Eksklusif! Cinta dari dunia berbeza, Ku Muna dedah sikap suami yang 'strong' buat dirinya terpaut

A
A
A

Eksklusif! Cinta dari dunia berbeza, Ku Muna dedah sikap suami yang 'strong' buat dirinya terpaut

BERDARAH diraja, namun cukup mesra dan berjiwa rakyat. Itu karakter yang dimiliki oleh personaliti jelita, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah.

Tengku Munazirah yang mahu disapa sebagai Ku Muna merupakan anakanda kepada Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah AlHaj.

Selepas mengucapkan terima kasih atas kesudian beliau menghadirkan diri pada sesi fotografi bersama SinarPlus di Studio A, Sinar Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, penulis terus bertanyakan itu dan ini.

Baca ni 'Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.' Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya 'tawan' puncak KLCC

Jika diamati setiap helaian artikel yang dihadam, penglibatan Ku Muna dalam aktiviti kemasyarakatan memang terserlah.

Masakan tidak, Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia yang turut dikenali sebagai The Hope Factory Malaysia merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada kala usianya masih muda remaja.

Agak-agaknya, bagaimanalah Ku Muna pada ketika itu menyesuaikan diri dan memainkan peranannya, sementelah beliau juga merupakan anak kerabat? Sambil tersenyum, empunya diri menjawab dengan tutur kata lemah lembut:

“Awalnya memang keluarga agak keberatan kerana saya miliki ijazah dan pernah bekerja dalam bidang perhotelan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti.

“Kebetulan, keluarga saya ada bisnes dalam bidang sama (perhotelan), jadi ayahanda mahu saya meneruskan legasi tersebut. Untuk kerja-kerja kebajikan, saya boleh lakukan secara sambilan. Pun begitu, saya tolak cadangan tersebut kerana mahu memberi fokus sepenuhnya dalam aktiviti kemasyarakatan.“

Demi membuktikan jalan yang dipilihnya berada di landasan tepat, Ku Muna menunjukkan keterangan nyata kepada familinya tentang titik perubahan yang dilakukan ke atas The Hope Factory Malaysia.

Serentak dengan itu, beliau juga secara perlahan memujuk dan ‘menarik‘ abangnya untuk turut serta dalam aktiviti kemanusiaan yang diperjuangkan.

“Biarpun sekadar tolong angkat barang, pinjamkan kereta dan sebagainya, namun dari situ mereka (keluarga) lihat sendiri apa yang saya lakukan. Alhamdulillah, cara tersebut menjadi,“ katanya sambil tersenyum puas.

Baca ni 'Sebelum kaya duit, beliau kaya jiwa.' Guna bahasa Melayu sepenuhnya ketika berucap, sikap Khairul Aming raih pujian ramai

GIGIH KUMPUL DANA

Ku Muna sangat bersemangat tatkala membutirkan visi NGOnya yang sudah memasuki usia satu dekad.

Jelas beliau, The Hope Factory Malaysia memberi fokus kepada enam kategori utama iaitu rawatan perubatan, rumah kebajikan kanak-kanak dan fakir miskin, pendidikan, kebuluran serta memberi perlindungan kepada haiwan terbiar.

“Terbaharu, kami juga menambah lagi cabang menerusi wakaf al-Quran. Alhamdulillah, manfaat daripada pemberian wakaf tersebut dapat membantu mereka yang mahu belajar dan memiliki naskhah al-Quran. Bahkan, ia juga membantu saya untuk mendalami lebih ilmu agama,“ ujar beliau.

Pastinya sepanjang tempoh 10 tahun mengurus sebuah NGO tidak mudah. Apa yang penulis fikirkan ternyata benar. Beritahu Ku Muna, pengalaman mengharungi pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sememangnya menguji terutama dari aspek mendapatkan dana.

Bersama kekanda Y.M. Tengku Musahiddin Shah semasa beliau membawa sendiri kereta 4x4 untuk menghantar meja meja untuk anak anak pusat pembelajaran HumanAid.

Mana tidaknya, rakan-rakan dan orang perseorangan yang selama ini membantu turut terkena tempias. Justeru, wanita berjiwa cekal itu harus mencari alternatif lain demi memastikan perbelanjaan rumah kebajikan tidak terputus begitu sahaja.

“Setelah berfikir, timbul idea untuk berkongsi hantaran di media sosial dengan membuat video tentang aktiviti rumah kebajikan kami. Alhamdulillah, dengan paparan mesej yang baik, kami berjaya mendapatkan tajaan individu dari United Kingdom.

"Dana tersebutlah kami gunakan untuk membayar sewa dan kegunaan anak-anak di rumah berkenaan selama setahun,“ ceritanya yang beriltizam mahu merealisasikan impian almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam membantu anak-anak Selangor memiliki kediaman sendiri.

Upacara Pernikahan yang telah berlangsung pada 28 Mei 2022 di Istana Alam Shah, Klang.

CINTA KERABAT

Jika dicongak, Ku Muna sebenarnya baru sahaja bergelar raja sehari pada Mei lalu. Beliau memilih Izzat Ilyas Datuk Muhammad Nasir sebagai teman hidup.

Kisah cinta mereka cuba diselongkar. Nampaknya, tuan punya badan tiada masalah untuk menceritakan naratif bagaimana dua hati bersatu.

Beritahu Ku Muna, antara beliau dan Izzat Ilyas sudah saling mengenali sejak 10 tahun lalu. Kecenderungan dalam dunia permotoran telah mengakrabkan mereka.

Ujar puteri kesayangan rakyat Selangor itu, jalinan persahabatan yang rapat, sementelah Izzat Ilyas juga merupakan penyokong yang sentiasa berada di belakangnya sejak dulu lagi secara spontan telah mewujudkan rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi.

Baca lagi Tidak suka digelar seksi, Markovic pemain bola sepak tercantik di dunia, pilih sukan berbanding jadi model

“Karakter suami yang lebih strong membuatkan saya rasa dirinya seorang yang boleh diharap. Beliau seorang yang merendah diri dan juga bukan jenis lelaki yang terlalu berusaha untuk mendekati saya. Ciri-ciri itu membuatkan saya selesa untuk menjadikannya sebagai tempat bersandar.

“Malah, caranya memberi nasihat atau berkongsi pendapat saling tak tumpah seperti almarhumah bonda saya. Itu yang menambahkan keyakinan bahawa beliau merupakan pilihan terbaik untuk saya,“ ungkap Ku Muna sambil mengakui, sang suami berjaya melentur dirinya daripada seorang yang keras kepala kepada yang lebih mendengar kata.

Mungkin agak keterlaluan untuk ditanya, namun sisi peribadi beliau yang sangat mudah didekati dan santun telah memberanikan penulis mengemukakan soalan selanjutnya.

Disoal bagaimana penerimaan keluarga terhadap pilihan hati memandangkan status dan kedudukan mereka seolah-olah berada dari dua dunia berbeza?

Sambil berseloroh, Ku Muna berkata, pada awalnya, beliau gementar, waswas dan pelbagai lagi emosi negatif yang bersarang dalam benak.

“Agak lama juga saya menyimpan rahsia hubungan kami, bukan niat untuk sorok cuma saya mahu pastikan pilihan saya itu adalah terbaik dan barulah bawa jumpa keluarga. Ingatkan, ayahanda akan tolak, namun telahan saya meleset. Rupa-rupanya selama ini ayahanda sedar perubahan diri saya yang banyak ke arah positif.

“Seperkara, saya sudah penuhi permintaan ayahanda yang mahukan saya miliki pencapaian dalam kerjaya dan kewangan yang baik sebelum memikirkan soal rumah tangga. Ayahanda tidak mahu saya bergantung kepada suami semata-mata. Alhamdulillah, semua kriteria itu dipenuhi,“ kongsinya.

Satu pesanan ayahanda yang tersemat dalam jiwa dan menjadi pegangan beliau adalah ‘jangan berubah biarpun status sudah bertukar sebagai seorang isteri.‘

TUNTUT ILMU DENGN CEF

Tutur Ku Muna lagi, beliau juga harus tahu bagaimana membawa diri dalam menjalani kehidupan sebagai orang biasa.

Seperti wanita lain, dirinya perlu melakukan kerja-kerja rumah. Hal yang sama juga perlu dilakukan oleh Izzat Ilyas ketika berada di istana.

“Saya beritahu suami, dalam tempoh 365 hari, hanya ada beberapa hari sahaja memerlukan beliau menyesuaikan diri jika ada urusan rasmi di istana. Antara yang perlu dititik beratkan adalah mempelajari bahasa istana dan tidak kekok membawa diri. Sebenarnya, sebulan sebelum berkahwin, kami berlatih bercakap menggunakan bahasa istana kerana bimbang suami tersasul,“ ujarnya sambil tertawa kecil.

Bagaimana pula dengan pembahagian masa semenjak berstatus isteri? Bagaikan ada sesuatu yang lucu untuk dikisahkan, Ku Muna mula menitip cerita.

“Jujurnya, agak canggung sedikit. Ya, Izzat bukan lagi kawan baik, tetapi sudah bergelar suami. Jadi saya kena hormatnya. Apabila mahu keluar rumah, kena cium tangannya. Gerak-geri saya agak janggal, namun hal itu membuatkan suami ketawa dan selalu menyakat saya,“ ungkapnya.

Seboleh-bolehnya kata Ku Muna, beliau juga akan cuba pulang ke rumah sebelum Maghrib untuk solat berjemaah bersama suami. Mengenai perihal cahaya mata pula, wanita berkarisma itu berkeinginan memiliki sepasang anak dalam tempoh lima tahun lagi.

“Namun, suami mahu lebih ramai lagi,“ katanya sambil melepaskan gelak manja.

Gema tawa Ku Muna berlarutan apabila penulis menyentuh masakan air tangannya yang menambat hati sang suami.

“Oh! Saya masih dalam proses belajar demi memberikan yang terbaik kepadanya. Memang di rumah saya ada masak, tetapi menggunakan thermomix,“ katanya yang berkebolehan memasak rendang ayam, lasagne dan kek cawan perisa oren.

Seperti kata Ku Muna, beliau tetap berazam untuk mempertajamkan skil memasak. Bagi menunjukkan kesungguhannya, beliau belajar secara langsung dengan Cef Anis Nabilah.

“Suami saya selalu puji masakan ibunya lebih sedap. Agak tercabar juga, tetapi itu buatkan saya lebih berkobar-kobar untuk buktikan kemampuan saya.

“Cef Nabilah pesan pada saya agar jangan terlalu risau. Katanya, selagi dia ada, dapur saya tak akan terbakar,“ selorohnya lagi.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca