Sanggup jalan kaki pulang ke kampung, percubaan 'berani mati' pasangan suami isteri, dua anak kecil buat ramai tergamam
TIADA siapapun yang menginginkan hilang pekerjaan sekelip mata. Apatah lagi sedang menanggung keluarga dengan dua anak yang masih kecil.
Apabila hilang punca pendapatan, antara pendekatan yang dilakukan ramai adalah pulang ke kampung demi meringankan beban yang ditanggung.
Pun begitu, dalam keadaan negara yang masih dilanda pandemik Covid-19, semua itu cukup menyeksakan.
Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan larangan merentas negeri dan daerah membuatkan ramai mati kutu.
Kisah yang dilaporkan oleh kompas.com memang membuatkan sesiapa yang membacanya akan berasa simpati, sedih, kagum dan bermacam-macam perasaan yang akan bercampur-baur.
Disebabkan kesempitan hidup, sepasang suami isteri di Jawa Tengah, Indonesia nekad untuk pulang ke kampung di Soreang, Kabupaten, Bandung bersama dua anaknya yang masih kecil dengan berjalan kaki.
Ya! Lelaki yang dikenali sebagai Dani bersama isteri dan dua anaknya dikatakan berbuat demikian dari Gombong dan menuju Ciamis sejak Ahad lalu sekali gus menarik perhatian netizen.
Ketika ditemui di Ciamis, keluarga tersebut dikatakan sudah berjalan kaki sejauh 154 kilometer selama enam hari. Allahuakhbar!
Bayangkan anak kecil yang dibawa sekali berjalan kaki di bulan puasa dengan cuaca panas terik. Bagaimana mereka berbuka puasa dan tidur? Semua itu menjadi persoalan netizan yang sebak mengikuti kisah keluarga malang tersebut.
Artikal berkaitan: Aduhai, gara-gara mahu elak sekatan, ada yang sanggup naik rakit dan sampan pulang ke kampung
Lapor kompas.com lagi, keluarga itu yang ditemui di Ciamis memberitahu, mereka menumpang tidur di stesen minyak atau masjid.
Dani memaklumkan, mereka kemudiannya meneruskan perjalanan tanpa henti hingga jam 10 malam sebelum mencari tempat berteduh untuk anak dan isterinya.
"Kalau cuaca semakin panas, kami akan cari tempat berteduh untuk berehat. Kalau cuaca okey, lepas solat Asar, kami teruskan perjalanan.
"Ada satu ketika, kami tidak jumpa satu masjid, surau atau stesen minyak dan terpaksa berjalan hingga jam 11 malam, tetapi saya akan pastikan jangan sampai lewat malam," ceritanya.
Berkongsi kisah di sebalik perjalanan ekstrem itu, Dani memberitahu, selepas berhenti kerja di sebuah kedai baju di Gombong, beliau nekad untuk pulang ke kampung.
Artikal berkaitan: Iklan raya mangkuk tingkat, rupanya kisah Makcik Saadiah kayuh basikal, hantar makanan walau suami sudah tiada
"Duit yang ada cukup-cukup saja. Lepas bayar sewa dan kos makanan, saya hanya ada Rp 120,000 (RM34.57). Tak mampu sewa kereta atau beli tiket bas, jadi kami nekad jalan kaki.
"Alhamdulillah, saya ditemukan dengan ramai orang pemurah dan mereka menyumbangkan makanan untuk isteri dan anak-anak. ALLAH masih melindungi kami kerana perjalanan Gombong-Ciamis tiada halangan dan gangguan orang jahat," katanya.
Kental sungguh jiwa Dani dan keluarganya berjalan kaki menuju ke Bandung. Si kecil pula tidak merungut, bahkan menurut langkah kedua ibu bapanya tanpa banyak ragam.
Sesungguhnya, dugaan berat buat mereka yang hilang kerja dan hanya ada pilihan terakhir untuk pulang ke kampung membina hidup baharu.
Moga perjalanan keluarga itu dipermudahkan dan ditemukan orang yang baik-baik untuk membantunya selamat sampai ke kampung.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang