'Dulu nak kahwin umur 30, rupanya bercerai' – Mawar Karim akui jodoh bukan lagi keutamaan, fokus anak & bisnes

No Image Caption
A
A
A

USAHAWAN tudung, Mawar Abdul Karim mengakui dia tidak lagi memikirkan soal pinangan mana-mana lelaki. 

Dalam sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini, wanita berusia 36 tahun itu berseloroh bahawa dirinya sudah 'tua' untuk memikirkan soal jodoh. 

Apabila ditanya netizen tentang syarat calon suami, Mawar menjawab dengan nada bersahaja tetapi penuh makna. 

“Apa syarat-syarat nak masuk minang, Mawar? Janganlah, adik. Saya dah tua dah. Kubur pun dah panggil dah.

"Saya ini sudah tua, bukan umur 20-an dan kelakar kalau masih 'i love you'.

“Pertama sekali kita tengok dia (calon) senang bangun subuh ke tak? Kalau tak bangun, perempuan pula yang kena gerak, memang kena luku (pukul) kepala,” katanya sambil ketawa.

No Image Caption

 

Jawapan itu menunjukkan kematangan Mawar dalam melihat cinta bukan sekadar kata-kata manis, tetapi tentang tanggungjawab, keikhlasan dan keimanan.

Bekas isteri pelakon Fizo Omar itu kemudiannya mengimbas impian lamanya untuk mendirikan rumah tangga pada usia 30 tahun. 

Namun, siapa sangka usia itu juga menjadi detik perceraian. 

“Dulu cita-cita nak kahwin umur 30. Rupanya saya bercerai umur 30. 

"Rasa kelakar, tapi semua ini perancangan ALLAH,” katanya. 

Dedahnya lagi, sewaktu muda dia ingin menikmati kebebasan selepas lama memikul tanggungjawab menjaga adik-adik. 

“Kawan-kawan pelik bila saya cakap nak kahwin umur 30. Saya kata nak enjoy dulu, nak rasa freedom dulu. 

"Tapi akhirnya bila fikir balik, saya cuma boleh senyum. Kita boleh merancang, tapi ALLAH yang tentukan," ungkap anak jati Pulau Pinang itu.

Berkongsi tentang anak tunggalnya, Wan Maryam, Mawar mengakui puterinya itu adalah pinjaman yang paling berharga daripada YANG MAHA ESA. 

“Alhamdulillah, Maryam adalah amanah yang dipinjamkan. Bukan milik saya sepenuhnya. 

"Dulu saya kata Maryam tu saya punya, tapi bila muhasabah diri, saya sedar semuanya hanya pinjaman,” ujarnya. 

No Image Caption

Malah katanya lagi, setiap insan dalam hidup, baik suami, isteri, anak mahupun ibu bapa,  hanyalah pinjaman sementara. 

“Semua pinjaman. Bukan milik kita seratus peratus. Sampai masa dia datang, sampai masa dia pergi. 

"Hargailah apa yang ada depan mata sebelum ALLAH tarik balik," jelas Mawar penuh makna.

Dalam masa sama, Mawar mengakui, pengalaman hidup yang dilalui banyak membentuk dirinya menjadi seorang wanita lebih matang dan kuat. 

“Pengalaman itu yang menjadikan siapa saya hari ini. Saya belajar untuk hargai, bukan menyesali.  Kalau dulu saya fikir semua kena sempurna, sekarang saya lebih tenang terima apa adanya.

"Walaupun banyak ujian dilalui, saya memilih untuk melihat segala yang berlaku sebagai proses mendewasakan diri," dedahnya.

Dalam sesi live berkenaan, Mawar beberapa kali ketawa sendiri mengenangkan kisah lalu. 

No Image Caption

Namun jelas terlihat ketenangan yang datang daripada penerimaan dan reda. 

“Hujung-hujung kan saya gelak sorang-sorang. Bila fikir balik, lawaklah saya ni. Tapi tak apalah… Semua yang jadi tu ada hikmah.” 

"Kini, saya lebih fokus kepada anak, keluarga dan perniagaan. Jika jodoh hadir semula, saya tidak menolak, tetapi bukan lagi keutamaan," ungkapnya.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang