Julia Farhana kongsi tinggalkan rumah sehelai sepinggang, kini bangkit bina kehidupan baharu – ‘Saya ada duit, cuma…’
ADA kalanya, keputusan untuk meneruskan kehidupan memerlukan seseorang melepaskan hampir segala yang pernah dimiliki.
Begitulah gambaran situasi yang sedang dilalui pelakon Julia Farhana Marin selepas hubungannya dengan suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, berakhir dengan perpisahan.
Bukan sekadar meninggalkan kenangan di kediaman yang pernah menjadi tempat berteduh, pelakon itu juga terpaksa memulakan kehidupan baharu tanpa kebanyakan barangan peribadinya.
Menerusi satu temu bual dalam podcast The Fitting Room Podcast, Julia menceritakan bagaimana dia meninggalkan rumah dengan persediaan yang sangat minimum.
Bayangkan, ketika melangkah keluar dari kediaman tersebut, tiada beg pakaian atau barang keperluan lain yang sempat dibawa. Hanya sebuah beg tangan yang mengandungi dokumen penting termasuk kad pengenalan.
“Saya keluar dari rumah hanya dengan membawa sebuah beg tangan yang berisi barang-barang penting seperti kad pengenalan.
“Saya terlupa bawa pasport tetapi akhirnya saya dapat juga pasport itu apabila pembantu saya mengambilnya di rumah,” katanya.

Lebih mengejutkan, Julia memberitahu bahawa pakaian yang dipakainya ketika meninggalkan rumah itulah antara satu-satunya persalinan yang dimiliki pada waktu tersebut.
Sejak hari berkenaan, dia juga tidak lagi menjejakkan kaki ke kediaman itu mahupun bertemu semula dengan suaminya.
Malah, Julia sendiri tidak mengetahui keberadaan kunci rumah berkenaan ketika ini.
Terpaksa bermula dengan apa yang ada
Situasi tersebut turut memberi gambaran tentang perubahan besar yang perlu dihadapinya dalam kehidupan seharian.

Jika sebelum ini mempunyai kediaman dan barangan sendiri, kini Julia perlu menyusun semula keperluan asas termasuk mendapatkan pakaian serta tempat tinggal baharu.
Menariknya, sebahagian pakaian yang dipakainya sekarang merupakan hadiah daripada sahabat yang prihatin dengan keadaannya.
Julia turut mengakui masih mengulang persalinan sama sepanjang tahun ini kerana belum berkesempatan untuk membeli pakaian baharu.
Bagaimanapun, dia menegaskan dirinya tidak berdepan masalah kewangan. Sebaliknya, membeli-belah bukan sesuatu yang perlu diberikan perhatian buat masa ini.
“Jangan risau, saya ada duit. Cuma buat masa sekarang, itu bukan keutamaan saya.
“Ada perkara lebih penting yang perlu saya dahulukan, seperti mencari rumah baharu dan memulakan semula kehidupan dari kosong,” ujarnya.

Jelas pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu, tumpuannya kini lebih terarah kepada usaha mendapatkan kediaman sendiri serta membina rutin kehidupan yang baharu.
Dalam fasa yang penuh perubahan ini, keutamaan Julia bukan lagi tentang melengkapkan almari pakaian atau mendapatkan barangan baharu, sebaliknya memastikan dirinya mempunyai ruang yang selesa untuk meneruskan kehidupan.
Untuk rekod, Julia sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk memfailkan perceraian terhadap Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022.
Sebelum berkahwin dengan Julia, Che Muhammad Hafiz pernah menjadi suami kepada pelakon dan penyanyi Lufya Omar. Mereka mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 sebelum berpisah pada 17 Jun 2020.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

