'Dulu saya pelajar kelas paling belakang' – Selepas 13 tahun, Cikgu Azian menangis lihat anak didik genggam PhD

No Image Caption
A
A
A

KEJAYAAN menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pastinya menjadi detik paling bermakna dalam kehidupan Dr Sivam G Tamilselvam. Namun, di sebalik pencapaian membanggakan itu, tersimpan kisah pengorbanan seorang guru yang tidak pernah berputus asa membimbingnya ketika zaman persekolahan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Sivam yang merupakan graduan Jabatan Pengajian India Universiti Malaya mengimbau kembali jasa bekas gurunya, Cikgu Azian Zakaria, yang pernah membantunya menguasai subjek Matematik ketika dia merupakan pelajar di kelas paling belakang.

Lebih menyentuh hati, selepas 13 tahun berlalu, guru berkenaan hadir sendiri ke istiadat konvokesyen PhD untuk meraikan kejayaan bekas anak didiknya.

Menerusi perkongsian tular di Facebook, Sivam mengimbau kembali pengorbanan bekas gurunya, Cikgu Azian yang banyak membantunya menguasai subjek Matematik ketika zaman persekolahan.

Mengakui Matematik antara mata pelajaran paling sukar baginya, bekas pelajar SMK Alam Megah berkata perjalanan akademiknya bukan mudah memandangkan dia merupakan pelajar di kelas paling belakang.

No Image Caption

"13 tahun berlalu air mata cikgu jadi saksi kejayaan saya. Matematik merupakan antara subjek yang paling sukar bagi saya sepanjang alam persekolahan.

"Sebagai seorang pelajar di kelas paling belakang, perjalanan akademik saya bukanlah mudah. Namun, ada seorang insan yang tidak pernah jemu membimbing dan percaya kepada kemampuan saya iaitu guru saya, Puan Azian Zakaria.

"Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen sepanjang zaman persekolahan kerana kekangan kewangan keluarga. Menyedari keadaan itu, beliau sanggup meluangkan masa selepas waktu persekolahan di luar jadual mengajarnya semata-mata untuk membantu saya memahami Matematik," kongsinya.

Artikel Berkaitan:

Kesungguhan dan keikhlasan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Sivam berjaya memperoleh sekurang-kurangnya gred kredit dalam subjek berkenaan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

Mungkin hanya satu keputusan peperiksaan bagi orang lain, tetapi buat Sivam, pencapaian itu cukup besar kerana menjadi bukti bahawa usaha dan bimbingan seorang guru mampu mengubah keyakinan seorang pelajar.

Detik bermakna dikongsi Sivam apabila gurunya itu bertemu pada hari konvokesyennya baru-baru ini.

No Image Caption

"Selepas 13 tahun, kami dipertemukan semula pada hari yang paling bermakna dalam hidup saya. Saya langsung tidak menyangka beliau akan hadir ke Istiadat Konvokesyen PhD saya, malah membawa sejambak bunga sebagai tanda penghargaan. Melihat beliau menitiskan air mata kegembiraan benar-benar menyentuh hati saya.

"Kata-kata beliau masih terngiang-ngiang di telinga saya "Hanya saya yang tahu sejauh mana kamu berjuang untuk sampai ke tahap ini," titipnya.

Biarpun berbeza warna kulit, agama dan budaya, Sivam terharu apabila Cikgu Azian membuktikan bahawa keikhlasan seorang pendidik.

"Beliau bukan sekadar mengajar tetapi turut mengangkat martabat pendidikan dengan memberikan peluang dan kepercayaan kepada setiap anak didik tanpa mengira perbezaan.

"Cikgu, kejayaan ini juga milik cikgu. Terima kasih kerana pernah percaya kepada saya ketika saya sendiri belum yakin dengan kemampuan diri. Terima kasih kerana tidak pernah berputus asa membimbing seorang pelajar di kelas paling belakang."Hari ini, saya berdiri sebagai seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah. Sebahagian daripada kejayaan ini adalah hasil kepercayaan, kesabaran dan pengorbanan cikgu 13 tahun yang lalu," kongsinya.

No Image Caption

Warganet menitipkan ucapan tahniah buat Sivam atas usaha gigihnya menggapai tahap akademik tertinggi.

Tidak kurang ramai di antara mereka memuji keikhlasan Cikgu Azian.

"Apabila anak murid berjaya, pihak yang sangat terharu dan gembira ialah guru itu sendiri."

"A truly dedicated teacher makes a world of a difference. Cikgu Azian, motivasi Cikgu menjadi batu asas dalam kejayaan beliau.

"Tahniah Dr Sivam dan terima kasih Cikgu Azian, kisah ini sangat memberikan inspirasi."

"Kelas belakang tidak semestinya gagal, usaha yang tidak berhenti dan didikan tanpa jemu daripada guru maka inilah hasilnya. Tahniah Dr Sivam dan Cikgu Azian."

Sumber: Facebook Dr Sivam

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang