Cuai? Alpa? Lagi kanak-kanak maut tertinggal dalam kereta
BUKAN kejadian baharu! Kanak-kanak maut kerana tertinggal di dalam kereta.
Jika sebelum ini banyak kejadian maut melibatkan ibu atau bapa sendiri yang tertinggal anak dalam kereta, namun berbeza pula dengan kejadian semalam.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dilaporkan meninggal dunia selepas empat jam ditinggalkan dalam kereta yang dipandu pengetua tadika di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah semalam.
Memetik laporan portal tempatan, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik yang telah hampir setahun dihantar ke tadika itu untuk dijaga pengasuh.
Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengetua tadika iaitu wanita berusia 49 tahun akan mengambil mangsa dari rumah ibu bapanya ke tadika pada setiap Ahad hingga Khamis.
Namun, selepas PKP, pada Selasa dan Rabu, pengetua wanita itu mengambil dan menghantar mangsa manakala hari lain mangsa dihantar sendiri ibunya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pada 7.45 pagi semalam, pengetua tadika itu mengambil mangsa di rumahnya dalam keadaan sihat dan duduk di tempat duduk belakang.
Sebelum itu, pengetua berkenaan turut mengambil seorang pelajar lain yang berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.
Namun sebaik tiba di hadapan tadika, seorang guru mengambil pelajar di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika lalu pengetua itu memakir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta.
Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan.
Kejadian itu hanya disedari pada 12.15 tengah hari ketika pengetua mahu menghantar semula mangsa ke rumah, namun mendapati mangsa tiada di dalam kelas.
Namun guru kelas memberitahu mangsa tidak hadir ke sekolah menyebabkan wanita itu terus menuju ke arah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri.
Mangsa dipercayai berada dalam kereta itu dari 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.
Berikutan itu pengetua terbabit bertindak menghubungi ambulans dan melaksanakan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa namun mangsa tidak sedarkan diri.
Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans dan hasil pemeriksaan doktor memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan tiada kesan kecederaan di luaran.
Sementara ibunya, Nor Azira Abd Halim, 36 berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa anaknya itu ketika sedang bekerja.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut prosedur sekiranya berlaku kecuaian atau unsur jenayah, semuanya bergantung kepada hasil bedah siasat yang dijalankan.
Tidak dinafikan, apabila terjadi sahaja insiden sebegini, kesalahan dan kecaman terus ditujukan kepada individu berkenaan.
Cuai? Alpa? Benar, mungkin ada salahnya tapi percayalah, jika kita terkesan dengan kejadian itu, ibu bapa mangsa berkali ganda menanggung kesakitan.
Untuk semua ibu bapa di luar sana, ini tip bagi mengelak kes terlupa anak dalam kereta dikongsi oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu. Di situ adalah titik buta (blind spot). Letak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.
2. Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang) sebelum mengunci kenderaan. Mulakan amalan ini mulai sekarang.
3. Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila letak anak di dalam kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak di belakang.
4. Jika ada membawa beg susu anak bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ketiga. Ia peringatan bahawa anak ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.
5. Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak, contohnya beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang.
Baca juga Menguap boleh berjangkit? Ini fakta menarik menurut pandangan sains yang perlu kita tahu
6. Letakkan tag/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar, yang menandakan anak di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah.7. Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon jika anak tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan pasangan untuk mengingatkan kita, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.
8. Guna peranti atau aplikasi telefon untuk mengingatkan bahawa anak di dalam kereta. Boleh layari internet dan lihat aplikasi mana yang sesuai.
9. Bagi yang selalu menggunakan aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder (Settings>Reminders>Child Reminder). Waze akan mengingatkan kita sejurus sampai destinasi.
Semoga dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan dalam kalangan masyarakat.
Al-Fatihah. Salam takziah kepada keluarga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang