Covid-19 : Ini punca Nemo si ikan laut giat membiak dan bertelur dalam akuarium
SITUASI pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, umpama malapetaka yang menimpa seluruh dunia.
Namun, bagi Pusat Ikan Hiasan (PIH) yang terletak di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, ia sebenarnya terdapat rahmat dan membawa 'keajaiban' terhadap proses pembiakan semulajadi bagi ikan hiasan dalam akuarium.
Memetik laporan media tempatan, Ketua PIH, Doreen Wee Siew Leen berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac disusuli PKPB (bersyarat) dan PKPP (Pemulihan) menyaksikan pusat itu sepi tanpa kehadiran manusia yang membolehkan dua spesies ikan hiasan iaitu belut laut jenis Zebra Moray atau nama saintifiknya Gymnomuraena Zebra dan ikan inggu (nemo) Red and Black Anemonefish (Amphiprion Melanopus), giat membiak dan bertelur.
“Sebelum ini, tidak pernah dua jenis ikan ini mengeluarkan telur dalam akuarium hiasan, mungkin ikan itu dalam keadaan tertekan dengan kehadiran orang ramai sehingga menyebabkan ia tidak mampu membiak dalam akuarium,” katanya.
Beliau menjelaskan, kebiasaannya, ikan hiasan laut hanya akan membiak di dalam laut, namun, dua spesies berkenaan didapati berupaya membiakan secara semulajadi di dalam akuarium, masing-masing pada Mei dan awal November lepas.
“Pada Mei, Zebra Moray bertelur dan menghasilkan dua ekor anak, namun seekor daripadanya mati tanpa diketahui puncanya,” katanya menambah sepasang Zebra Moray itu dibeli lima tahun lepas dari sebuah kedai ikan hiasan."Sejak pengunjung berkurangan, ikan-ikan Zebra Moray, ini mampu membiak dengan baik tanpa perlu dibawa ke akuarium berasingan bagi tujuan pembiakan seperti sediakala," katanya menambah sejak kecil pasangan ikan berkenaan dipelihara di dalam akuarium bersaiz enam kaki.
Jelasnya, spesies Zebra Moray banyak ditemukan di kawasan termasuklah di Indo-Pasifik, Laut Merah, dan Great Barrier Reef serta berhabitat di kawasan pasir, berbatu dan tebing terumbu karang dengan kedalaman sekurang-kurang 39 meter.
Berbeza dengan Zebra Moray, Wee berkata spesies Red and Black Anemonefish yang ditempatkan di sebuah akuarium bersaiz dua kaki pula berjaya mengeluarkan sebanyak 250 biji telur pada 7 Nov lepas, namun, tidak semua anak-anak ikan itu mampu hidup selepas menetas kerana induknya sering memakan telur atau anaknya.
“Spesies ikan itu selalunya ditemui di Pasifik Barat dari Great Barrier Reef ke utara kepulauan Marshall dan Guam, New Guinea dari Vanuatu dan Kaledonia Baru ke Indonesia Timur,” katanya.
PIH dikendalikan sepenuhnya Jabatan Perikanan Malaysia sebagai pusat penyelidikan pembiakan dan pengendalian ikan hiasan marin, kuda laut dan batu karang selain mempunyai kira-kira 30 spesies ikan hiasan laut lain termasuklah kuda laut, ikan yu serta dua spesies penyu iaitu penyu agar dan penyu karah.
Jelasnya, spesis Zebra Moray banyak ditemukan di kawasan termasuklah di Indo-Pasifik, Laut Merah, dan Great Barrier Reef serta berhabitat di kawasan pasir, berbatu dan tebing terumbu karang dengan kedalaman sekurang-kurang 39 meter.
Beliau berkata pusat berkenaan merekodkan seramai 140,063 pengunjung pada tahun lepas berbanding hanya 26,022 dari Januari hingga Oktober tahun ini, berikutan Covid-19.
BERNAMA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang