Seronok main bunga api, tetapi awas ada bahaya yang menanti!

SUDAH menjadi kebiasaan, setiap kali musim perayaan pasti diraikan dengan persembahan bunga api yang menceriakan langit malam.
Namun, di sebalik cahaya gemerlapan ini, terdapat bahaya tersembunyi yang sering diabaikan, iaitu bunga api boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, terutamanya pada telinga, hidung dan tekak.
Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr Jeyanthi Kulasegarah berkata, sesiapa sahaja boleh terjejas kesihatannya akibat bunga api.

“Antara golongan yang lebih berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu dengan masalah pernafasan atau pendengaran.
“Saya menggalakkan semua orang agar lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan diri serta orang tersayang,“ katanya.
Bunga api menghasilkan bunyi yang melebihi 150 desibel (dB), jauh lebih tinggi daripada had selamat pendengaran, iaitu 85dB.
Bunyi letupan kuat ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, tinnitus (deringan dalam telinga), sakit telinga, atau dalam kes yang teruk, gegendang telinga pecah.
Pendedahan kepada bunyi bising berintensiti tinggi ini boleh mengakibatkan kerosakan pendengaran sementara atau kekal.

Sistem pernafasan
Bagi yang belum mengetahui, asap dan bahan kimia yang dilepaskan oleh bunga api juga boleh menyebabkan iritasi tekak, bronkitis serta memburukkan masalah pernafasan seperti asma.
Partikel halus yang dibebaskan juga boleh mencetuskan alahan seperti rinitis atau sinusitis.
“Apabila bunga api meletup, ia membebaskan bahan kimia dan zarah halus ke udara seperti sulfur dioksida, nitrogen oksida serta partikulat halus (PM2.5 dan PM10) yang boleh memasuki sistem pernafasan.
“Penyedutan bahan pencemar ini boleh menyebabkan keradangan tekak dan paru-paru serta mengurangkan fungsi paru-paru,“ jelas pakar itu lagi.
Justeru, jika anda sensitif kepada asap, elakkan berada di luar rumah atau pakai topeng muka.
Pastikan badan sentiasa terhidrat dan gunakan semburan hidung garam untuk membersihkan saluran pernafasan serta mengurangkan iritasi.
Awasi anak-anak yang bermain bunga api. Ajarkan mereka menjaga jarak selamat ketika menyalakan bunga api.

Tip elak risiko kesihatan
Bagi individu yang mempunyai masalah pernafasan, penting untuk:
- Sentiasa membawa inhaler jika diperlukan
- Elakkan berada di luar rumah ketika pencemaran meningkat
- Gunakan penapis udara untuk mengekalkan kualiti udara dalaman
- Berkumur dengan air garam untuk melegakan tekak
Sementara itu, mereka yang sensitif terhadap bunyi perlu memakai penutup telinga kalis bunyi, mengelakkan kawasan dengan bunyi kuat
Walaupun bunga api adalah sebahagian daripada kemeriahan perayaan, ia membawa risiko tersembunyi yang boleh menjejaskan kesihatan telinga, hidung dan tekak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang