PASTINYA, apabila kita berada dalam keadaan letih dan penat, refleks pada keadaan itu adalah kita akan menguap.

Namun demikian, ada masa kita tidak berasa penat atau mengantuk, tetapi kenapa kita juga akan menguap apabila melihat individu berdekatan menguap?

Menurut sekumpulan pengkaji dari State University of New York, Amerika Syarikat, manusia adalah golongan hidupan mamalia yang boleh menguap lebih panjang (lama) berbanding haiwan mamalia seperti gorila, badak, gajah dan lain-lain.

Ini kerana mamalia tersebut memiliki saiz otak lebih kecil berbanding manusia yang membuatkan ‘mereka’ mampu menguap lama.

Menurut laman web antarabangsa sciencedaily.com, menguap secara spontan berbeza berbanding jika menguap sebagai respons kepada mereka yang menguap berdekatan kita.

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh seorang pengkaji bernama Georgina M. Jackson mendapati, manusia cenderung untuk menerima jangkitan menguap yang dicetuskan secara automatik oleh tindakan refleks secara tidak sedar atau primary motor cortex.

Secara mudahnya, bahagian itulah yang bertanggungjawab pada fungsi motor otak seseorang.

Pun demikian, kajian yang sama juga mengatakan semakin kita menahan diri daripada menguap setelah melihat individu berdekatan menguap, ia semakin meningkatkan kehendak diri untuk menguap.

Sebenarnya, kecenderungan untuk menguap berbeza-beza pada setiap individu, katanya.

Untuk makluman semua pembaca SinarPlus, jangkitan menguap dicetuskan apabila melihat individu berdekatan menguap disebut sebagai echophenomena.

“Fenomena itu yang mana kita meniru perkataan atau tindakan orang lain secara automatik.

“Bahkan, bukan sahaja manusia yang boleh berjangkit, ia juga berlaku dalam kalangan anjing dan cimpanzi tau!,” beritahu laman web berkenaan.

Selain itu, menguap juga dikatakan berjangkit adalah disebabkan faktor dorongan neuron cermin.

Ia kerana di dalam otak manusia terdapat bahagian-bahagian yang dipenuhi neuron cermin yang pada asalnya berfungsi untuk proses pembelajaran dan kesedaran individu.

Hasil kajian yang menggunakan teknologi pengimejan resonans magnetik fungsional membuktikan, apabila seseorang melihat atau mendengar orang menguap, sesetengah kawasan dalam otaknya yang dipenuhi neuron cermin akan menjadi aktif dan membuatkan seseorang itu turut sama menguap.

Bagaimanapun, ada juga pengkaji yang mengaitkannya dengan tindak balas psikologi yang dipanggil sebagai empati.

Oleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa kita sebenarnya akan lebih terdorong untuk menguap dengan orang yang kita kenal seperti kawan-kawan, keluarga, kekasih dan haiwan peliharaan berbanding orang yang tidak dikenali kerana tindak balas itu disokong oleh sifat empati dalam diri mereka.

Jadi, jelaskan mengapa menguap dikatakan boleh ‘berjangkit’? Semoga perkongsian di atas dapat menambah ilmu baharu kepada semua pembaca.