Kanak-kanak 2 tahun tergelincir jatuh dari denai setinggi 30 meter, tindakan pemuda ini buat ramai tabik spring
KAWASAN riadah di kawasan pergunungan dan air terjun sering menjadi pilihan keluarga yang ingin menghabiskan masa bersama keluarga.
Lebih seronok dapat menghirup udara segar selepas larangan merentas negeri dan daerah ditamatkan dan pada masa sama, dapat bonding time bersama anak-anak.
Bukan sahaja di Malaysia, masyarakat luar juga gemar menghabiskan masa hujung minggu untuk menikmati pemandangan yang indah, misalnya di Air Terjun Multnomah yang cukup popular di Portland.
Pun begitu, kisah tragis yang berlaku di negara itu baru-baru ini barangkali boleh dijadikan iktibar buat para ibu dan ayah untuk lebih berhati-hati ketika riadah bersama anak kecil.
Insiden mengerikan tersebut berlaku selepas seorang kanak-kanak, Katie berusia dua tahun dikatakan secara tiba-tiba tergelincir ketika melalui trek denai yang licin.
Ibunya, Olivia yang ketika itu bersamanya cuba memegang kuat anaknya, namun malang sekali, kedua-dua mereka hilang keseimbangan badan, lalu terjatuh.
Kejadian berkenaan membuatkan ramai kecut perut kerana dua beranak tersebut terjatuh daripada ketinggian 30 meter!
Lapor dailymail.co.uk, jeritan si ibu yang terjatuh ke dalam air benar-benar mengejutkan pengunjung sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku?
Sebenarnya, kejadian mencemaskan itu turut disedari seorang lelaki, Shane Roundy yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.
Mekanik berusia 33 tahun tersebut pada mulanya sedang menunggu anak perempuannya di sebuah tandas awam sebelum terdengar jeritan tersebut.
Sebaik mengetahui kejadian yang berlaku, pemuda tersebut dengan pantas terjun dari cerun setinggi 5.4 meter untuk menyelamatkan mangsa.
Menurut Roundy, saat itu fikirannya hanya mahu menyelamatkan mangsa.
“Ketika itu, saya tidak perasan jarak cerun tersebut dan bagaikan terdapat sesuatu menggerakkan hati saya untuk lompat dari pokok tumbang dan terjun ke dalam air.
“Apa yang menakjubkan, saya tidak tersadung, malah boleh berlari pantas, lompat dan terjun tanpa rasa takut,” ceritanya.
Ramai yang melihat tindakan spontan Roundy itu turut menjerit dan masing-masing cuba membantu menyelamatkan mangsa dengan turun ke kawasan air yang sejuk membeku.
Sebaik sahaja lelaki berhati mulia tersebut berjaya mendapatkan Katie dan membawanya ke tebing, ramai membantu mengangkat si kecil itu dan menenangkannya.
Terdapat pengunjung lain memberikan bantuan seperti selimut dan baju panas yang dibeli daripada kedai cenderahati berhampiran.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Sementara itu, Olivia yang dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki, muka dan abdomen dilaporkan stabil sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Pun begitu, tindakan berani Roundy membuatkan ramai tabik spring kerana suhu sejuk ketika itu boleh memberi kesan kepada mangsa jika tidak bertindak pantas.
Mudah-mudahan insiden mencemaskan sebegitu memberi pengajaran kepada semua untuk lebih berwaspada di tempat berisiko. #kitalaluibersama #kitajagakita
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang