Genap setahun, ini sejarah Covid-19 landa negara kita

Genap setahun, ini sejarah Covid-19 landa negara kita
Genap setahun, ini sejarah Covid-19 landa negara kita
A
A
A

GENAP setahun negara dilanda badai Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus komited dan bekerja tanpa putus asa dalam memerangi pandemik yang boleh membawa maut itu.

Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, KKM menyatakan kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertingginya dan juga barisan hadapan KKM yang berjuang di hospital, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), CAC (Pusat Penilaian COVID-19) dan klinik seluruh negara.

Menurutnya, mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan hari ini secara maya melibatkan semua Pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara.

Katanya, fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menangani Covid-19 dan memperkukuhkan 213 Covid-19 Assessment Center, CAC di seluruh negara.

KKM turut mengimbau kembali kes pertama wabak itu yang dilaporkan di Malaysia membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

"Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif di Malaysia itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura. Mereka kemudiannya dirawat di

Hospital Sungai Buloh.

"Hari ini, kes di Malaysia sudah mencapai 186,849 kes keseluruhan, sejumlah 689 orang telah meninggal dunia dan seramai 145,084  orang telah sembuh daripada virus ini.

"Pasukan Covid-19 Hospital Sungai Buloh juga mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020, selain beberapa anugerah lain yang diterima KKM dalam menguruskan Covid-19, katanya.

"Doakan agar semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak ini. Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus Covid-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini," tulisnya.

Antara yang hadir pada mesyuarat itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan timbalannya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali serta Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai kesihatan awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebooknya menyatakan kesedihannya kerana sudah setahun Malaysia berdepan pandemik berkenaan.

"Ini menyedihkan saya hari ini, kita telah bertahan selama satu tahun bertempur melawan Covid-19 di negara kita. Pengakhirannya yang tidak diketahui.

"Namun, walaupun kepenatan mental dan fizikal, kita semua perlu terus bertugas. Semua orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama.

"Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah mendesak di luar. Bersama-sama kita memutuskan rantaian penularan Covid-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama kita terus berjuang," katanya.

Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memakai pelitup muka dengan betul, mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal kerana setiap individu harus memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.

Baca juga Jadualku bantu ibu bapa uruskan pembelajaran anak semasa PKP

Secara ringkas, ini kronologi Covid-19 di negara kita;

GELOMBANG PERTAMA

  • Kes pertama pada 25 Januari 2020.
  • Melibatkan 3 warga China memasuki Johor melalui Singapura.

GELOMBANG KEDUA

  • Kes pertama pada 4 Febuari 2020.
  • Melibatkan penularan tempatan.
  • Ini menyebabkan PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020.
  • Setelah angka menurun, PKPB yang lebih longgar dilaksana pada 4 Mei dan diikuti PKPP pada 10 Jun.

GELOMBANG KETIGA

  • Sedikit kealpaan dalam masyarakat menyebabkan virus kembali menular.
  • Kes baharu mencatat angka tiga digit berturut-turut pada awal Oktober 2020.
  • PKP dilaksanakan semula pada 13 Januari lalu bermula dengan enam negeri (Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah) diikuti seluruh negara kecuali Sarawak pada 22 Januari hingga 4 Febuari ini.

Terus patuhi SOP yang telah ditetapkan dan amalkan kawalan kendiri bagi memutuskan rangkaian Covid-19.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca