Demam kompaun SOP! Sangkut pelitup muka di dagu juga boleh disaman RM10,000!

A
A
A

DEMAM denda RM10,000! Sejak pihak kerajaan mengumumkan kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19, media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook dibanjiri dengan ‘cerita’ orang ramai yang disaman.

Ada dalam kalangan mereka tidak berpuas hati apabila dikompaun dengan jumlah tersebut yang didakwa cuma tidak memakai pelitup muka.

Semalam tular pula di Facebook apabila terdapat dakwaan pihak polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada seorang individu gara-gara individu tersebut menyangkut pelitup mukanya di dagu.

Hasil tinjauan SinarPlus, keterangan kesalahan yang dilakukan oleh individu tersebut tertera pada surat saman individu tersebut adalah “gagal memakai pelitup muka dengan sempurna”.

Posting tersebut tular disebabkan orang ramai juga keliru adakah benar dengan melakukan kesalahan sebegitu kita bakal berdepan hukuman denda semaksima itu.

Ya! Memetik laporan media tempatan, polis telah mengesahkan pihaknya mengeluarkan satu kompaun RM10,000 kepada seorang lelaki seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan surat kompaun tersebut memandangkan lelaki berkenaan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tanjung Piandang kelmarin.

“Kompaun tersebut dikeluarkan Pasukan Pematuhan SOP PKPB yang membuat tugasan rondaan di kawasan tersebut.

“Lelaki tersebut didapati melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan sempurna apabila hanya meletakkannya di dagu ketika masuk dan keluar kedai berkenaan pada sekitar jam 1.20 tengah hari,” katanya.

Tambah Mazuki lagi, pasukan pematuhan yang bertugas ketika itu telah membuat pemantauan tepat dan tindakan mengeluarkan kompaun terhadap individu tersebut adalah sewajarnya.

Hal tersebut merujuk kepada peruntukkan dalam Seksyen 21A(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Seperti apa diketahui umum, mana-mana individu yang melanggar SOP sewaktu tempoh pelaksanaan darurat boleh dikompaun sebanyak RM10,000 berkuat kuasa sejak 11 Mac.

“Polis hanya menjalankan tugasan mereka dalam penguatkuasaan SOP sebagaimana yang telah diperintahkan kepadanya mengikut peruntukkan bidang kuasa yang telah diwartakan,” katanya.

Jangan pertikaikan kerja polis! Tidak adil rasanya jika ada segelintir pihak mengecam dan mempertikaikan tindakan anggota polis yang menjalankan tugas dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut.

Mereka hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Kita sepatutnya memberi kerjasama dengan petugas barisan hadapan tersebut dan memudahkan urusan mereka.

Tak susah! Kita cuma perlu patuh pada SOP yang telah ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19.

Ingat, RM10,000 bukan jumlah yang sedikit. Patuhilah SOP yer!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca