Bawa si bulus jumpa doktor, kucing pun kena vaksin juga. Ikuti saranan kempen Take Your Pet to The Vet cegah penyakit lebih awal

A
A
A

ROYAL Canin Malaysia sekali lagi menyemarakkan Kempen Take Your Pet to The Vet pada tahun ini bertujuan menyuntik kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan haiwan peliharaan dan pada masa sama mencegah penyakit lebih awal.

Pengurus Komunikasi Saintifik Royal Canin Malaysia, Dr Kavindaran Krisnamasy berkata, tidak dinafikan ramai yang beranggapan kucing yang sihat tidak perlu dibawa berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan berkala.

"Pemilik perlu memahami sifat semula jadi si bulus yang sebenarnya suka menyembunyikan penyakit. Kalau anjing sakit, 'mereka' akan menunjukkan tingkah laku seperti jalan terhincut-hincut, namun kucing tidak seperti itu.

kempen take your pet to the vet

"Kucing kalau tidak sihat atau sedang mengalami tekanan, haiwan ini akan lebih suka bersendirian. Perubahan sikap itulah sebenarnya menunjukkan kesakitan," jelasnya dalam sesi bual bersama SinarPlus secara maya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Kavindaran berkata, apabila kucing berada dalam keadaan stres, ia secara tidak langsung boleh mengundang penyakit pundi kencing seperti batu karang, jangkitan urin dan keradangan.

kempen take your pet to the vet

Justeru, doktor haiwan terlatih itu mengesyorkan agar pemilik atau penjaga membawa kucing masing-masing untuk pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Memang ada pemilik yang berat hati untuk membayar sejumlah wang untuk kos rawatan yang dianggap mahal. Namun, jika kita menerima penerangan terperinci daripada doktor pakar sendiri, kita akan memahami bahawa nilai yang dibayar untuk semua prosedur cukup berbaloi.

kempen take your pet to the vet

"Sebagai contoh, ujian darah yang dibuat boleh menguji tahap fungsi hati dan buah pinggang si bulus. Jika ada kelainan atau gangguan kesihatan berkaitan, rawatan tepat dapat diberikan lebih cepat," ujarnya.

Dr Kavindaran turut menegaskan, kucing yang tidak diperiksa lebih awal atau belum divaksin sangat terdedah kepada penyakit berjangkit seperti virus, bakteria dan fungus yang dilihat menjadi punca kematian nombor satu haiwan kesayangan ramai itu.

Baca juga [VIDEO] Begini caranya bagi kucing ubat. Doktor veterinar tunjuk step by step, confirm tak melawan

Baca juga Kucing dimandulkan cenderung lebih sihat dan hidup lama, ini tip penjagaan selepas bedah

"Kalau boleh, dapatkan maklumat tepat dengan doktor haiwan bertauliah mengenai cara penjagaan kesihatan kucing berbanding mempercayai perkongsian di media sosial kerana dikhuatiri akan memudaratkan lagi tahap kehidupan haiwan tersebut.

"Untuk pemeriksaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebenarnya tiada masalah kerana klinik haiwan masih beroperasi seperti biasa. Pun begitu, saya menyarankan supaya membuat temu janji lebih awal demi mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya.

kempen take your pet to the vet

Kempen Take Your Pet to The Vet yang bermula 1 Jun lalu hingga 30 November depan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik untuk semua peserta tidak mengira usia.

Antara program yang telah diatur adalah seperti Puppy and Kitten On-Boarding Programme, Pet2Vet Contest, Jom Talk Pets! Podcast dan Pet2Vet Digital Event.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.royalcanin.com/my/take-your-pet-to-the-vet atau www.royalcanin.com/my.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca