Turunkan lebih 500 kotak piza percuma dari tingkat 2 apartmen untuk orang ramai, kegigihan pemuda ini dihargai...
SETIAP orang mempunyai cara tersendiri untuk membantu orang lain. Ada orang lebih selesa untuk menghulurkan bantuan kewangan.
Namun, segelintirnya pula lebih puas andai dapat menyumbang tenaga dan keringat masing-masing dalam meringankan beban mereka yang berada dalam kesukaran.
Apa jua pendekatan yang yang dipilih, matlamatnya hanya satu. Golongan yang memerlukan dan terdesak harus dibantu waima dengan sekecil-kecil pertolongan.
Ia bukan sekadar memberikan kegembiraan kepada mereka yang berkenaan, tetapi juga perbuatan mulia itu boleh menyuntik inspirasi kepada orang lain untuk melakukannya.
Ya, itulah yang dilakukan seorang anak muda dari Pennsylvania, Amerika Syarikat. Jejaka berusia 28 tahun yang bernama Ben Berman berbesar hati mendermakan 500 piza secara percuma!
Piza itu pun diberikan dengan cara yang unik.
Berman melakukan kerja amal itu dengan menurunkan makanan berkenaan dari tingkat dua apartmennya yang terletak di Philadelphia.
Menceritakan detik permulaan usaha murninya itu, Berman berkata, beliau sebenarnya tidak terfikir untuk berbuat demikian pada awalnya.
Sehinggalah pada suatu hari, beliau terpaksa membatalkan pesta piza yang dirancang bersama-sama sekumpulan kenalannya. Itu semua disebabkan wabak Covid-19 yang semakin mengganas.
Akhirnya, setelah berfikir, beliau nekad untuk menurunkan 16 kotak piza yang diikat menggunakan tali dari kediamannya."Kebetulan saya mempunyai tali sepanjang 40 kaki yang pernah dibeli melalui Amazon. Jadi, saya membentukkannya menjadi takal, letak piza itu di situ dan turunkan ia ke bawah, sebelum diambil oleh rakan-rakan yang menunggu.
"Idea itu muncul kerana saya merasakan ia adalah pendekatan yang baik. Saya tidak mampu menghabiskan 16 kotak piza. Ini sahajalah caranya untuk habiskan semuanya," katanya sebagaimana dipetik menerusi portal washingtonpost.com.
Mahu dijadikan cerita, pandemik Covid-19 di negara itu terutama di kawasannya menjadi semakin buruk sebaik tibanya musim panas.
Melihat situasi itu, Berman semakin jatuh kasihan dengan nasib golongan yang memerlukan.
Justeru, beliau beriltizam dan berhajat untuk memberi semangat kepada jirannya yang terkesan dengan wabak berkenaan.
"Ketika berbual dengan teman wanita, beliau menyarankan saya memberi piza percuma lagi. Katanya, itu adalah cara untuk melakukannya," katanya.
Bermula dari situ, mahasiswa Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Wharton School, Universiti Pennsylvania itu membuat piza keju sendiri.
Sekali lagi, agihan dibuat menerusi tingkap dari kediamannya.
"Saya fikir, sekiranya saya dapat membuat orang tersenyum dengan menjatuhkan piza dari pangsapuri saya kepada mereka, mengapa tidakkan?" ujarnya.
Sebenarnya, ia bukanlah satu-satunya alasan mengapa Berman berbuat demikian.Sebenarnya, pemuda itu juga pernah mengalami peristiwa pahit akibat Covid-19.
Nenek Berman meninggal dunia akibat wabak berkenaan pada bulan April tahun lalu.
"Jadi saya fikir, ia menjadi cara terbaik untuk saya menghormatinya dan memberi harapan kepada orang lain," katanya.
Dengan menggunakan nama Good Pizza PHL dalam Instagram miliknya, Berman berjaya mengumpulkan lebih AS$3,200 pada minggu pertama Januari ini.
Ujar Berman, ia disebabkan oleh publisiti yang diberikan oleh seorang blogger selebriti, Dave Portnoy yang mempunyai ramai pengikut dan memberikan ulasan positif tentang pizanya sekitar bulan November tahun lalu.
Sejak itu, banyak sumbangan diterimanya atas tindakannya yang memberikan piza secara percuma. Pada masa sama, permintaan pizanya meningkat.
(Artikel berkaitan: 'Jangan malu atau berdiam diri daripada mendapatkan bantuan')
Kini, Berman menyediakan piza sekali dalam seminggu dan diedarkan pada setiap hari Ahad. Beliau mengagihkannya kepada 20 orang terpilih.
Sehingga kini, dianggarkan lebih 500 kotak piza telah diberikan.
"Saya telah menghabiskan masa berjam-jam di dapur secara langsung. Lagipun, saya memang gemar berkongsi masa dengan keluarga berbanding dengan aktiviti lain," ujarnya.
Selain itu, Berman juga ada memulakan perniagaan trak makanan dengan seorang rakannya di Maine. Mereka menjual burger dan kentang goreng sepanjang musim panas.
Begitu gigih dan unik pendekatan dilakukan Berman untuk membantu orang lain.
Sememangnya beliau berjaya membuatkan ramai orang kembali tersenyum biarpun berdepan kemelut Covid-19 yang masih belum ada kesudahannya.
Semoga cerita lelaki budiman itu menjadi pencetus kepada kita untuk membantu mereka yang berada dalam kesempitan lebih-lebih lagi pada tempoh perintah kawalan pergerakan ini.
Ayuh, teruskan perjuangan melawan Covid-19! #KitaMestiMenang #kitajagakita
View this post on Instagram
Sumber & Foto: washingtonpost.com, Instagram goodpizzaphl & Freepik
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang