Hukum bayar penuh kepada pengasuh, taska dan tadika walaupun tidak hantar anak ketika PKP

A
A
A

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada fasa pertama lagi, semua taska diarahkan tutup.

Begitu juga dengan tadika, pusat tuisyen dan sesi persekolahan. Semuanya tidak beroperasi bermula 18 Mac lalu hinggalah tamat fasa ketiga PKP pada 28 April ini.

Apabila pusat jagaan dan pendidikan berkenaan tidak beroperasi, sudah tentulah ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke taska dan tadika.

Begitupun, dari segi yuran, perlukah upah pengasuh tadi dibayar penuh walaupun anak-anak tidak dihantar ke rumah pengasuh atau taska?

Bagi meleraikan kekusutan ini, Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak ada memberi panduan tentang perkara berkenaan.

Dalam hal ini, seharusnya ada perbincangan antara pihak taska, pengasuh, tadika, pusat tuisyen dan sebagainya bersama ibu bapa.

Perbincangan itu khususnya berdasarkan kepada terma dan syarat perjanjian atau sebarang peraturan yang telah dipersetujui lebih awal jika ada dengan terma, syarat serta peraturan tersebut tidak melanggar syarak.

Sepatutnya, dalam keadaan PKP akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19), pihak pengusaha sekolah, taska, tadika, pusat tuisyen atau pengasuh tidak boleh mengenakan sebarang bayaran, upah atau yuran.

Ini kerana tiada perkhidmatan yang boleh diberikan kerana pergerakan yang dihadkan.

Andai kata, bayaran telah dibuat lebih awal, maka lebihan daripada pembayaran tersebut adalah hak milik pembayar. Menjadi amanah pengusaha taska atau pengasuh untuk menjaganya dan ia boleh dituntut oleh ibu bapa tersebut pada bila-bila masa.

Bayaran penuh pengasuh taska dan tadika JIKA ibu bapa telah membayar yuran atau upah pengasuh, taska, tadika, tuisyen dan sebagainya terlebih dahulu, maka menjadi amanah pihak-pihak berkenaan untuk menjaganya dengan sebaiknya serta ia tidak boleh digunakan.

Ketahuilah bahawa yuran atau upah berkenaan boleh disimpan atas dasar amanah oleh pihak taska, sekolah atau pengasuh atas izin pembayar sehinggalah keadaan menjadi normal seperti kebiasaannya.

Namun begitu, seandainya wang tadi telah digunakan, maka pihak taska, sekolah atau pengasuh perlu menggantikannya.

Paling penting dalam perkara ini, bayaran yuran atau upah hanya boleh diambil setakat perkhidmatan yang diberikan sahaja iaitu setakat sebelum PKP akibat Covid-19 bermula.

Dalam Islam, keadaan PKP untuk mengekang penularan pandemik itu dikira sebagai salah satu keadaan faktor mendatang atau hal mendatang yang tidak terduga awaridh tari’ah atau zuruf tari’ah yang memberikan kesan kepada kontrak yang telah dimeterai.

Masakan tidak, perkara itu berlaku adalah di luar kawalan pihak yang berkontrak (berakad) yang menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakan iltizam dan tanggungjwab masing-masing.

Maka, disebabkan itulah kontrak (akad) adalah terfasakh atau terlerai.

Ya, begitulah jawapan yang dilontarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak. Semoga ia boleh memberi panduan kepada kita.

Apa sekalipun, kembalilah kepada perbincangan bersama yang tidak melanggar syarak.

(Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak)

Foto: Unsplash & 123rf

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca