Kongsi rahsia rumah tangga kekal bertahan, Aliff Syukri pesan jangan pilih pasangan berdasarkan rupa paras – ‘Kalau tak kuat, dah lama bercerai’
ADA masanya, bukan pasangan yang menjadi punca perselisihan, sebaliknya perkara di luar rumah tangga yang perlahan-lahan menguji kesabaran dan kesetiaan masing-masing.
Dalam situasi begitu, kematangan, rasa saling menghargai dan kesediaan mempertahankan pasangan menjadi antara perkara penting untuk memastikan ikatan yang dibina tidak mudah goyah.
Perkara itu turut dikongsikan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman ketika tampil dalam podcast Sembang Seram baru-baru ini.
Menurut Aliff, perjalanan rumah tangganya bersama isteri, Datin Seri Shahida Mohd Rashid bukanlah sentiasa dipenuhi kebahagiaan. Sebaliknya, mereka juga berdepan pelbagai dugaan yang menuntut kekuatan kedua-dua pihak.
Jelasnya, tanpa kematangan dan kasih sayang terhadap keluarga, seseorang mungkin lebih mudah mengambil keputusan untuk berpisah apabila berdepan konflik.
"Kalau awak tak cukup matang dan awak tak sayang keluarga awak, saya rasa akan mudah bercerai.
"Macam situasi saya dengan isteri saya, saya rasa dugaan saya dengan dia terlalu banyak. Kalau saya tak kuat dan dia tak kuat, saya rasa kita berdua dah bercerai lama," katanya.
Isteri bukan sekadar teman, tetapi individu yang perlu dipertahankan
Pandangan itu turut dipersetujui Shahida yang melihat tindakan suami mempertahankan isteri sebagai satu bentuk penghargaan yang cukup besar dalam perkahwinan.

Baginya, konflik rumah tangga adakalanya tercetus disebabkan pengaruh atau campur tangan pihak luar. Justeru, sokongan pasangan amat diperlukan, terutama ketika isteri berdepan situasi yang sukar.
"Kadang-kadang konflik ini bukan daripada kita, tetapi daripada orang sekeliling. Tapi bagusnya Papa ini, apa pun berlaku, dia tetap membela saya. Dia mempertahankan perjuangan saya," ujar Shahida pula.
Dalam kehidupan berumah tangga, perkara sebegini mungkin kelihatan kecil kepada sesetengah orang. Namun, buat seorang isteri, mengetahui suami berada di pihaknya ketika berdepan tekanan boleh memberikan makna yang cukup besar.
Bukan bermaksud pasangan perlu sentiasa membenarkan segala tindakan, tetapi keupayaan untuk mendengar, memahami dan tidak membiarkan isteri berasa keseorangan merupakan antara asas penting dalam membina kepercayaan.
Di sebalik kejayaan suami, ada peranan isteri
Pada masa sama, Aliff tidak menafikan sumbangan besar Shahida dalam perjalanan kerjaya dan kehidupannya.
Mengakui dirinya bertuah memiliki isteri yang mampu melengkapi kekurangan, usahawan itu menyifatkan kejayaan yang dikecapinya hari ini turut dibantu oleh kebijaksanaan Shahida menguruskan perkara di belakang tabir.
"Dan saya bertuah sebenarnya dapat isteri saya yang macam ini, di mana kelemahan saya itu diisi. Kelebihan saya pula diperkemaskan. Saya nampak hebat daripada situ," kongsi bapa kepada enam cahaya mata.

Menurut Aliff, pembahagian peranan antara mereka juga menjadi antara faktor yang membantu urusan keluarga dan kerjaya berjalan lancar.
Beliau memberi contoh dirinya lebih banyak terlibat dalam usaha menjana pendapatan dan membina nama, manakala Shahida pula menguruskan kewangan serta jadual hariannya.
"Contoh daripada segi duit, yang buat duit banyak adalah saya. Yang menguruskan adalah dia.
"Yang buat nama adalah saya. Yang menjaga jadual dan menjadi pengurus saya adalah dia. Dan orang nampak saya hebat," jelasnya.
Perkongsian itu memperlihatkan bahawa kejayaan seseorang tidak semestinya berdiri atas usaha sendiri. Ada individu yang memainkan peranan penting di belakang tabir, meskipun sumbangannya tidak selalu menjadi perhatian.
Pilih pasangan berdasarkan nilai, bukan rupa semata-mata
Lebih menarik, Aliff turut berkongsi pandangannya tentang kriteria memilih pasangan hidup.
Baginya, tarikan fizikal mungkin menjadi perkara pertama yang menarik perhatian, namun rupa paras bukanlah jaminan kebahagiaan dalam jangka masa panjang.
Sebaliknya, seseorang perlu melihat nilai yang ada pada bakal pasangan, termasuk akhlak, pegangan agama dan kemampuan memberikan sokongan moral ketika melalui fasa sukar.
"Tetapi apabila awak mencari perempuan yang ada nilai, apa itu nilai? Daripada segi akhlaknya, sokongan moralnya dan agamanya," katanya.

Tambahnya, kecantikan fizikal akan berubah seiring pertambahan usia, justeru hubungan yang dibina atas dasar penampilan semata-mata mungkin tidak cukup kuat untuk bertahan menghadapi perubahan kehidupan.
Aliff turut membezakan antara perasaan sayang dengan cinta yang menurutnya mempunyai makna lebih mendalam.
"Sayang, you sayang dia sekejap. Tapi cinta, you akan love the whole thing," ujarnya.
Hakikatnya, setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Namun, kesediaan menerima kekurangan, menghargai sumbangan dan mempertahankan satu sama lain ketika berdepan ujian antara perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
Kerana dalam perkahwinan, bukan sekadar siapa yang lebih berjaya atau siapa yang banyak berkorban, tetapi bagaimana kedua-duanya memilih untuk terus berjalan bersama.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
