Burung jatuh dari langit, India alami gelombang haba 49 darjah Celcius, tertinggi dalam 122 tahun

A
A
A

PENINGKATAN suhu persekitaran di India menjadi perhatian ramai. Gelombang haba yang sedang dihadapi negara itu kian meruncing dan mengancam kehidupan.

Iklim India boleh diklasifikasikan sebagai negara tropika kecuali bagi negeri Himachal Pradesh, Jammu dan Kashmir di utara dan Sikkim ditimur laut yang mempunyai iklim yang lebih sejuk.

Baca juga: Cuaca panas buatkan si kecil cepat dehidrasi. Mak ayah wajib kenal tanda-tanda anak tak cukup air

Sepanjang 2020, suhu purata yang direkodkan di India ialah 25.78 darjah Celsius, sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya daripada 25.86 darjah Celsius.

Namun akhir-akhir ini, kebanyakan lokasi di India mencatat suhu persekitaran yang tinggi. Menurut Jabatan Meteorologi India, Mac 2022 dikatakan bulan yang paling panas dalam tempoh 122 tahun! Gelombang haba 2022 ialah yang paling panas di India sejak 1901.

Para saintis berkata pengumpulan gas rumah hijau di lapisan atmosfera menyumbang kepada peningkatan suhu di India.

Suhu yang melebihi 43 darjah Celcius dicatatkan di Gujerat barat India. Malah lapor Business Insider, suhu dijangka meningkat kepada 50 darjah Celcius pada bulan ini.

Pemecahan rekod gelombang haba yang kuat berterusan berlaku beberapa bahagian di India Utara dan Tengah.

Ahad lalu dua stesen meteorologi di New Delhi merekodkan suhu 49 darjah Celsius sekali gus rekod baharu hari terpanas 2022 setakat ini.

Gelombang haba mendadak itu turut mengeringkan sumber air. Tidak hanya manusia, yang terdedah kepada strok haba, haiwan juga turut terkesan.

Susulan suhu yang tinggi, kerajaan India meminta sekolah memulakan pelajaran awal pagi.

Pihak sekolah juga diminta mengecualikan pemakaian seragam dan memastikan guru berupaya memberikan pertolongan cemas kepada murid yang mengalami strok haba.

Paling menyayat hati, dilaporkan 90 maut di India dan Pakistan dalam bencana ini. Malah haiwan seperti burung turut mengalami dehidrasi hingga ‘jatuh’ dari langit di Gujarat.

Doktor haiwan di hospital haiwan di Ahmedabad merawat beribu-ribu burung dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Baca juga: Hanya 15 minit, badan boleh diserang strok haba. Waspada!

Ketika suhu melebihi 46 darjah Celcius, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jivdaya Charitable Trust membantu  berpuluh-puluh ekor burung dengan memberikan vitamin dan menyuntik air ke dalam mulut haiwan itu.

“Tahun ini adalah antara yang paling teruk sejak kebelakangan ini. Kami telah melihat peningkatan 10 peratus dalam bilangan burung yang perlu diselamatkan,” kata Manoj Bhaskar yang bekerja dengan NGO kepada Reuters.

STROK HABA

Suhu badan manusia yang normal lazimnya ialah di antara 36.1 hingga 37.2 darjah Celsius.

Pun begitu, strok haba boleh berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat (41 darjah celcius atau lebih).

Ia kerap terjadi susulan terdedahnya individu kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal.

Kekurangan air dan garam galian dalam badan dalam jumlah yang banyak adalah punca utama terjadinya keadaan ini.

MyHealth menggariskan beberapa petanda dan gejala yang boleh dikenal pasti sebagai simptom strok haba seperti berikut;

• Peningkatan suhu badan secara mendadak (41 darjah Celcius)

• Denyutan jantung menjadi cepat

• Pernafasan cepat dan pendek

• Tekanan darah menurun

• Badan kering dan panas

• Tidak selesa, keliru dan mungkin menjadi tidak sedar

• Rasa kepala berpusing

• Pening

• Rasa mual

• Sawan atau pengsan

Jika mendapati orang terdekat terkena strok haba, kita disarankan melakukan perkara berikut;

-Mengalihkan mangsa daripada berada di bawah sinaran matahari yang melampau ke tempat berbumbung atau mempunyai pendingin hawa.

-Sejukkan mangsa dengan kain yang lembap atau siram dengan air sejuk.

-Berikan udara segar, halakan kipas secara terus atau kipas mangsa menggunakan kertas surat khabar.

-Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk dan segar. Dalam masa yang sama dapatkan bantuan perubatan menerusi talian kecemasan 999.

Jangan pandang mudah strok haba kerana ia boleh mengakibatkan maut!

Bagi mengelakkan terjadinya strok haba ketika suhu persekitaran panas, orang ramai disaran untuk mengelakkan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan di bawah sinaran matahari yang berpanjangan.

Ketika cuaca panas, minum air kosong sebanyai tiga hingga empat liter sehari di samping mengmalkan pemakanan sihat dan seimbang.

Baca juga: Cuaca panas yang melanda Malaysia kini, hati-hati empat golongan berisiko ini yang akan lebih terkesan

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang