COVID-19: Akhirnya, saintis temui vaksin keberkesanan sehingga 90 peratus, ini apa kata pakar dan pemimpin dunia
TERBAHARU, vaksin buatan Pfizer dan BioNTech didakwa menunjukkan 90 peratus keberkesanan dalam mengelak jangkitan Covid-19.
Memetik laporan media tempatan, menurut Pfizer, vaksin jenis mRNA itu terbukti mampu mengelak jangkitan Covid-19 bagi hampir kesemua individu yang mengambil bahagian dalam ujian klinikal fasa ketiga.
“Ini bermaksud kami sudah selangkah dalam memperoleh vaksin untuk diedarkan kepada rakyat, sekali gus mengakhiri pandemik Covid-19,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam kenyataan di laman web rasmi Pfizer.
Menurut data awal ujian klinikal yang diambil daripada 94 kes positif Covid-19 daripada sejumlah 43,538 peserta ujian tersebut, 10 peratus daripada itu telah mendapat suntikan vaksin sebenar manakala 90 peratus mendapat suntikan plasebo atau bukan suntikan sebenar.
Pfizer berkata, suntikan kedua vaksin itu memberi perlindungan selama tujuh hari, manakala suntikan pertama memberi perlindungan selama 28 hari.
Bourla berkata, pihaknya komited untuk menghasilkan data secara konsisten yang boleh membuktikan keselamatan vaksin Pfizer bersama kerjasama syarikat Jerman, BioNTech.
Sementara itu, berita mengenai kejayaan syarikat farmaseutikal Pfizer dan BioNTech membangunkan vaksin Covid-19 yang menunjukkan keberkesanan 90 peratus dalam ujian fasa ketiga membawa harapan baharu di seluruh dunia.
Menurut Reuters, reaksi positif dan bercampur-campur pemimpin negara dunia, para saintis dan pelabur global sekali gus dianggap satu kejayaan awal dalam peperangan melawan pandemik yang telah mengorbankan 1.26 juta penduduk dunia dan menjangkiti 50.76 juta individu setakat 10 November 2020.
Reaksi Pasaran
JPMorgan menjangkakan indeks S&P 500 akan mencapai 4,000 mata pada awal tahun 2021 dan menyatakan vaksin Pfizer COVID-19 sebagai salah satu latar belakang terbaik untuk keuntungan berterusan selama beberapa tahun.
Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden
Bakal Presiden Amerika Syarikat yang baharu memenangi Pilihan Raya negara itu, Joe Biden menyatakan kelulusan vaksin perlu mengikut garis panduan berdasarkan sains supaya orang awam akan mempunyai keyakinan ia selamat dan berkesan.
Namun Biden menyatakan negara itu masih akan berdepan musim sejuk yang 'gelap' disebabkan vaksin berkemungkinan tidak akan tersedia sehingga akhir tahun ini.
"Saya berharap anda semua memakai pelitup muka, lakukannya untuk diri dan jiran anda. Memakai pelitup muka bukanlah satu kenyataan politik," katanya.
Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia A.S, Alex Azar
Sementara itu, Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia A.S, Alex Azar berkata, Pfizer perlu mengumpulkan data mereka dan menyerahkannya kepada Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan untuk menjalani proses tinjauan bebas di sana.
"Anda perlu memikirkan mengenai tempoh beberapa minggu mengenai pengiriman dan kemudian kajian dibuat oleh FDA mengenai data tersebut,” katanya.
WHO
Pandangan yang sama turut dilontarkan Pegawai Kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan terdapat banyak lagi kerja perlu diselesaikan kerana itu adalah keputusan sementara namun ia adalah positif yang menjanjikan seluruh dunia dapat bergerak ke hadapan.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson
Bagi Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berita itu adalah masih terlalu awal dan memberi amaran untuk tidak bergantung kepada penyelesaian berkenaan.
"Kesalahan besar yang dilakukan adalah memperlahankan tindakan mengekang virus," jelasnya.
Begitu juga dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang menyatakan harapan agar vaksin Covid-19 dapat diperoleh pada awal tahun hadapan.
Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn
Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn pula berpandangan sekiranya terbukti vaksin Pfazir berkesan, ini akan membawa isyarat yang baik kemungkinan vaksin yang paling pantas dihasilkan dalam sejarah.
Namun Spahn tidak menggariskan tarikh tersedianya vaksin kerana beliau menyatakan pembangunan vaksin kadang-kala terdapat masalah yang boleh menjejaskan perkara tersebut.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia, Khairy Jamaluddin
Dalam pada itu, berita mengenai kejayaan awal Pfizer dilihat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai perkembangan yang signifikan.
Ditanya mengenai pelan komunikasi untuk memberitahu rakyat Malaysia mengenai bagaimana vaksin dibuat, fasa ujian dan laporan, Khairy berkata, beliau memahami mengenai kebimbangan tersebut.
"Malaysia mempunyai skema pendaftaran dan pelesenan yang sangat ketat untuk farmaseutikal di bawah http://npra.gov.my. Kita akan pastikan apa juga vaksin yang kita perolehi selamat dan berkesan tidak kira di mana ia dibuat."Kita sedang melakukan perancangan pelan komunikasi sekarang," jelasnya.
Prof. Perubatan di Universiti Oxford, John Bell
Prof. Perubatan di Universiti Oxford dan sebahagian Pasukan Petugas Khas Vaksin Kerajaan UK, John Bell melahirkan kegembiraan mengenai berita tersebut.
"Namun, pengedarannya akan menjadi sesuatu yang mencabar dan merumitkan tetapi ia boleh diselesaikan," katanya.
Ketua Penyelidikan Imunologi Infeksi Kumpulan Penyelidikan & Vaksin, Leif-Erik Sander
Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Imunologi Infeksi Kumpulan Penyelidikan dan Vaksin, Universitatsmedizin Berlin, Leif-Erik Sander berkata, secara keseluruhan data pertama dari analisis interim ini harus dinilai dengan sangat positif walaupun terdapat limitasi.
"Sekiranya trend ini berlanjutan, iaitu perlindungan 90 peratus kepada mereka yang divaksinasi ini bererti kecekapan vaksinasi adalah tinggi yang tidak dapat dicapai dengan lambakan vaksin lain yang digunakan secara rutin, seperti melawan influenza."Ini mengejutkan kerana saya belum pernah mendapat teknologi mRNA yang diluluskan dalam vaksin sebelum ini. Jadi ini adalah berita positif, walaupun kita masih perlu menunggu perinciannya, terutama mengenai keberkesanan vaksin mengikut usia, tempoh perlindungan dan keselamatan," jelasnya.
Pengurus Portfolio Pasukan Pendapatan Tetap UBP, Mohammed Kazmi
Pengurus Portfolio Pasukan Pendapatan Tetap UBP, Mohammed Kazmi berkata, berita positif dari Pfizer membawa kepada selangkah lebih dekat kepada kelulusan FDA yang membuatkan pasaran menjadi lebih selesa dengan pemulihan pertumbuhan.
"Sebarang gangguan jangka pendek sekarang akan dilihat bersifat sementara, kerana para pelabur akan mulai menganggap bahawa vaksin akan memberi penyelesaian yang lebih kekal."Walaupun kita menjangkakan kadar rendah persekitaran akan kekal dalam jangka menengah susulan kurangnya inflasi global, kita akan dapat melihat kadar pasaran bernafas ketika pertumbuhan untuk tahun 2021 dijangka disemak semula lebih tinggi," kata beliau.
Sumber : astroawani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang