Hanya 15 minit, badan boleh diserang strok haba. Waspada!

A
A
A

DUA tahun lalu, negara dikejutkan dengan insiden yang menimpa adik Nur Awfa Humaisha Muhammad Ali Riduan, 2, yang telah meninggal dunia apabila secara tidak sengaja ditinggalkan di dalam kereta ibunya.

Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan pintu dan tingkap kereta tertutup bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di tempat letak kereta terbuka di sebuah kolej yang terletak di Negeri Sembilan.

Berdasarkan penulisan media tempatan, hasil bedah siasat menunjukkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat strok haba atau kepanasan melampau.

Dengan cuaca yang tidak menentu kini iaitu sekejap hujan dan panas terik secara tiba-tiba merisaukan kita kemungkinan tragedi pilu sedemikian tidak mustahil boleh berulang kembali.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata, cuaca panas di Malaysia dijangka akan berlarutan sehingga September depan disebabkan angin monsun barat daya kembali normal dan kurangnya taburan hujan di Malaysia.

Semestinya, cuaca panas akan menjadi pencetus kepada serangan strok haba.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, SinarPlus mewawancara Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang.

DR Ahmad Samhan Awang.

Ujar Dr Ahmad Samhan, orang ramai boleh terdedah kepada strok haba apabila berlaku peningkatan suhu badan mencecah 41 darjah Celcius dalam tempoh masa 10 hingga 15 minit akibat terdedah kepada cuaca panas yang berterusan.

"Serangan (strok haba) berlaku apabila seseorang terdedah kepada sinaran matahari terik dan gelombang haba berterusan.

"Keadaan itu boleh memberi kejutan kepada tubuh sehingga menyebabkan kegagalan pengawalan mekanisme penyejukan semula jadi tubuh dan pada masa sama, badan mangsa tidak mempunyai kandungan air yang mencukupi," jelasnya.

Sesiapa sahaja berisiko mendapat strok haba, namun begitu, masalah itu akan lebih mudah menyerang mereka yang terlibat dengan aktiviti fizikal di luar seperti ahli sukan, tentera dan polis selain anggota keselamatan yang lain serta kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun, kata Dr Awfa.

Itu apa yang berlaku pada adik Nur Awfa.

“Badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa, seterusnya lebih cepat diserang strok haba. Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Samhan berkata, apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman akan berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

Lebih membimbangkan, orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda boleh terkena strok haba lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan hipertiroid.

Gejala awal

Bagaimana seseorang boleh memastikan diri terkena strok haba? Memberi pencerahan terhadap soalan itu, Dr Samhan berkata, antara petandanya kita akan berasa kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

"Selain itu, individu terbabit juga akan merasai otot kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," katanya.

Apabila kepanasan dirasai, beritahu pegawai perubatan itu, badan akan alami proses berpeluh bagi menyejukkan badan.

"Ia adalah satu proses yang normal tetapi jika berterusan ia akan menyebabkan kandungan air dalam badan berkurangan sekali gus akan berpotensi menyebabkan dehidrasi, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ dalam badan, koma dan seterusnya berlaku kematian,” ungkapnya.

Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga dan langkah mencegah serangan strok haba terutama ketika berada di luar rumah, orang ramai disarankan melakukan perkara-perkara berikut:

i) Minum air secukupnya

Pastikan air diminum sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter dalam sehari dan seeloknya setiap 15 ke 20 minit. Elakkan minum air berais yang sejuk ketika waktu sangat panas.

ii) Minum minuman isotonik

Selain meminum air putih, orang ramai juga boleh mengamalkan minuman isotonik kerana ia dapat menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.

iii) Sentiasa berada dalam kawasan terlindung

Sentiasa berada di dalam rumah ataupun bangunan bagi mengelakkan pancaran matahari yang terik dam elak daripada melakukan aktiviti luar dan banyakkan berehat.

iv) Pakai pakaian yang ringan

Elakkan memakai pakaian yang terlalu tebal. Pakai pakaian ringan, berwarna terang dan longgar bagi keselesaan melakukan aktiviti seharian.

v) Gunakan topi dan payung

Untuk mengelakkan pancaran matahari terus terkena ke anggota badan, pastikan memakai topi atau payung setiap kali berada di luar.

Selain itu, Dr Samhan turut mengesyorkan agar kerap mengelap badan dengan tuala basah terutama pada muka, kepala, leher, celahan ketiak dan paha bagi mereka yang mempunyai pekerjaan yang terdedah di bawah cahaya matahari.

"Bukan itu sahaja, kerap mandi dengan menggunakan air suam dan gunakan kipas atau pendingin hawa untuk turunkan suhu badan antara cara terbaik mengelak serangan strok haba,” ujar Dr Samhan.

Dari segi pemakanan pula, orang ramai diminta pelbanyakkan makan buah-buahan dan sayuran yang mempunyai kandungan air yang tinggi. Antaranya seperti epal, pisang, tembikai, anggur, brokoli, kubis hijau, daun saderi dan timun.

Pun demikian, Dr Samhan berkata, belum ada kes kritikal yang dicatatkan akibat serangan strok haba setakat ini.

Sementara itu, menjawab soalan mengapa tatkala berganjak waktu malam, suasana bahang akan terasa, Pegawai Perubatan, Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia, Dr Ananda Raj mempunyai jawapannya.

"Sebenarnya, keadaan tersebut adalah disebabkan oleh penutupan awan (cloud cover) di Malaysia yang agak tebal dan (keadaan itu) menyimpan banyak haba. Oleh sebab situasi itu, haba tidak dapat melepasi zon berkenaan," jelasnya.

Mengapa di negara-negara Asia Barat seperti di Arab Saudi meskipun suhunya melebihi 37 darjah Celcius, penduduk-penduduknya mampu bertahan?

"Masyarakat di negara-negara seperti itu sudah terbiasa dengan suhu panas dan telah teradaptasi secara mental dan fizikal. Mereka juga sudah bersedia dan tahu cara terbaik untuk mengatasinya.

"Di sana juga, tiada awan dan kepanasan pada waktu pagi yang akan disebar keluar. Penduduk di Asia Barat turut mempraktikkan pemakaian jenis kapas secara 100 peratus selain menutup kepala,” kata Dr Ananda.

Ujar Dr Ananda, pakaian yang diperbuat daripada kapas sangat baik dalam proses penyejatan peluh yang maksimum. Begitu juga dengan topi kerana lebih 40 peratus daripada kehilangan haba berlaku pada bahagian kepala.

ANEKDOT

CARA-CARA bantuan kecemasan awal buat mangsa serangan strok haba:

  1. Alihkan mangsa daripada sinaran matahari ke tempat yang berteduh yang mempunyai kipas angin atau pendingin hawa atau sekurang-kurangnya tempat yang dingin.
  2. Tanggalkan jaket atau kot atau apa-apa jenis pakaian panas yang dipakai oleh mangsa.
  3. Lapkan anggota badan pesakit dengan air dengan menggunakan span atau tuala basah.
  4. Halakan kipas angin secara terus supaya mangsa mendapat udara segar. Jika tiada kipas gunakan kertas surat khabar.
  5. Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk iaitu air atau minuman isotonik.
  6. Dapatkan bantuan segera dengan menghubungi pihak hospital.

Sumber: Pegawai Perubatan, Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia, Dr Ananda Raj.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca