“Biasa kena saman, takut kena angkut, sekarang alhamdullilah”, MPK benar berniaga sekitar Kuantan

A
A
A

TERDAHULU, atas keprihatinan terhadap golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang semakin menular yang menyebabkan beberapa sektor swasta terjejas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pendekatan dengan memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, bermula Ahad ini.

Ternyata pendekatan yang diambil oleh DBKL itu mendapat sambutan. Ramai pihak juga turut memuji tindakan tersebut serta merasakan ia satu peluang yang baik untuk diambil oleh pihak yang disasarkan.

Terbaharu, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga dilaporkan mengambil pendekatan sama dalam membantu masyarakat terutama golongan B40 yang menghadapi tekanan kewangan akibat Covid-19 dengan memberi kebenaran berniaga di mana-mana lokasi yang sesuai.

Memetik laporan media tempatan, menurut Yang Dipertua MPK Datuk Hamdan Hussin, kebenaran berniaga itu diberi dengan beberapa syarat seperti;

  • Lokasi perniagaan sesuai
  • Tidak menghalang lalu lintas
  • Tidak menimbulkan gangguan kepada penduduk
  • Kebersihan sentiasa dijaga.

Jelasnya, pihak MPK telah mengeluarkan sebanyak 1,210 permit harian yang memberi kemudahan kepada seramai 103 orang peniaga sejak pendekatan yang telah dilaksanakan pada Julai 2020 lepas.

"Mereka kehilangan pendapatan harian, terpaksa menyara kehidupan dalam keadaan susah. Melihatkan kepada perkara ini, kami mempermudahkan supaya mereka terus dapat menyara keluarga, menjana pendapatan, mencari pendapatan harian.

"Jadi apabila kami melaksanakan pendekatan ini, golongan yang terjejas disebabkan pandemik, yang kehilangan pendapatan sebab Covid-19, mereka dapat kembali berniaga dengan lebih mudah.

"Ini, selain dapat memulihkan ekonomi pendapatan mereka, kuasa membeli mereka juga semakin baik," katanya.

“Biasa kena saman, takut kena angkut, sekarang alhamdullilah”, MPK benar berniaga sekitar Kuantan

Menurut Hamdan, dengan kaedah itu, pihak penguatkuasa MPK akan bertemu peniaga di lokasi mereka berniaga dan memberi nasihat tentang kebersihan serta memastikan perniagaan tidak menghalang lalu lintas sebelum diberi pilihan lesen harian, mingguan atau bulanan, tanpa perlu memohon di kaunter MPK.

Dalam pada itu, peniaga makanan, Zainuddin Samseman, 38, berkata, kaedah yang dilakukan MPK itu sangat berkesan dalam membantu masyarakat mencari pendapatan tanpa perlu rasa takut akan dikenakan tindakan saman.

"Cara MPK ni memang memberi manfaat yang bagus, yang mana kita yang terjejas PKP ini dapat berniaga dengan tidak risau di mana kita boleh berniaga dan tidak perlu mengalih semua barang-barang kami.

"Biasa kena saman, takut kena angkut, sekarang alhamdullilah, ia mengeluarkan permit, jadi kita boleh berniaga dengan senang hati," ujarnya.

Sementara itu, bekas pekerja keselamatan yang kini berniaga pakaian, Khairul Azizan Razali, 41, berpendapat, pendekatan itu membantu menampung kehidupan yang terhimpit akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan meringankan beban kewangan keluarga.

"Bagi saya, ia membantu pada saat tidak ada pekerjaan. Pada musim Covid-19 ini, payah kerja. Jadi kita pun meniaga secara halal. Cara MPK ini bagus. Memang cukup memudahkan," jelasnya.

Sumber rujukan : astroawani

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca