Sewa bilik 10x10, Datuk Red dedah guna tandas awam untuk mandi. 'Kalau anak nak datang, kena singgah...'

SIAPA sangka, lelaki yang pernah memiliki segalanya dalam melayari kehidupan penuh glamor dan kemewahan kini diuji dengan fasa hidup yang betul-betul mencabar kekuatan jiwa.
Datuk Seri Adnan Abu, yang juga bekas suami kepada penyanyi Adira Suhaimi, menjalani kehidupan penuh sederhana selepas diisytiharkan muflis daripada zaman kegemilangannya sebagai seorang ahli perniagaan berjaya.
Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red kini belajar menerima ujian hidup dengan reda dan memahami erti sebenar kesederhanaan.
Menerusi satu temu bual bersama Dol’s Podcast, Datuk Red terbuka berkongsi sisi kehidupannya yang cukup menginsafkan apabila hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil berharga RM250 sebulan tanpa tandas sekadar cukup untuk tidur dan berteduh.
“Bilik ni kecil, 10x10 kaki sahaja. Tak ada tandas. Kalau anak-anak nak datang hujung minggu, saya minta mereka singgah tandas awam dulu sebelum sampai,” katanya jujur.
Tambahnya lagi, bilik yang terletak di Sungai Buloh itu pada asalnya mahu dijadikan pejabat kerana dilengkapi penghawa dingin, namun terlepas pandang tentang kemudahan asas penting yang akhirnya menjadikan ruang tersebut hanya cukup berehat.
“Dulu saya ingatkan nak buat pejabat dan sewa pun murah RM250 sahaja siap ada penghawa dingin, tapi saya tidak tahu pula bilik ni tiada tandas tapi dah terambil saya tak boleh nak buat apa,” jelasnya lagi.
Lebih menyentuh hati, Red turut berkongsi bahawa kebanyakan masa kini dihabiskan di hentian rehat dan rawat (R&R) bukan sahaja untuk mandi, malah menjadi tempat beliau berehat dan membuat siaran langsung TikTok.
“Pengawal keselamatan, pemandu lori, tukang cuci semua dah kenal saya. Saya tidur dalam kereta, mandi pun di situ. Air kat R&R laju, saya selesa. Dari situlah saya buat siaran langsung,” tambahnya.
Kisahnya turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet. Ramai yang terkejut dengan perubahan drastik kehidupannya, namun pada masa sama kagum dengan semangat beliau untuk terus bertahan.
Malah, ada yang menawarkan bantuan termasuk tempat tinggal yang lebih selesa pada harga berpatutan.
Sebelum ini, Red turut memaklumkan bahawa beliau sedang berusaha keras untuk memperbaiki keadaan hidupnya, termasuk mencabar diri untuk melangsaikan hutang sebanyak RM7 juta dalam tempoh tiga tahun.
Untuk rekod, syarikat hartanah dan perumahan yang pernah beliau usahakan sudah tidak beroperasi sejak 2019, dan dirinya juga telah diisytihar muflis, terpaksa menanggung beban hutang yang menimpa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang