Budak kecil tertelan hampir sebotol cecair hand sanitizer. Ini detik cemas yang diceritakan...
SEJAK zaman pandemik Covid-19, hand sanitizer atau cecair pembasmi kuman merupakan elemen paling penting dalam hidup penduduk seluruh dunia selain pelitup muka.
Jadi tidak hairanlah, banyak penyelidik, pengusaha termasuk daripada pihak universiti menghasilkan hand sanitizer label mereka sendiri.
Sudah pastinya cecair berkenaan mengandungi bahan kimia tertentu selain tambahan bahan-bahan semula jadi yang lain.
Disebabkan itu, ibu bapa dilarang meletakkan hand sanitizer secara terbuka atau sesuka hati bagi mengelak si kecil terpegang apa lagi termakan.
SinarPlus memang sangat takut dengan perkara ini lebih-lebih lagi selepas terbaca kenyataan yang diciap oleh Pegawai Perubatan Pediatrik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, Dr Redza Zainol.
Dr Redza antara lain berkongsi detik cemas seorang ibu yang mendapati anaknya tertelan hampir sebotol hand sanitizer bersaiz 30 mililiter.
Kejadian itu ujarnya, hanya disedarinya setelah wanita itu terhidu bau alkohol yang sangat kuat yang datang dari mulut dan baju anaknya.
Tulis pegawai perubatan itu lagi, hampir 97 peratus kejadian yang melibatkan kanak-kanak tertelan cecair pembasmi kuman dilaporkan.
"Hal itu kerana kebanyakannya diletakkan dalam botol yang cantik, jadi anak kecil beranggapan bahawa cecair itu boleh diminum," katanya.
Impak minum cecair itu bukan sembarangan dan sangat berbahaya, kata Dr Redza.
"Jika jumlah yang ditelan terlampau banyak, ia boleh menyebabkan komplikasi serius termasuklah koma, sawan dan banyak lagi," tambah beliau.
Kenyataan Dr Redza itu disokong oleh Pusat Racun Negara (PRN).
PRN berkata, jika jumlah hand sanitizer yang ditelan dalam kuantiti yang sedikit, ia tidak akan memberi kesan serius kepada anak kecil.
"Sebaliknya, jika jumlahnya terlalu banyak, ia boleh menyebabkan alcohol intoxication," kata mereka.
Antara gejala-gejalanya adalah:
i) Kurang gula dalam darah.
ii) Muntah dan sakit perut.
iii) Muka menjadi lebih merah.
iv) Degupan jantung jadi perlahan.
Berbalik semula dengan ciapan pegawai perubatan berkenaan, ujar beliau, sebenarnya agak jarang bagi kanak-kanak menghabiskan satu botol hand sanitizer kerana ia mempunyai 60 hingga 75 peratus alkohol yang boleh menyebabkan rongga mulut terasa panas setelah masuk ke dalam mulut.
"Namun, jika perkara tidak diingini itu berlaku juga, ibu bapa boleh mengambil langkah awal seperti memberi anak kecil meminum air manis semasa dalam perjalanan mendapatkan rawatan," saran Dr Redza.
Baca juga: [VIDEO]Hampir kehabisan katil, Dr Noor Hisham kongsi keadaan terkini dalam ICU
Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua untuk meletakkan hand sanitizer di tempat yang selamat dan tinggi agar tiada perkara yang tidak diingini akan berlaku. Dengarlah ya nasihat berguna ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang