Covid-19: Kembali kepada 3 angka, pakar kongsikan kes tersebar akibat 'missing link'

No Image Caption
A
A
A

SIDANG media semalam mengenai perkembangan Covid-19 di Malaysia telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai kenaikan yang agak mendadak dengan tiga angka direkodkan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran berkata walaupun di atas kertas Kluster Sivagangga seperti sudah tamat, tetapi kluster-kluster lain di wilayah Utara masih aktif.

"Bezanya hanya pada nama kluster sahaja. Hakikatnya sebaran penyakit masih berlaku di dalam komuniti," katanya.

Baginya, jika tidak ada sekatan buat sementara bagi aktiviti sosial, kenduri, jamuan, kursus, kempen politik dan semua yang melibatkan perkumpulan dan interaksi ramai orang, sukarlah untuk mengawal wabak Covid-19 daripada terus merebak secara tersembunyi di sana.

Kenapa kita kata wabak Covid-19 ini tersebar secara tersembunyi?

"Ini kerana kita tidak jumpa link atau hubungan di antara satu kluster dengan kluster yang lain ataupun kata mudahnya ada missing link, " jelasnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai itu, katanya, missing link itulah kes Covid-19 yang tersebar secara tersembunyi, yang kita tidak dapat kesan mereka sebenarnya pernah menjadi kontak kepada kes.

"Mungkin jumpa di kedai, stesen minyak atau di mana-mana sahaja tanpa disedari."

"Sekarang kita dapat lihat kluster yang aktif adalah Kluster Telaga dan Kluster Sungai, yang kedua-duanya melibatkan staf perubatan dan kesihatan," jelasnya.

Kenapa mereka yang dijangkiti?

"Selain jangkitan di dalam komuniti, antara sebab lain ialah kerana hospital adalah tempat tumpuan orang yang ada penyakit. Orang yang telah dijangkiti Covid-19 tidak semestinya datang sebagai pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI)," beritahu beliau.

Ada orang yang datang untuk temujanji di klinik pesakit luar, ada yang masuk wad kerana pembedahan elektif, semuanya dalam keadaan sihat, tiada demam dan tiada batuk. Akan tetapi mereka mungkin telah dijangkiti tetapi tiada gejala dan menyebarkan virus tanpa sedar kepada orang lain di sekitar mereka.

"Munculnya banyak kluster di wilayah Utara menunjukkan virus ini sudah ada di dalam komuniti."

Artikel berkaitan: Covid-19 mudah mutasi: Apa yang perlu anda faham!

"Untuk bantu supaya kawalan wabak menjadi lebih efisien dan efektif, adalah perlu untuk hadkan aktiviti berkumpulan kepada aktiviti asas seperti bekerja dan berniaga. Interaksi sosial yang lain patut ditangguhkan lebih dahulu atau dihadkan bilangannya, " ujarnya.

Bukan itu sahaja, Dr Safiya turut berkongsi, tidak salah untuk bertunang dan bernikah tetapi, apa salahnya kita bersabar sedikit pada tahun pandemik ini, buatlah sekadar yang asas dan tangguhkanlah kenduri yang besar sehingga suasana menjadi lebih terkawal.

Pesannya lagi, "fikirkanlah demi orang tua dan orang yang berpenyakit kronik yang lebih berisiko untuk mendapat komplikasi jangkitan Covid-19 ini."

"Sebahagian daripada kita ambil mudah akan penyakit ini, kerana kebanyakan orang muda atau kanak-kanak boleh sembuh dengan baik jadi menyebabkan orang tidak rasa gerun pada penyakit ini. Tapi bukankah kita ini hidup bermasyarakat? Tindakan yang kita lakukan akan beri kesan kepada orang lain, bukan kepada diri kita sahaja. Sama-sama lah kita ambil berat satu sama lain," katanya.

Menjawab persoalan mengenai adakah bilangan kes yang direkodkan hari ini bakal bertambah atau sebaliknya, ini respon Dr Safiya:

"Kenaikan mendadak ini melibatkan tahanan di Lahad Datu dan banduan di Penjara Tawau, yang mana ia adalah kawasan tertutup dan penjarakkan fizikal adalah sukar. Jadi jangkitan memang boleh berlaku dengan cepat. Sama ada lebih ramai lagi akan dijangkiti bergantung kepada berapa ramai orang dalam tahanan itu yang telah terdedah kepada virus berkenaan. Kes orang dalam tahanan  adalah punca utama kes 'naik dengan laju' manakala di Kedah pula kita dapat tengok naik lebih perlahan tetapi berlarutan lama," kongsinya.

Semalam, sebanyak 100 kes positif baharu direkodkan dengan 85 kes tempatan dan 15 kes import dikenal pasti. 55 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 30 lagi adalah bukan warganegara.

Bagaimanapun, tiada kematian baharu direkodkan dan jumlah kematian masih kekal 128. Sebanyak 12 kes sudah sembuh dan dibenarkan discaj daripada hospital. Terdapat 7 kes ditempatkan di wad ICU dengan 4 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan bahawa berkemungkinan terdapatnya 'kealpaan' dalam kalangan rakyat ketika menjaga SOP penjarakan fizikal. Terus patuh kepada SOP. Kita mesti menang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca