Terjemahan fesyen elegan, berani dan di luar kotak Kel Wen dalam Behati

A
A
A

DALAM keasyikan ‘mengetuk‘ papan kekunci komputer, ia terhenti sejenak sebaik menyedari jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari. Bukan kerana lapar, tetapi disebabkan sudah berjanji dengan pereka fesyen viral dan terkemuka negara, Kel Wen untuk sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Tatkala mahu mencapai telefon untuk menghubunginya, Kel terlebih dulu bertindak pantas. Ujarnya jujur, beliau akan sedikit lewat gara-gara keletihan selepas mendapat suntikan dos penggalak Covid-19 sehari sebelum kami bertemu.

Pun begitu, belum pun sejam kami bercakap di corong telefon, Kel sudah ‘terpacak‘ di pejabat Sinar Karangkraf.

Seperti biasa, wajah beliau tidak lekang dengan senyuman. Pereka fesyen yang mahsyur itu beberapa kali memohon maaf kerana telat dari waktu yang dijanjikan. Tidak mengapa, secara logiknya, alasan itu boleh diterima.

Setelah usai didandan oleh Rein Zaid, Kel segera mengambil posisi terbaik di hadapan lensa kamera. Jejaka keturunan Tionghoa yang berasal dari Melaka itu berbesar hati untuk menyarung busana dari jenama yang diasaskannya sendiri, Behati.

Kain songket berona kelabu yang dipilihnya kelihatan sepadan dengan kulit putih beliau. Penampilan figura itu turut diserikan dengan songkok tinggi, sekali gus menyerlahkan ciri-ciri Melayu klasik.

Pencinta budaya

Tertarik dengan kekreatifan songketnya yang ditransisikan umpama seperti blazer, penulis lantas bertanya kepada Kel tentang kecintaan beliau dalam dunia fesyen.

Apa yang penulis boleh rumuskan, formula yang dibawa memang berani, di luar kotak, elegan dan sensasi!

Namun, kata lelaki berusia 26 tahun itu, gaya persembahan dalam rekaan adalah cerminan dirinya yang gemar mendalami budaya setiap bangsa dan ras yang pelbagai di Malaysia.

Maka, tidak hairanlah, setiap helaian yang diketengahkan banyak menerapkan elemen budaya sebagai simbol peradaban setiap kaum.

Jelas Kel, hidup dalam masyarakat yang majmuk membuatkan beliau tertarik untuk memahami latar belakang masyarakat Melayu dan India. Bahkan, kajian rekaan yang dilakukan turut membuatkannya lebih memahami budaya Cina sendiri.

“Fesyen bukan sekadar sesuatu yang diminati, tetapi ia mampu mempengaruhi pemikiran dan memberikan kesan kepada masyarakat. Bahkan, fesyen juga boleh dikaitkan antara satu sama lain.

“Sebagai seorang pereka, saya tidak mahu menghasilkan sesuatu sekadar untuk mengaut keuntungan semata-mata. Saya mahukan sesuatu yang cantik dipakai, diterima dan mendidik masyarakat tentang maksud future of fashion (masa depan fesyen).

“Terus terang saya katakan, bidang ini memberi saya kepuasan untuk berkarya, mencabar diri dan sentiasa membuka peluang untuk saya mempelajari sesuatu yang baharu,“ terang beliau positif.

Seperti menyusun perbendaharaan kata, Kel memberitahu penulis, perancangan awal jenamanya, Behati tidak seperti apa yang berlaku sekarang.

Dahulunya, label berkenaan merancang untuk menjual tudung dan kerongsang. Melihat kepada permintaan, Kel yakin usahanya pasti berhasil.

Namun, setelah diteliti dan diperhalusi dengan teliti, akhirnya jarum kompas beliau berubah. Empunya diri tekad memilih untuk melakukan sesuatu yang bukan sekadar disukai, tetapi turut dapat dijadikan sebagai inspirasi.

“Saya mengaku, dulu saya melihat sejarah itu perkara yang membosankan, tetapi setelah menginjak dewasa saya lebih faham dan menghargainya. Betapa pentingnya untuk kita terus memelihara khazanah budaya nenek moyang.

“Tidak dinafikan ada sebilangan generasi muda yang tidak peka terhadap budaya dan menganggap pakaian tradisional hanya layak dipakai ketika sambutan perayaan. Seharusnya perkara itu tidak berlaku kerana tiada salahnya untuk mengenakan pakaian yang bercirikan tradisional pada hari-hari biasa,“ katanya memahat kata.

Perluas portfolio

Selain fesyen, Kel rupa-rupanya memiliki bakat terpendam yang lain. Bukan sekadar hebat bermain benang dan jarum, personaliti versatil tersebut juga mahir bermain alat muzik seperti piano.

Dibesarkan dalam keluarga seni, pemilik nama sebenar Kelvin Tan Khai Wen mengakui kerap membuat persembahan ketika di bangku sekolah. Biarpun orang tuanya tidak berada dalam lapangan profesional, namun darah seni itu tetap mengalir.

Waktu yang ligat berputaran menyaksikan beliau akhirnya memutuskan untuk tidak lagi mahu terlibat dalam arena muzik. Bukan kerana tidak yakin dengan kemampuan diri, tetapi gusar jika sukar untuk mendapat tempat sebagai penyanyi.

“Sebenarnya, ibu saya merupakan seorang guru muzik dan sangat menitikberatkan perkara itu kepada kami. Biarpun ayah bergelar usahawan, tetapi beliau juga handal bermain alat muzik seperti piano sejak zaman sekolahnya.

“Saya tidak mengatakan bidang nyanyian itu sukar, tetapi sekiranya tiada tawaran persembahan, bagaimana ingin menyara hidup? Sekiranya menakluk platform fesyen, sekurang-kurangnya saya boleh menjual kemeja-T dan tidaklah bergantung kepada orang tua sahaja,“ seloroh beliau yang tular selepas mencipta busana untuk penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang ditampilkan dalam klip video Kuasa Cintamu dan Siapa Tak Mahu?

Pereka fesyen muda yang pernah ditampilkan dalam rancangan InRealFashion itu bagaimanapun tidak mensia-siakan bakat yang ada. Beliau menggunakan pengetahuannya itu dalam menghasilkan kandungan muzik untuk Behati. Boleh dikatakan arus fikirannya seperti ‘kantor‘ yang sentiasa sibuk.

Beritahu Kel, beliau beriltizam untuk terus tampil dengan idea baharu dan segar. Pada masa sama, dirinya mahu Behati terus teguh berdiri seiring dengan revolusi fesyen yang tidak pernah bernoktah.

Sememangnya lelaki itu seorang individu yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu. Kepada penulis, beliau menyatakan hasrat untuk menambah satu lagi portfolio dalam kerjaya iaitu mahu bergelar sebagai pengarah pula.

“Sebelum ini, saya pernah berpeluang menggalas tanggungjawab sebagai pengarah pada tahun lalu. Menjayakan sebuah iklan komersial kenderaan buatan Jerman sudah pasti menjadi satu perkara yang mengujakan. Jika diberi ruang, sudah pasti saya ingin terlibat lebih-lebih lagi menjayakan sebuah filem,“ kata pemilik tulisan tangan yang cukup cantik.

Tanya penulis, adakah impian itu disebabkan masyarakat suka melihat seorang pereka fesyen terbabit lebih daripada satu bidang? Berikut jawapan tulusnya.

“Saya tidak melihat ia sebegitu. Pada saya, sebagai seorang artis atau selebriti, tidak salah rasanya jika ingin mencuba segalanya asalkan masih berpaksikan dalam satu hal sama iaitu seni. Bukankah segalanya masih melibatkan kreativiti dan idealistik?,“ soalnya.

Sihir, santau?

Setelah habis bercerita mengenai dunia seni, perbualan kami kemudian terarah kepada bidang perniagaan pula.

Apabila penulis menyuarakan pandangan tentang belia dari kaum Tionghoa yang rata-ratanya mahir menguruskan perniagaan, Kel terus melepaskan ketawa besar.

Tidak bermaksud mahu berbangga, apatah lagi ralit dengan pujian, beliau melihat perkara tersebut nyata sebaliknya dengan dirinya.

Ungkap Kel, jalur bisnes adalah sesuatu yang mencabar. Beliau sendiri terpaksa berhempas-pulas untuk sentiasa mencari pelbagai formula untuk memastikan produk yang diketengahkan diterima dan mampu bertahan lama.

“Ayah banyak mengajar tentang menguruskan perniagaan, tetapi selebihnya saya lakukan sendiri. Sejujurnya, Behati satu jenama baharu dan banyak perkara yang perlu dilakukan. Buat masa sekarang, saya banyak membuat kajian cuba dan gagal,“ ujar figura bersemangat waja itu.

Menyambung hujah, katanya, pesaing menjadi satu hal yang lumrah. Namun, beritahu Kel, beliau tidak gentar berdepan dengan hal tersebut kerana yakin dengan usaha dan rezeki masing-masing.

Apabila kami bersembang tentang persaingan, perkataan sihir tiba-tiba meluncur keluar.

Dalam nada tenang, Kel berkata, mustahil untuk beliau melakukan sesuatu yang menyimpang daripada kepercayaan. Budaya santau juga tidak pernah terlintas di benak fikirannya.

“Begini, sekiranya ada pesaing yang cuba untuk mencuri idea atau melakukan hal sama, langkah pertama saya lakukan adalah dengan menyusun strategi pemasaran. Seterusnya saya akan mengkaji mengapa produk tersebut lebih menarik minat pelanggan.

“Sejujurnya saya tidak tahu atau terfikirkan apa-apa tentang sihir. Namun, sebelum ini saya pernah menerima komen mengatakan saya mungkin akan disihir kerana dianggap telah mencemarkan budaya ekoran menghasilkan baju Melayu bersaiz besar.

“Awalnya saya tidak tahu apa itu santau, tetapi setelah bertanya dan mendengar pengalaman dari orang sekeliling, saya baru tahu. Semoga Tuhan sentiasa melindungi kita semua,“ katanya menutup tirai perbualan kami ekoran perlu melaksanakan beberapa kerja penting.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca