Berang cintanya ditolak dan diejek sumbing, gadis 17 tahun dicampak ke dalam perigi
BERANG cinta ditolak dan diejek sumbing, seorang pemuda bertindak menjerut leher seorang gadis sehingga mati.
Lebih kejam lagi, suspek yang berusia 25 tahun itu kemudiannya membuang mayat mangsa ke dalam perigi di sebuah kawasan kebun jagung.
Menerusi laporan Medan Tribunnews, kejadian ngeri tersebut berlaku di Sumatera Utara, Indonesia.
Ketika ditemui, mangsa yang dikenali sebagai Lidya Patmos Sitinjak masih berpakaian seragam sekolah.
Mayat mangsa yang baru berusia 17 tahun itu dikatakan hampir tenggelam. Hanya kaki yang kelihatan, manakala bahagian tubuh dilitupi dengan dedaun dan ranting pokok.
BERANG DIRI DIEJEK
Selepas dibawa keluar, wajah mangsa membengkak, selain tubuh badannya seakan mengecut akibat terendam terlalu lama di dalam air.
Difahamkan bapa mangsa sudah menjalankan usaha pencarian, namun menemui jalan buntu.
Pun demikian, segalanya terlerai apabila mayat mangsa ditemui tiga hari selepas remaja berkenaan dilaporkan hilang.
Penemuan mayat mangsa turut membawa kepada penahanan seorang pemuda iaitu Rizky Lewat.
Selepas disoal siasat, suspek mengakui bertindak sedemikian kerana berang dirinya diejek cacat.
Pada masa sama, dia juga dikatakan tidak dapat menerima kenyataan cintanya ditolak oleh mangsa.
KENAL MENERUSI MEDIA SOSIAL
Difahamkan, mangsa dan suspek berkenalan menerusi laman sosial Facebook kira-kira dua minggu sebelum masing-masing akhirnya bersetuju untuk bertemu.
Lelaki itu dikatakan menjemput anak gadis itu di rumah rakannya dan terus menuju ke sebuah ladang jagung dengan menaiki motosikal.
Setibanya di lokasi, suspek meluahkan hasrat untuk menjadikannya sebagai kekasih. Pun demikian, permintaan tersebut ditolak dengan alasan rupa paras suspek yang sumbing.
Tidak berpuas hati dengan kata-kata yang menusuk hati, suspek menggunakan tali jaket lalu menjerut gadis idamannya.
Selepas mangsa dilihat tidak bernyawa lagi, dia bertindak membuang mayat ke dalam perigi sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Sebelum itu, suspek turut mengambil telefon bimbit dan beg milik mangsa lalu membuangnya ke dalam sungai. Selepas pulang ke rumah dan mandi, dia kemudiannya melarikan diri ke rumah saudaranya pula.
RAHSIA TERBONGKAR
Pun demikian, rahsia terbongkar dan suspek berjaya dikesan hasil pemantauan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi kejadian menunjukkan mangsa membonceng motosikal milik suspek.
Penahanan tersebut membawa kepada pengakuannya yang membunuh dan mayat yang dibuang ke dalam perigi.
Sungguh kejam suspek yang sanggup membunuh hanya kerana cinta ditolak dan rupa paras diejek. Tak kisah nak marah, tapi janganlah sampai nak meragut nyawa orang lain!
Pun demikian, nasihat kami, janganlah kita memandang hina paras rupa seseorang.
Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat kita semua.
Sumber: Telisik id, Medan Tribunnews
SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang