Akibat cemburu tidak bertempat, suami tergamak bakar isteri hidup-hidup
BERGADUH mulut gara-gara salah faham antara suami dan isteri adalah perkara biasa yang berlaku dalam lumrah hidup berumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri.
Pun begitu, awas ya jika pergaduhan berlarutan sehingga boleh menggugat nyawa. Bermula hanya bertegang leher, akhirnya nyawa hampir melayang dek tidak dapat menahan amarah.
Hal ini bukan cakap saja-saja, tetapi memang kerap berlaku.
Kejadian ngeri yang berlaku di Kabupaten Deliserdang, Medan, Indonesia yang dilaporkan baru-baru ini misalnya, memang sangat menakutkan.
Menurut laporan medan.tribunnews.com, seorang lelaki yang dikenali sebagai Junanda@Nanda, 21, sanggup menyimbah minyak petrol ke badan isterinya selepas mereka bergaduh teruk.
Insiden menakutkan itu betul-betul mengemparkan penduduk setempat.
Masakan tidak, gara-gara cemburu buta tidak bertempat, wanita yang dikenali dengan nama Rani berusia 20 tahun meronta-ronta kesakitan akibat dibakar hidup-hidup. Ya, dibakar hidup-hidup!
Kejadian itu difahamkan berlaku di rumah kakak suspek yang dikenali dengan nama Yuliana, 35.
Menurut laporan portal berkenaan, insiden berlaku selepas Rani dikatakan enggan pulang ke rumah yang didiami mereka pasangan suami isteri.
Cerita Yuliana, Rani sudah tinggal bersamanya lebih sebulan lalu kerana memudahkannya untuk ke tempat kerjanya yang berhampiran dengan rumahnya.
“Rani juga sering bergaduh dengan suaminya. Sebelum kejadian, mereka berjumpa berhampiran landasan kereta api tidak jauh dari rumah saya.
“Memang mereka bergaduh di sana dan sebaik sampai di rumah, Rani mengadu tentang pertengkaran mereka. Tidak lama kemudian, Junanda datang dengan keadaan marah-marah sambil membawa minyak petrol,” ceritanya.
Junanda yang dikenali sebagai seorang yang panas baran menjerit-jerit memanggil nama isterinya sebelum menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan abang iparnya.
Alasan itulah yang dijadikan 'modal' lelaki itu untuk menuduh Rani yang enggan pulang ke rumah.
Yuliana berkata, keadaan menjadi gamat apabila adiknya tidak dapat mengawal kemarahan dan terus bertindak menarik rambut isterinya selain mengheret Rani tanpa sekelumit perasaan simpati dari bilik tidur ke ruang tamu.
“Kami cuba untuk meleraikan pergaduhan tetapi Yunanda terus menyiram Rani dengan minyak dan terus menghidupkan mancis.
“Kami sangat terkejut dengan tindakannya itu dan cuba untuk memadamkan api. Rani pula menjerit kesakitan. Api mula marak dan saya bimbang kerana ada anak kecil. Kami cepat-cepat padamkan api dan segera hubungi ambulans,” katanya.
Kekecohan yang berlaku telah menarik perhatian jiran-jiran yang ingin tahu apa yang terjadi. Mereka juga menyaksikan bagaimana mangsa menderita kesakitan.
Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap oleh pihak polis dan dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan terkutuknya itu.
Rani yang dikejarkan ke hospital kini berada di bawah rawatan intensif apabila keseluruhan badannya melecur teruk.
Allahuakhbar! Ngeri melihat foto mangsa yang dibaluti kain kasa akibat kesan melecur. Moga mangsa cepat sembuh dan diberikan kekuatan untuk terus hidup.
Peristiwa itu perlu dijadikan iktibar untuk kita di sini. Kepada pasangan suami isteri yang baru atau sudah lama berkahwin, berbincanglah dengan baik kalau ada sebarang masalah.
Tidak perlu sampai naik tangan atau mencederakan fizikal sesiapa. Insya-ALLAH masjid yang dibina akan kekal bahagia hingga ke jannah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang