'Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata
BERTEMU empat mata dengan Cik Puan Gojes atau CPG baru-baru ini menerbitkan semangat yang luar biasa. Salasilah hidupnya yang lalu dan bagaimana beliau bangkit selepas itu, begitu menyuntik inspirasi.
Namun, sebelum papan kekunci terus bercerita tentang kemuncak kerjayanya, penulis londehkan dulu mengapa jolokan nama beliau diberikan sebegitu rupa.
CPG atau nama sebenar, Ismaniza Fahida Ismail, 41, memberitahu, naratifnya cukup panjang, namun kami pendekkan agar lebih mudah difahami.
Kata tuan punya badan, ia bermula dengan kisah penghijrahan profesion daripada seorang guru kepada ahli perniagaan dalam bidang kosmetik.
“Saya merupakan individu yang tidak pandai bertatarias pada awalnya. Kemudian, saya ubah untuk tampil lebih bagus, cantik dan anggun.
“Justeru, pada tahun 2013, saya mencari nama yang sesuai, unik dan mempesona. Maka, wujudlah Cik Puan Gojes atau CPG. Bila sebut CPG, saya berharap orang akan ingat wajah saya,“ ungkap suri hati kepada Mohd Rozaini Khazali itu.
Kata wanita tersebut, beliau bukan dilahirkan di atas dulang emas. Menelusuri carta hidupnya, CPG tidak malu mengakui sejarah keluarga umpama hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Hal tersebutlah telah menjadi batu loncatan kepada anak sulung daripada lima beradik itu nekad untuk mentransisikan kehidupan mereka sekeluarga.
Ya, tanpa berselindung kata CPG, obses dengan duit dan mahu jadi kaya antara sebab dirinya menceburi bidang bisnes.
Pengalaman kecil menjual laksa air tangan ibunya dan jeruk buah sebelum ini dijadikan bekalan mendepani onak dan duri dalam berniaga. Sementelahan, menyaksikan keperitan hidup sebahagian pelajarnya yang datang daripada keluarga susah membikin kemahuannya meluap-luap.
“Waktu kecil dulu, saya tak tahu bagaimana cara untuk membantu mak dan ayah untuk jadi kaya. Setelah meningkat dewasa, cita-cita saya hanya satu, mahu cari duit banyak untuk keluarga dan orang lain. Itu juga misi hidup saya,“ katanya.
Kalau tidak merempuh pancoraba, bukanlah ahli perniagaan namanya. Berdasarkan rekod, CPG telah melakukan tujuh bisnes. Namun, tidak menjadi. Jual tudung, laksa, insurans, buka spa dan butik pengantin serta beberapa yang lain semuanya serba tak kena.
“Saya terus kuat dan akhirnya produk kosmetik serasi dan telah menjadi pencetus kejayaan buat saya sehingga kini,“ ungkap anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu lagi.
LAMPU HIJAU
Penulis mencelah sedikit bicara beliau. Bukan apa, sebelum pertemuan, benak penulis dapat rasakan keputusannya meninggalkan dunia perguruan yang disanjung masyarakat pastinya sukar dilakukan.
Lebih-lebih lagi melihat portfolio CPG sebagai guru bahasa Inggeris di beberapa buah sekolah seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor; dan SK Kelian Intan, Perak dan SK Baling, Kedah.
Akui pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan itu, peralihan kerjaya yang hendak dilakukan pernah dibantah ibu bapa tersayang.
“Mak dan ayah kurang bersetuju apabila saya suarakan hasrat untuk berhenti kerja dan fokus pada bisnes. Bagi mereka, bisnes hanya untuk orang kaya yang berduit sedangkan orang susah seperti kami hanya sesuai untuk makan gaji.
“Pun demikian, selepas cemuhan demi cemuhan saya terima, ibu terus memberi lampu hijau. Kemudian, saya ambil cuti tanpa gaji selama enam tahun untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan, tetapi hati ibu tetap waswas,“ ceritanya.
Wanita itu terus memujuk sang ibu dengan menyatakan bahawa melakukan dua kerja dalam satu-satu masa bukanlah satu pilihan yang baik.
“Akhirnya, ibu okey. Dengan restunya, saya dengan rasmi berhenti jadi cikgu dan tumpuan diberikan 100 peratus kepada perniagaan,“ katanya yang berpengaruh di media sosial dan turut merancakkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.
Ah! Seperti kisah individu berjaya lain yang sering terpalit dengan iri hati dan buruk sangka manusia, CPG juga 'terkena'. Baru sahaja mahu bernafas lega, beliau diganggu anasir yang mencemarkan suasana.
Pihak luar dengan semberono berkata, kerja-kerja kemasyarakatan yang dibuatnya tidak ikhlas dan hanya mendambakan glamor. Lebih mencarik emosi, ia salah satu cara melariskan perniagaan.
Tegas wanita tersebut, pandangan serong yang dilemparkan itu tidak meninggalkan kudis langsung, apatah lagi membuatkannya berputus asa dengan mudah.
“Kalau mahu dicongak, sudah 12 tahun saya berniaga, sedangkan saya baru berjinak-jinak mendekati masyarakat sekitar tahun lalu.
“Justeru, saya mahu saya tukar konsep peribahasa sambil menyelam minum air yang diberikan kepada saya itu. Saya bukan sekadar selam dan minum sendiri, sebaliknya, saya bangun dan beri air untuk manfaat orang lain. Jadi, katalah apa-apa pun, janji ALLAH tahu niat saya yang sebenar,“ ujarnya.
Soal empunya diri lagi, wajarkah untuk berhenti berbuat kebaikan hanya kerana seorang dua yang toksik? Jawapannya, tidak perlu dan nyahkan sahaja mereka.
“Apa yang boleh saya rumuskan, jika dulu saya hanya bawa satu ‘beg‘, tetapi kini sudah bertambah satu ‘beg‘ lagi iaitu bisnes dan hal kemasyarakatan. Saya harus pastikan kedua-duanya bergerak seiring. Apabila ada bisnes yang bagus, dapat duit banyak, baru boleh bantu orang,“ tuturnya.
Kata CPG, beliau percaya, orang yang memiliki impian besar, lebih berkuasa daripada yang mempunyai semua fakta.
MASA BERHARGA
Gelodak rintangan yang direntas tanpa keluh-kesah nampaknya berbaloi apabila segala pengorbanan 'berbayar'.
Selepas meraih Anugerah Kosmetik Terbaik Kedah (2018), Anugerah Inovasi Solekan Terbaik (2018) dan Anugerah Ikon Usahawan Utara (2019), CPG dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2021.
Ujar CPG, beliau berasakan hikmah yang diterima sangat tulus. Ungkapan syukur, terharu dan sebak tidak berhenti mendominasi fikirannya.
“Alhamdulillah, kemenangan tersebut membuka ruang lebih luas kepada saya untuk meneruskan kesinambungan kerja-kerja sekarang,“ ujarnya.
Waktu yang bersisa mendorong penulis mencungkil sisi CPG seandainya bukan berpaksikan sebagai ahli perniagaan. Mudah kata sebagai ibu dan isteri.
Penulis sedikit cuak sebaik melihat air mata beliau mengalir daripada bebola matanya yang tajam. Akuinya, beliau sedikit sentimental kalau bercerita soal tiga cahaya mata tercinta iaitu Muhammad Khaleef, 15; Karl Noah Zachary, 6, dan Kyle Remy Rafaeel, 2.
Setelah memberi sela masa untuk beliau bertenang, CPG bersuara. Namun, frasa yang terpacul daripada bibirnya cukup mengharukan.
“Apabila kita jadi ketua, ibu dan ikon, kita tak dapat duduk di satu-satu tempat. Kita harus berlari ke sana ke mari, jadi kena berkorban masa. Terus terang, saya jarang berada bersama mereka (anak-anak). Saya letakkan kepercayaan kepada pembantu rumah.
“Sebab itu, kalau tanya anak-anak, siapa yang lebih mereka sayang, pasti mak (pembantu rumah) yang menjadi pilihan mereka. Sedih memang sedih, tetapi saya bersyukur tiga anak saya mendapat penjagaan yang baik,“ ungkapnya dengan nada tersekat-sekat.
Ujar personaliti itu lagi, setiap kali menggantung baju, zuriatnya akan bertanya ke mana destinasi beliau pada hari esok. Persoalan itu memang merobek pita hatinya.
“Kalau diikutkan, banyak benda yang saya ‘berhutang‘ dengan anak-anak dan seperti tak akan tertebus selama-lamanya. Namun, apa yang saya lakukan sekarang untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Justeru, saya tanpa jemu berdoa kepada YANG MAHA ESA agar melindungi anak-anak dan mereka juga dapat merasai limpahan cinta saya walau jarang ada masa bersama,“ kata CPG yang bersyukur tiga anak bujangnya tidak pernah memberontak dan memahami tanggungjawab beliau.
Dari satu sudut, beliau juga gembira tautan kasih bersama suami terjalin erat memandangkan lelaki itu selalu menemaninya ke mana sahaja.
Ya, duit boleh menjadi raja kepada kehidupan. Pun begitu, jutaan ringgit yang dimiliki tidak mampu membeli bahagia.
Mengiakan hakikat tersebut, CPG berkata, seboleh-bolehnya beliau suami isteri akan memperuntukkan masa tiga hingga empat hari setiap dua bulan atau hari-hari istimewa untuk berkumpul beramai-ramai.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang