memahami keinginan wanita mencari pasangan yang mampu menjadi ‘provider’, terutama bagi mereka yang sudah biasa menyara keluarga sejak bujang, situasi itu tidak sepatutnya terbalik selepas bergelar isteri.
“Saya melihat ia sebagai sesuatu yang kurang tepat apabila wanita yang sudah berdikari dan menyara diri mahukan lelaki yang mahu disara pula.
“Kalau saya berkahwin, memang tidak logik sekiranya saya pula yang perlu menyara suami,” ujar isteri kepada Khairil Amri Khalid itu.

Mengulas lanjut, Wanna mengakui realitinya kini bukan mudah untuk mencari lelaki yang benar-benar mampu menyediakan nafkah sepenuhnya.
Malah, dia menyifatkan golongan lelaki bertanggungjawab semakin berkurangan.
“Memang sukar nak cari lelaki ‘provider’ yang betul-betul boleh menyara pasangan.
“Saya rasa lelaki yang benar-benar baik pada zaman sekarang semakin pupus.
“Good luck kepada wanita di luar sana, sebab hakikatnya memang tak mudah,” katanya jujur.
Lelaki provider
Dalam masa sama, Wanna menegaskan Islam sudah menetapkan dengan jelas bahawa tanggungjawab mencari nafkah terletak di bahu suami, bukan isteri.
“Bila isu ini dibincangkan, ada pula yang mempersoalkan apa wanita boleh sediakan untuk keluarga.
“Sedangkan dalam agama kita sudah jelas bahawa lelaki bertanggungjawab menyediakan nafkah,” jelasnya.
Kongsinya lagi, apabila topik lelaki ‘provider’ diketengahkan, ada pihak yang membalas dengan persoalan sumbangan wanita.
Hakikatnya, Islam turut menggariskan peranan wanita sebagai isteri yang taat dan setia, bukan sebagai pencari nafkah utama.

Isu lelaki ‘provider’ sebelum ini hangat diperkatakan di media sosial apabila ramai berkongsi pengalaman dan cabaran mencari pasangan yang benar-benar bertanggungjawab.
Namun begitu, Wanna berpandangan wanita juga perlu bijak berdikari dan mempunyai sumber pendapatan sendiri sebagai persediaan menghadapi masa depan.
“Jangan terlalu berharap pada lelaki ‘provider’ kalau diri sendiri tak tahu urus kehidupan.
"Nanti kita pula dilabel ‘mata duitan’,” katanya.
Dalam pada itu, Wanna yang selamat mendirikan rumah tangga dengan Khairil Amri pada 9 Februari lalu meluahkan rasa syukur kerana suaminya sentiasa menjadi penyokong utama dalam perjalanan karier seninya.
Sumber: Astro Gempak & BH Online
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

