Usia baru 23 tahun, Danish Hakim tak kisah kahwin muda, bersedia pikul tanggungjawab sebagai suami – ‘Ayah hampir setiap hari beri nasihat’

No Image Caption
A
A
A

USIA masih muda bukan penghalang buat Mohamed Danish Hakim untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan. Anak sulung pasangan selebriti, Norman Hakim dan Abby Abadi itu bakal mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini, sekali gus memulakan perjalanan sebagai seorang suami pada usia 23 tahun.

Biarpun persiapan menuju hari bahagia semakin rancak, Danish mengakui masih banyak perkara yang perlu diselesaikan. Namun, sokongan keluarga terutama bapanya banyak membantu melancarkan urusan tersebut.

Berkongsi perkembangan terkini, Danish memberitahu persiapan perkahwinannya kini sudah mencapai kira-kira 80 peratus atau lebih, termasuk urusan majlis akad nikah yang bakal berlangsung di Singapura.

Sementara itu, majlis resepsi di sebelah pihaknya dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada awal tahun hadapan.

"Persiapan bagi majlis perkahwinan saya, saya boleh katakan sudah 80 peratus atau lebih. Alhamdulillah, dengan sokongan orang sekeliling terutama ahli keluarga, banyak urusan dipermudahkan.

"Sepanjang membuat persiapan, biasalah ada sedikit dugaan dan cabaran. Kita lalui sahaja. Cuma soal debaran itu, bagi saya masih terlalu awal untuk dirasai. Mungkin apabila semakin dekat dengan tarikh majlis nanti, perasaannya akan jadi lain macam," katanya.

Ditemui SinarPlus pada majlis CERUTTI 1881's New Store Concept with Aedy Ashraf di IOI City Mall, Putrajaya, pada Selasa, Danish turut menjelaskan bahawa tanggungjawab menguruskan perkahwinan tidak diserahkan sepenuhnya kepada keluarga.

No Image Caption

Sebagai bakal suami, dia mahu memainkan peranan sendiri dalam memastikan segala persiapan berjalan lancar, meskipun mengakui banyak dibantu ahli keluarga.

"Tak boleh juga kalau 100 peratus serahkan kepada ahli keluarga. Akhirnya, saya seorang lelaki yang akan berkahwin dengan bakal isteri, jadi sudah tentu ada bahagian yang perlu saya uruskan sendiri.

"Cuma sokongan keluarga memang sangat besar. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mereka banyak membantu," ujarnya.

Mengulas keputusan berkahwin pada usia muda, abang kepada pempengaruh media sosial, Marissa Dania dan Maria Danisha itu tidak menafikan ada pihak yang mungkin menganggap langkah tersebut terlalu awal.

Tanggungjawab bakal dipikul

Bagaimanapun, Danish percaya setiap orang mempunyai perjalanan hidup dan pilihan masing-masing. Baginya, keputusan untuk mendirikan rumah tangga dibuat atas kehendaknya sendiri dan dia bersedia menerima tanggungjawab yang bakal dipikul.

No Image Caption

"Biasalah, orang kita memang akan cakap usia ini terlalu awal untuk berkahwin. Tetapi saya sendiri yang memilih jalan ini, jadi bagi saya tiada masalah," katanya.

Dalam mempersiapkan diri menjadi seorang suami, Danish turut menjadikan bapanya sebagai tempat merujuk dan mendapatkan panduan, apatah lagi dia masih muda dan banyak perkara baharu yang perlu dipelajari.

Malah, katanya, nasihat serta tunjuk ajar Norman sudah menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.

Mengakui bapanya seorang yang penyayang, Danish menyifatkan pendekatan didikan lebih tegas yang diterapkan terhadap dirinya sebagai anak lelaki sesuatu yang boleh diterima, malah banyak membentuk peribadinya.

No Image Caption

"Saya memang banyak minta nasihat daripada ayah sendiri. Saya masih muda dan sebagai anak lelaki, ada perkara yang perlu diajar serta ditegur.

"Ayah seorang yang penyayang, cuma cara dia mendidik saya agak seperti komando sedikit. Saya boleh terima sebab saya anak lelaki. Kenapa tidak?

"Nasihat ayah memang terlalu banyak, hampir setiap hari. Kehidupan saya boleh dikatakan sentiasa dipenuhi nasihat dan panduan daripada beliau," jelasnya.

Kenangan nenek jadi sebak

Di sebalik keterujaan menantikan hari bahagia, Danish turut menyimpan satu kenangan yang cukup menyentuh hati apabila mengenangkan pemergian nenek sebelah ibu tirinya, Memey Suhaiza, baru-baru ini.

Kehilangan insan tersayang itu meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila dia mengimbas kembali kata-kata nenek ketika sedang sakit.

Menurut Danish, neneknya pernah mengalami masalah darah beku di bahagian kepala sehingga menjejaskan ingatan. Dalam keadaan itu, banyak perkara termasuk ahli keluarga sendiri tidak lagi diingatinya.

Namun, ada satu perkara yang masih terpahat dalam ingatan nenek, iaitu hasrat untuk melihat Danish mendirikan rumah tangga.

"Dia ada darah beku di kepala dan banyak perkara sudah dilupakannya. Anak-anak sendiri pun dia tidak ingat. Tetapi ada satu perkara yang masih diingatinya. Dia pernah cakap, tolong sembuhkan mak cepat-cepat sebab mak sudah berjanji mahu tengok Danish kahwin.

"Memang sedih apabila teringat perkara itu. Dalam kalangan keluarga, dialah yang paling teruja mahu melihat saya berkahwin," kongsinya.

Bukan Danish sahaja yang terkesan dengan kehilangan tersebut, malah ibu tirinya juga masih melalui fasa bersedih.

Melihat keadaan Memey yang kini memilih untuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti, Danish memahami bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk mengendalikan kehilangan insan tersayang.

Katanya, meskipun keluarga mereka kelihatan kuat dan tabah di mata orang luar, hakikatnya setiap ahli keluarga tetap menyimpan kesedihan yang tidak semestinya dikongsi secara terbuka.

No Image Caption

"Mummy sekarang memang menyibukkan diri. Saya rasa itu cara terbaik untuk mengalihkan perhatian daripada terus memikirkan perkara yang menyedihkan.

"Ahli keluarga saya, walau apa pun dugaan atau masalah yang datang, dari luar memang nampak kuat. Tetapi apa yang ada dalam hati, hanya Tuhan yang tahu. Kami bukan jenis yang selalu berkongsi perasaan masing-masing," katanya.

Terdahulu, Norman menerusi perkongsian di Instagram memaklumkan persiapan perkahwinan anak sulungnya itu sedang giat dilakukan.

Majlis berkenaan dirancang secara sederhana dengan kehadiran ahli keluarga serta rakan terdekat.

Bagi Norman, menguruskan perkahwinan Danish merupakan pengalaman pertama buat dirinya sebagai seorang bapa. Dia turut dibantu isteri dan anak-anak perempuan serta perancang perkahwinan bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang