Kronologi kanak-kanak 6 tahun temui ajal tersepit meja lipat. Ibu pilu namun reda. 'Beratus kali larang, suka sangat main secara ekstrem'
SIAPA sangka sebuah meja lipat mengundang bahaya hingga meragut nyawa seorang kanak-kanak.
Dalam kejadian yang berlaku di Taman Seri Putera, Nibong Tebal, seorang ibu, Riana Fitriasih Kusnan, 38, pilu kehilangan anak bongsunya, Nur Aqifah Humaira Abdullah,6, asbab sebuah perabot itu di kediamannya.
Berikut kronologi kejadian tragis itu yang wajar dijadikan pengajaran:
1-Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah dikatakan bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya.
2- Ketika kejadian ibu tunggal tersebut bersama dua lagi anaknya berada di rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan anak sulungnya yang memaklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu ditemui dalam keadaan tidak sedar diri serta tersepit celah besi meja lipat di bahagian belakang rumah mereka.
3-Riana dan anak sulungnya sempat mengeluarkan mangsa daripada celahan besi meja itu sebelum mendapatkan bantuan jiran membawanya ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk tindakan lanjut.
4-Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
5-Difahamkan, polis menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan berhubung kematian mangsa sebelum bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.
6-Susulan itu, pasukan forensik dan pegawai penyiasat melakukan siasatan di rumah mangsa selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
7-Difahamkan mayat mangsa akan dibedah siasat di Hospital Parit Buntar, Perak.
8-Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
SUKA BERMAIN EKSTREM & BAHAYA
Masih berendam air mata mengenangkan kehilangan anak bongsu yang berpewatakan ceria, Riana mengakui telah melarang anaknya daripada melakukan aktiviti berbahaya.
"Anak bongsu saya itu suka sangat main secara ekstrem, bahayakan diri meskipun beratus kali dilarang tapi dia tetap mahu mencuba sehingga kejadian hari ini (semalam) yang meragut nyawanya," katanya.
Memeluk patung beruang dipercayai milik Allahyarham, wanita warga Indonesia tidak henti menitiskan air mata merindu keletah manja Nur Aqifah
"Setiap hari mesti ada saja celoteh Nur Aqifah yang mana adakalanya membuatkan saya marah kerana kelakuannya itu membahayakan diri.
"Malah sebagai tukang cuci rumah sambilan, saya tidak pernah tinggalkan dia sendiri kerana takut sesuatu menimpa disebabkan tindakannya yang suka mencuba sesuatu yang ekstrem.
“Saya reda dengan kehilangannya namun tidak sangka tindakannya yang sering saya larang itu meragut nyawanya,” katanya.
Beliau juga memaklumkan jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Mahat di sini, sebaik selesai proses bedah siasat.
Artikel berkaitan:
- Lompat dari sofa, dada tertusuk kaca meja, pemergian tragis kanak-kanak jadi perhatian. 5 info ini wajib tahu
- Kanak-kanak 3 tahun maut, ibu bapa cuai tertinggal 6 jam dalam kereta suhu 35 darjah Celsius
- Kanak-kanak 3 tahun rentap tangan melulu lintas jalan cetus kemalangan, 8 tip ini ibu bapa perlu tahu
ADAKAH MEJA LIPAT BERBAHAYA?
Hakikatnya, meja lipat bukan kali pertama mengakibatkan kematian dalam kalangan kanak-kanak.
Imbas kembali pada September 2017, seorang kanak-kanak perempuan, Allahyarham Nor Hadirah Noraini Makeruddin, 5, juga maut selepas lehernya tersepit pada bahagian kaki meja lipat.
Adiknya yang berusia empat tahun yang bermain bersama dengannya ketika itu mengadu kepada kakak bahawa Allahyarham 'tidur lama' dan lehernya tersepit pada kaki meja plastik.
Sementara itu, dalam kes pada tahun 2010 di di Kampung Talang Hilir, Kuala Kangsar, Perak, kanak-kanak lelaki Muhammad Irfan berusia lima tahun juga tersepit pada kaki meja lipat.
Insiden maut itu hanya disedari selepas 10 minit berlalu dan ketika itubadannya sudah kebiru-biruan akibat tidak boleh bernafas.
Ketika kejadian, si kecil itu bermain bersendirian di belakang rumahnya.
Muhammad Irfan aada menjerit ketika kejadian tetapi ahli keluarga yang lain menganggapnya gurauan kerana dia selalu bermain dan suka menjerit dan itu satu perkara biasa.
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat terdahulu melarang kanak-kanak bermain dengan meja lipat mudah alih yang banyak digunakan di sekolah di sana kerana ia boleh mengundang kecederaan terutamanya tanpa pengawasan orang dewasa.
Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazette, CPSC US
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang