Kita satukan kembali Ajai dan Hafiz Suip selepas lebih sedekad, imbau nostalgia kejayaan Noktah Cinta
MASIH ingat lagu Noktah Cinta dan Ku Akui? Dua karya yang pernah mencetuskan fenomena itu bukan sahaja mengangkat nama Hafiz Suip, malah membuktikan keserasian luar biasa penyanyi berkenaan bersama komposer terkenal, Ajai.
Biarpun sudah lebih sedekad berlalu, kedua-dua lagu berkenaan masih mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat muzik tempatan. Melodi yang menyentuh perasaan serta vokal penuh penghayatan Hafiz menjadikan karya tersebut antara lagu yang cukup sinonim dengan perjalanan seninya.
Kini, selepas sekian lama, Hafiz dan Ajai kembali bergandingan menerusi single terbaharu berjudul Kita.
Kolaborasi itu pastinya mengundang keterujaan peminat yang merindui sentuhan balada daripada dua figura muzik berkenaan, apatah lagi mereka pernah menghasilkan karya yang meninggalkan impak besar dalam industri hiburan tanah air.

Untuk rekod, Noktah Cinta hasil kerjasama Ajai dan Sheikh Qalam berjaya membawa Hafiz meraih tempat ketiga serta anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) pada 2011.
Kejayaan itu diteruskan menerusi Ku Akui pada 2012, sebuah lagu ciptaan sepenuhnya Ajai yang sekali lagi menyerlahkan kehebatan vokal penyanyi kelahiran Sarawak itu.
Malah, lagu berkenaan turut melayakkan Hafiz meraih tempat ketiga dan anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27).
Justeru, kemunculan Kita boleh dianggap sebagai kesinambungan hubungan seni antara dua insan yang mempunyai kekuatan tersendiri.
Ajai cukup dikenali dengan kebolehannya menghasilkan melodi yang memberi ruang kepada penyanyi untuk menzahirkan emosi, manakala Hafiz pula memiliki karakter vokal yang mampu menghidupkan sesebuah karya menerusi penghayatan dan penyampaian penuh jiwa.
Bagi pendengar yang mengikuti perjalanan seni Hafiz, penyanyi berusia 36 tahun itu bukanlah nama asing dalam genre balada.

Sejak muncul sebagai juara Akademi Fantasia musim ketujuh pada 2009, Hafiz terus mengukuhkan kedudukannya menerusi lagu popular seperti Awan Nano, Bahagiamu Deritaku dan Ku Akui.
Keistimewaan vokalnya turut membuahkan pelbagai pengiktirafan apabila beliau dilaporkan sudah mengumpul sebanyak 23 anugerah sepanjang pembabitannya dalam industri muzik.
AJ Productions perluas jaringan industri muzik
Dalam perkembangan berkaitan, penerbitan single Kita turut menyaksikan kerjasama AJ Productions bersama Sheikh Qalam Records Sdn Bhd apabila syarikat berkenaan diberi kepercayaan sebagai pengedar utama karya tersebut.
Pengarah Urusan AJ Productions, Puan Asmi Datuk Andi Yakin dan Tuan Jasnie Md Yaakob menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu penghormatan, selain membuka ruang kepada syarikat itu memperluas penglibatan dalam industri muzik tempatan.
Menurut mereka, pembabitan tersebut merupakan kerjasama kedua AJ Productions dan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama artis terkenal selepas menerbitkan single terbaharu Mawi berjudul Pawana Pawaka pada awal bulan ini.
"Kolaborasi ini sekali gus membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah menembusi pasaran muzik tanah air dan menepati aspirasi nasional.
"Ia menjadi satu pencapaian penting dalam usaha AJ Productions memperluas penglibatan di pentas muzik serta membuka ruang pertemuan antara bakat kreatif Sabah dengan nama besar industri hiburan Malaysia," jelas mereka.
Kerjasama itu turut memperlihatkan bagaimana penggiat seni dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mampu bergabung dalam memperkaya industri muzik tempatan.
Sementara itu, muzik video rasmi Kita dijadualkan dilancarkan pada Jumaat, 27 November, jam 2 petang menerusi saluran YouTube AJ Productions Sdn Bhd.
Buat peminat Hafiz dan Ajai, Kita pastinya menjadi satu lagi karya yang wajar diberi perhatian, terutama bagi mereka yang masih menyimpan kenangan terhadap keistimewaan Noktah Cinta dan Ku Akui.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

