Doa, zikir & amalan ibu bapa bantu anak hadapi peperiksaan. Lapangkan dada, menjawab dengan tenang, raih keputusan cemerlang
DOA adalah senjata orang-orang yang beriman manakala doa ibu bapa kepada anaknya merupakan salah satu bentuk doa yang diangkat.
Ketika anak berjuang menghadapi situasi genting dan mencabar seperti peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH agar urusan mereka dipermudah.
SinarPlus ingin kongsikan doa, zikir dan amalan khas untuk calon peperiksaan serta ibu bapa daripada Ustazah Asma’ Harun dan pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
PERKONGSIAN USTAZAH ASMA' HARUN
Ustazah Asma’ Harun sempat berkongsikan doa daripada rantaian Asmaul Husna, khusus sebagai amalan ibu ayah dan calon peperiksaan SPM 2024 seperti berikut:
"Allahumma Ya Alim Ya Hakim Ya Roshid, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memiliki Ilmu, Maha Bijaksana dan Maha Cerdas. Kurniakanlah kepada anak kami keberkatan dan kefahaman terhadap ilmu yang mereka pelajari, kebijaksanaan dalam menjawab setiap soalan dengan betul, dan kecerdasan dalam menyelesaikan kertas peperiksaan mengikut waktu yang ditetapkan.
"Allahumma Ya Baasit Yang Maha Melapangkan, lapangkan dada anak-anak kami Ya ALLAH, agar mereka tenang ketika di dewan peperiksaan dan jelas ketika melihat soalan.
"Allahumma Ya Salam Ya Mukmin, Yang Maha memberi keamanan dan kesejahteraan, berikanlah kesihatan yang sempurna dan keamanan sepanjang tempoh ini.
"Allahumma Ya Mani' (Yang Maha Mencegah), cegahlah mereka daripada penyakit lupa, lalai, cuai, was-was, resah gelisah, lemah semangat dan ketakutan yang berlebihan.
"Allahumma Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin,
"Ya ALLAH Yang Maha Perkasa, Maha Kuat dan Maha Teguh. Kurniakan kekuatan kepada jiwa, minda, mata telinga dan seluruh jasad mereka dalam mengharungi ujian dan cabaran peperiksaan ini.
"Allahumma Ya Quddus Ya Jalil, Yang Maha Suci dan Maha Jernih, bersihkan dan jernihkan hati dan fikiran mereka daripada bisikan syaitan dan nafsu yang melemahkan semangat mereka.
Artikel berkaitan:
- Doa dan zikir ibu bapa untuk anak hadapi peperiksaan, kekuatan daripada Asmaul husna
- Doa & amalan ibu bapa untuk anak hadapi peperiksaan. Pelajar buntu, lupa atau tiada ilham, baca ini!
- Waktu berdoa paling mustajab hari Jumaat, ibu-ibu jangan lupa gunakan sebaiknya
DOA DISARAN UNTUK IBU BAPA
Sementara itu, beliau juga berkongsi doa Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas RA yang boleh diamalkan buat ibu bapa.
Daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata:
فَقَالَ: اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Maksudnya: Rasulullah SAW mendoakan Ibnu Abbas dengan doa yang masyhur. "Ya ALLAH Berikanlah kepadanya (Ibnu Abbas) kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.”(HR Ahmad, hadis sahih).
DOA OLEH CALON PEPERIKSAAN
Sementara itu, Ustazah Asma' juga menitipkan doa daripada Nabi MUhammad SAW yang menjadi amalan beliau sejak zaman belajar sehingga kini:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْني رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
“Ya ALLAH, berilah ilham kepadaku berupa petunjuk yang jelas dan lindungilah aku dari keburukan diriku.”(HR Tirmizi, hadis hasan)
"Ya Rahman Ya Rahim Ya Ro'uf Ya Karim, jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk mereka dan kami menjadi hamba-MU dan khalifahMu di bumi, semoga dengan kecemerlangan peperiksaan ini membawa mereka dan kami lebih hampir kepada-MU. Aamiin Ya Mujib (Yang Maha Memakbulkan).
DOA KECEMERLANGAN AMALAN USTAZAH ASMA'
Sementara itu, beliau juga berkongsi doa yang diamalkan sehingga memperolehi kecemerlangan Anugerah Dekan sepanjang pengajian di universiti di peringkat sarjana dan sarjana muda.
أَللّٰهُمَّ أَلْهِمْنِىْ رُشْدِىْ وَ أَعِذْنِىْ مِنْ شَرِّ نَفْسِىْ
"Wahai ALLAH, ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku."
PERKONGSIAN DATUK DR FADZILLAH KAMSAH
Tidak ketinggalan, dikongsikan tip untuk ibu bapa bagi membantu anak-anak menghadapi peperiksaan oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
Amalan-amalan itu boleh dilakukan sama ada di rumah atau di tempat kerja atau di mana sahaja ketika anak-anak sedang berada di dewan peperiksaan. Insya-ALLAH, segalanya dipermudahkan dan anak-anak akan dapat menjawab dengan tenang dan menepati kehendak soalan dengan mudah dan baik.
Antara sokongan spiritual dan amalan yang boleh ibu bapa lakukan semasa anak-anak di dalam dewan peperiksaan tidak kiralah apa jua peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia ataupun peperiksaan-peperiksaan lain yang penting untuk anak-anak adalah seperti berikut:
1. Berpuasa sunat pada hari anak-anak menduduki peperiksaan
Antara doa yang paling dimakbulkan oleh Allah ialah doa ibu bapa. Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Jadi jika ibu bapa yang berpuasa dan mendoakan kejayaan untuk anak-anaknya pastilah lebih makbul.
2. Solat taubat dan solat hajat
Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang. ALLAH amat suka hamba-NYA yang sering bertaubat. Jadi pastinya doa yang tulus ikhlas daripada orang yang bertaubat akan mudah diperkenankan ALLAH.
3. Baca al-Quran dan hadiahkan pahala kepada anak
Bacalah al-Quran dan pahalanya diniatkan untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan agar terang hati dan tenang fikiran.
4. Tunaikan solat Dhuha
Lakukan solat dhuha di pejabat, di rumah ataupun di surau sekolah sewaktu menunggu anak-anak yang sedang berjuang di dewan peperiksaan. Doakanlah untuk kejayaan anak di dalam solat dan selesai solat.
5. Sedekah di masjid, rumah anak yatim dan hadiahkan pahala untuk anak
Semoga amalan ini akan memudahkan doa ibubapa untuk kejayaan anak-anak dalam peperiksaan akan mudah termakbul. Ini adalah kerana amalan sedekah amat disukai Allah. Orang yang menerima sedekah ini juga mungkin akan mendoakan kejayaan dan kesejahteraan pemberi sedekah.
6. Berterusan berzikir dan berdoa
Sama ada anda berada di pejabat, di rumah mahupun di sekolah menunggu anak-anak yang sedang berada di dewan peperiksaan, jangan putus berzikir dan berdoa kepada ALLAH untuk kejayaan anak-anak yang sedang berjuang.
Moga amalan berzikir dan berdoa secara berterusan akan memudahkan dimakbulkan doa supaya anak-anak berjaya dalam peperiksaan.
7. Bertawakal kepada ALLAH dan reda dengan segala ketentuan-NYA
Setelah berusaha dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan, inilah masanya kita bertawakkal kepada ALLAH yang Maha Mengetahui.
Moga amalan oleh ibu bapa semasa anak di dalam dewan peperiksaan ini ataupun peperiksaan-peperiksaan lain akan memberi kejayaan yang didambakan. Ia juga akan dapat memberi ketenangan kepada anak yang sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan dan juga kepada ibubapa yang menunggu di luar.
'
Segala hasilnya nanti kita serahkan kepada Allah jua. Moga Allah jayakan semua anak-anak yang sedang meduduki peperiksaan. Aamiin.
Sumber: FB Ustazah Asma’ Harun, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang