Bersedia! MetMalaysia jangka lebih 10 juta rakyat Malaysia mungkin terkesan banjir akhir tahun. Ini info wanita perlu tahu
BERSEDIA! Itu yang boleh dikatakan apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan 10 juta rakyat Malaysia akan mengalami banjir hujung tahun ini.
Lebih 10 bulan lalu, warga Shah Alam, Selangor berdepan bencana banjir terburuk dalam masa lebih 25 tahun. Banyak rumah musnah dan kebanyakannya tidak bersedia untuk bencana itu.
Paras air melepasi bumbung di beberapa kawasan perumahan dan bot penyelamat diperlukan untuk menyelamatkan mangsa di kawasan terjejas.
Banjir pada hujung tahun lalu telah memberi kesan kepada lapan buah negeri dengan lebih 70,000 kehilangan tempat tinggal serta mencatatkan kerugian kira-kira 6.1 bilion.
Mangsa yang terjejas berkongsi keperitan berhadapan bencana banjir dengan sebahagian daripada mereka masih trauma dan sehingga kini ada yang belum pulih sepenuhnya dengan terus berusaha membaiki rumah dan harta benda terjejas.
Bagaimanapun, MetMalaysia baru-baru ini mengeluarkan ramalan yang menyebut musim banjir sudah tiba dan berkemungkinan akan kekal sehingga awal tahun depan.
Musim tersebut berkemungkinan besar akan menjejaskan lebih 10 juta rakyat Malaysia dan musim banjir mungkin bakal melanda bermula bulan November hingga Januari 2023.
Berdasarkan ramalan itu, MetMalaysia menyebut negeri-negeri yang bakal terjejas adalah seperti berikut:
- Kelantan (1.8 juta orang)
- Terengganu (1.2 juta orang)
- Johor (4 juta orang)
- Pahang (1.6 juta orang)
- Sebahagian Sarawak (2.5 juta orang)
Kawasan tersebut akan terjejas oleh musim monsun atau musim tengkujuh dan berkemungkinan besar akan mengalami hujan lebat berterusan.
Selain itu, MetMalaysia juga menyebut negeri-negeri berikut mungkin akan turut dilanda banjir akibat perubahan cuaca;
- Selangor
- Kuala Lumpur
- Bahagian utara Kedah
Baca juga Musim tengkujuh dijangka bermula esok, ini langkah persediaan perlu tahu
Presiden Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadim), Roslan Ab. Ghani berkata, sukar untuk meramalkan sama ada banjir akan berlaku atau tidak kerana cuaca hari ini tidak menentu dan boleh berubah dengan cepat, ia di luar jangkaan menyebabkan bencana boleh berlaku di luar kawasan dan di luar musim.
Ujarnya, malah bahagian yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini kini mengalami banjir.
Beliau menggesa rakyat perlu bersiap sedia dan mengingatkan setiap negeri untuk memperkasakan komuniti masing-masing di peringkat daerah dalam soal pengurusan banjir dan memastikan pusat pemindahan berhampiran disediakan apabila diperlukan.
Sementara itu, ini persediaan awal yang boleh diambil bagi menghadapi musim tengkujuh;
Persediaan sebelum banjir (di rumah);
1. Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat korang.
2. Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
3. Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
4. Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat korang.
5. Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
6. Pastikan seluruh keluarga korang mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
Jika ingin melancong ke kawasan berpotensi banjir;
1. Bagi yang mempunyai bayi, bawa kelengkapan bayi supaya mudah diuruskan ketika banjir berlaku.
2. Simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.
3. Pesakit kronik perlu bawa bekalan ubatan mencukupi selain pemantauan jaduan rawatan kerana dikhuatiri berdepan masalah ketika berada dalam banjir.
4. Selalu dapatkan maklumat mengenai taburan hujan seperti akses kepada laman web Jabatan Meteorologi, portal bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.
Baca juga Melewatkan solat tiba-tiba haid, perlukah qada? Info ini wanita perlu tahu
Selain itu, setiap rumah juga perlulah sediakan 1 RUMAH 1 BEG KECEMASAN. Antaranya;
1. Air (Jangan terlalu banyak sebab berat)
2. Sedikit makanan yang tahan lama
3. Tandas segera (ada dijual di Daiso/ kedai online)
4. Kit kecemasan dan ubat-ubatan
5. Pelitup muka
6. Bagi wanita, tuala wanita
7. Tisu basah, tisu tandas
8. Bekas untuk isi air
9. Plastik wrap
10. Lapik plastik pelbagai guna
11. Baju hujan
12. Selimut kecemasan
13. Sejadah
14. Pisau serba guna
15. Lilin dan mancis
16. Wisel
17. Tape pelekat
18. Tali
19. Sarung tangan
20. Bateri dan pengecas (untuk telefon dan sebagainya)
21. Radio
22. Lampu suluh (boleh cari yang sekali dengan pengecas solar dan dinamo serta ada radio sekali)
23. Kertas maklumat diri (nama, alamat, jantina, jenis darah, tarikh lahir, no telefon, no kecemasan, hospital yang biasa guna, ubatan yang diambil, alergi dan sebagainya)
*Baju (boleh letak dalam beg lain sebab makan ruang).
Jadi, orang ramai bolehlah beli siap-siap sebab bencana ini datang di luar jangkaan kita. 1 Rumah 1 Beg Kecemasan. Semoga kita sentiasa dilindungi.
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang